Zul, Farid bertumbuk atas muatan kren




FILEM-FILEM aksi kini dilihat sebagai salah satu genre yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton di negara ini. Buktinya, sebelum ini, filem Polis EVO pernah mencipta rekod tersendiri apabila menjadi filem paling laris di negara ini dengan kutipan mencecah RM18 juta.

Angka itu secara tidak langsung menjadi penanda kepada kecenderungan penonton dalam memilih genre yang menjadi pilihan mereka. Tahun ini, sekali lagi kita semua bakal dihidangkan dengan sebuah filem aksi, J Revolusi yang dikatakan akan menjadi pencabar kepada filem Polis Evo.

Dihasilkan dengan bajet sebanyak RM3 juta, filem yang bakal ditayangkan bermula 2 Mac nanti itu bakal menampilkan pelakon utamanya iaitu Zul Ariffin dan Farid Kamil sebagai pendokong utama cerita tersebut nanti.

Menariknya, filem itu merupakan hasil kerjasama antara Grand Brilliance dan sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong, Infinitus Production yang juga merupakan milik pelakon tersohor Andy Lau.

Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual Zul dan Farid untuk berkongsi cerita mengenai pembabitan mereka dalam naskhah arahan Zulkarnain Azhar itu ketika sesi tayangan perdana filem berkenaan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Boleh kongsikan serba sedikit mengenai filem J Revolusi ini?

ZUL ARIFFIN: Filem ini mengisahkan kehidupan seorang pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) yang banyak menyelesaikan operasi-operasi gempur penjenayah. Jadi dalam filem ini, ia memaparkan kisah bagaimana seorang adik menyelamatkan kakaknya yang menjadi mangsa tebusan pengganas.

FARID KAMIL: J Revolusi ini merupakan sebuah karya yang saya fikir mengangkat filem industri tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi. Apatah lagi ia juga mendapat kerjasama daripada pihak UTK negara, selain kerjasama dengan produksi dari Hong Kong. Saya rasa bertuah dapat bekerja dalam filem yang turut menampilkan barisan pelakon yang berbakat besar antaranya Izara Aishah, Datuk Hans Isaac, Fatimah Abu Bakar, Iedil Putra dan Azad.

Kalian berdua merupakan antara pendukung utama dalam filem ini, mungkin boleh ceritakan mengenai watak dan karakter yang digalas?

ZUL ARIFFIN: Saya memegang watak sebagai Jay Zulkarnain iaitu salah seorang ketua di UTK. Jay ini merupakan pegawai yang sudah banyak mencipta rekod baik dalam menyelesaikan kes-kes berkaitan jenayah. Jadi, watak Jay ini digambarkan sebagai seorang yang digeruni ramai kerana tidak pernah gagal dalam setiap misinya. Bagaimanapun, semuanya berubah selepas terperangkap sewaktu menyelamatkan kakaknya bernama Dian.

FARID KAMIL: Saya pula memegang watak sebagai Andra yang merupakan watak antagonis dalam filem ini. Andra merupakan seorang ketua penjenayah yang cuba membalas dendam kepada Jay yang cuba menggagalkan misinya. Bermula daripada situlah, penonton akan dapat lihat bagaimana UTK menjalankan kerja dalam usaha menyelamatkan kakaknya.

Apakah yang menjadi cabaran kepada anda dalam filem tersebut?

ZUL ARIFFIN: Dalam filem ini, hampir keseluruhan aksi lagak ngeri, saya dan Farid lakukan sendiri. Pada masa sama, saya juga perlu berlakon dengan memakai sut sebenar UTK yang beratnya lebih 10 kilogram.

FARID KAMIL: Kita lebih suka melakukannya sendiri biarpun kita mempunyai pelakon aksi lagak ngeri. Jadi, memandangkan filem ini penuh dengan aksi, jadi kita banyak berlatih teknik-teknik pertempuran yang betul sebab banyak melibatkan aksi fizikal. Secara tidak langsung ia memberi ilmu juga kepada kami barisan pelakon.

Mengapakah kalian berdua memilih untuk menjayakan babak-babak yang boleh dianggap berisiko untuk mendapat kecederaan?

ZUL ARIFFIN: Kalau ikutkan, kita memang ramai pelakon aksi lagak ngeri. Cuma saya sendiri berasa lebih seronok dan puas kalau babak itu kita dapat lakukan semuanya sendiri. Penonton sendiri dapat menilai sama ada babak itu merupakan dilakonkan sendiri atau pun tidak. Bahkan motosikal yang digunakan dalam cerita itu pun saya punya. Saya beli untuk digunakan dalam filem itu.

FARID KAMIL: Saya dari dahulu lagi memang sudah terkenal untuk melakonkan setiap babak yang diberikan secara sendiri. Sebagai pelakon, saya berasa tidak mendapat kepuasan sekiranya ada orang lain yang melakonkan babak. Lagipun, saya juga dilatih untuk buat aksi-aksi sebegitu.

Boleh kongsikan babak aksi lagak ngeri yang paling mencabar?

ZUL ARIFFIN: Ada satu babak di pengakhiran cerita di mana kami perlu melakonkan aksi bergaduh di atas muatan platform besi yang tergantung. Bagi babak itu sahaja, kita ambil masa lebih seminggu untuk habiskan penggambaran. Bahkan, pada bulan lepas, kita turut tambah tiga hari lagi penggambaran untuk babak tersebut.

FARID KAMIL: Ya, saya sendiri tidak pernah terfikir untuk melakonkan babak bergaduh di atas platform yang diangkat oleh kren seperti itu. Bayangkan perlu bertumbuk dan tergantung di atas platform besi itu memang sesuatu yang di luar jangkaan saya.

Adakah kalian mengalami sebarang kecederaan?

ZUL ARIFFIN: Kita berlakon di atas tempat permukaan yang keras seperti besi. Jadi, setakat sengal-sengal biasa sahaja dalam melakukan aksi berbentuk fizikal. Bagaimanapun, tidak adalah sampai luka atau berparut.

FARID KAMIL: Tidak. Saya juga tidak mengalami sebarang kecederaan. Walaupun kita buat sendiri aksi lagak ngeri, apapun yang dilakukan aspek keselamatan menjadi keutamaan.