Kutipan tol secara elektronik sepenuhnya di 94 plaza tol pada 26 April ini

17/02/2017 6:02pm


ETC dilaksanakan sepenuhnya di semua 94 buah plaza tol Lebuh Raya Utara-Selatan dari Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Johor Bahru, Johor bermula 26 April ini.


BAGAN SERAI - Kutipan tol secara elektronik (ETC) dilaksanakan sepenuhnya di semua 94 buah plaza tol Lebuh Raya Utara-Selatan dari Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Johor Bahru, Johor bermula 26 April ini.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad(PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, perlaksaan ETC secara sepenuhnya itu bertujuan untuk membantu orang ramai membayar tol dengan lebih mudah, pantas dan selesa.

Jelasnya, jumlah tersebut turut melibatkan sebanyak 71 plaza tol Lebuh Raya Utara-Selatan dari Juru, Pulau Pinang ke Skudai, Johor yang baharu dilaksanakan sepenuhnya pada 26 April ini.

"Pelaksanan ETC bermakna tiada lagi penggunaan aliran wang tunai di semua plaza tol Lebuh Raya Utara-Selatan bermula pada tarikh tersebut.

"Dalam usaha untuk melancarkan operasi, lorong tambah nilai akan beroperasi selama 24 jam selepas pelaksaan ETC sepenuhnya dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar dan taklimat media pelaksanaan ETC di Kawasan Rehat dan Rawat Gunung Semanggol di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi. - K! ONLINE