Mayat Jong-nam masih berada di IPFN

17/02/2017 11:48am


Mayat abang tiri kepada Presiden korea Utara itu masih lagi di IPFN sejak dibawa dari Hospital Putrajaya kelmarin.


KUALA LUMPUR - Mayat pemimpin buangan Korea Utara, Kim Jong-nam masih berada di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur dan belum dituntut oleh mana-mana pihak walaupun sudah masuk hari ketiga bedah siasat keatasnya selesai dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, mayat Jong-nam masih belum dituntut dan akan diserahkan kepada pihak berkenaan selepas siasatan kes tersebut lengkap.

"Mayat akan diserahkan kepada pihak yang berhak," katanya ringkas ketika dihubungi sebentar tadi.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya siapa pihak yang berhak untuk menuntut mayat tersebut sama ada keluarga atau pihak kedutaan.

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! sehingga pukul 11 pagi ini mendapati lebih 30 petugas media dari dalam dan luar negara masih menunggu perkembangan terkini mengenai status tuntutan mayat di hadapan unit forensik.

Kosmo! kelmarin melaporkan abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un dipercayai mati dibunuh dengan racun oleh dua ejen wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang. - K! ONLINE