Tunai hajat arwah Achik Spin


Kumpulan Spin yang terdiri daripada (dari kiri) Galang, Apiz, Awis, Raymie dan Jojo berharap single terbaharu mereka hasil ciptaan komposer terkenal LY dan liriknya oleh Baiduri yang akan dilancarkan pada tahun ini diterima pendengar.


Bukan mudah untuk kembali melayarkan bahtera yang terkandas di lautan, apatah lagi nakhodanya sudah tiada untuk mengemudinya dengan lancar seperti yang pernah dinikmati satu ketika dahulu.

Itu dilema yang dilalui oleh kumpulan Spin selepas kehilangan arwah Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari, hampir tujuh tahun lalu akibat kemalangan jalan raya pada 17 April 2010.

Sejak itu, nama Spin seakan-akan sepi tanpa sebarang publisiti, namun kini kumpulan itu yang dianggotai oleh adik arwah Achik iaitu Md. Arwes Qarani Md. Shari (Awis-vokalis), bersama kawan-kawannya, Mohd. Remmy Abd. Razak (Raymie-pemain bass), Hafiz Jamaludin (Apiz-dram), Galang Bimandiri (Galang-gitar utama) dan Abdullah Zainal Abidin (Jojo-gitaris), mahu bangkit untuk membawa nama Spin kembali bersinar.

Pernah muncul menerusi single Sakit Terpanah pada 2015 dan tahun ini, Spin kembali mempertaruhkan single baharu hasil ciptaan komposer terkenal, LY dan liriknya oleh Baiduri.

Meskipun single itu belum siap se­pe­nuhnya, namun kata Awis, mereka berharap lagu yang masih tidak berjudul itu dapat dipasarkan pada tahun ini.

“Ada dua pilihan nama untuk single itu sama ada Jagakan Dia atau Aku Tak Bersalah. Kata putus mengenai judul lagu masih belum dibuat tetapi kali ini kami pertaruhkan single berentak pop moden buat pendengar,” ujar Awis yang berharap single terbaharu Spin itu disukai pendengar dan dimainkan di stesen-setesn stesen radio.

Sedar vokal yang dimiliki tidak menyamai Achik, namun Awis optimis dengan penerimaan pendengar terhadap vokalnya dan single yang dipertaruhkan anggota-anggota baharu kumpulan Spin.

“Kalau ikutkan, Raymie sahaja anggota asal Spin sejak tahun 2006. Saya dan ahli-ahli lain baru sertai pada 2014. Kalau ikutkan suara adik saya, Khalis lagi menyamai suara Achik, tetapi saya dipilih untuk sertai kumpulan Spin. Adik pula sekarang menjadi vokalis untuk kumpulan Real Spin dengan anggota asalnya dari tahun 1998 dari 2001,” jelas Awis yang memberitahu Spin dengan Real Spin tidak bergaduh, bahkan memperjuangkan muzik masing-masing.

Namun, dari segi penggunaan lagu lama Spin, kedua-dua kumpulan itu tiada masalah untuk menyanyikannya di mana-mana persembahan pentas.

“Kalau boleh, kami nak sama-sama naik. Tambahan pula, adik saya ada dalam kumpulan Real Spin. Arwah Achik dulu pernah menyuarakan hasrat mahu adik-beradiknya sama-sama berjaya sebagai penyanyi. Bahkan, ketika arwah pergi uji bakat menyanyi, kami turut sama pergi. Cuma, arwah sahaja yang terpilih kerana ketika itu kami dilihat masih belum bersedia,” dedah Awis.

Kata Raymie pula, pun begitu kemunculan Spin yang baharu ini tetap membawa satu kelainan buat peminat.

“Biarpun Achik dan Awis bersaudara, namun antara mereka memiliki keisti­mewaan tersendiri,” katanya yang mengaku Awis mempunyai tona suara yang sedap didengar.