Kembara indah Al-Aqsa Siti Nurhaliza


Siti NURHALIZA dan Datuk K cukup bersyukur kerana impian untuk menziarah dan mengunjungi Masjid Al-Aqsa yang sebelum ini pernah menjadi kiblat pertama umat Islam dapat ditunaikan.


BARANGKALI, jiwa Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kini sedang basah dek rasa syukur dan terharu. Masakan tidak, impian untuk menjejakkan kaki dan mengerjakan ibadah di Masjid Al-Aqsa, Palestin menjadi kenyataan selepas pelantun lagu Menatap Dalam Mimpi itu tiba di sana pada 15 Februari lalu.

Menurut Siti, hasrat untuk berziarah ke kiblat pertama umat Islam tersebut telah lama disimpan, iaitu sekitar beberapa tahun lalu.

“Sudah lama sebenarnya saya berhasrat untuk menjejakkan kaki ke Palestin bagi menziarahi Masjid Al-Aqsa.

“Kebetulan, pelawaan tersebut diterima daripada keluarga angkat. Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang tersebut dan bersetuju untuk ikut serta,” kata beliau yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta bagi alat senaman Body Vision di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun, tambah Siti, 38, kepergian ke Palestin tiada kaitan dengan sebarang misi kemanusiaan.

“Saya ke Palestin hanya untuk bercuti dan berziarah, bukan untuk mengikuti mana-mana program bantuan atau kemanusiaan,” katanya sambil tersenyum.

Tempat-tempat bersejarah dalam kembara Palestin Siti yang ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan keluarga mertua juga melawat sekitar Jordan. Mereka dijangka kembali ke tanah air pada 23 Februari nanti.

Ditanya perancangannya selepas pulang daripada ziarah tersebut, Siti akan terus masuk ke studio bagi menyudahkan sesi rakaman album terbaharunya.

“Ada empat lagu yang bakal dirakamkan dan satu daripadanya akan dipilih sebagai single utama untuk album saya nanti.

“Antara komposer yang menyumbangkan lagu termasuklah Aubrey Suwito, Mohariz Yaakup dan Ivan,” katanya.

Senaman

Bercakap mengenai pelantikan sebagai duta Body Vision, Siti berkata, beliau menerima tawaran tersebut kerana tertarik dengan teknologi yang diketengahkan.

Ujar beliau, menerusi rekaan sut tanpa wayar, pakej senaman yang ditawarkan menerusi pusat kesihatan Body Vision cukup sesuai dengan jadual kerjanya yang sangat padat dan tidak tentu masa.

“Saya memang suka bersukan dan bersenam. Pelbagai jenis senaman telah saya cuba seperti yoga dan pilates.

“Dengan sut yang ditawarkan oleh Body Vision, kontraksi pada otot menjadi lebih tinggi dan kesan senaman juga akan meningkat.

“Hasilnya, saya dapat bersenam dengan susunan rutin lengkap tetapi hanya dalam masa yang singkat,” katanya.

Mengulas mengenai rutin kesihatan yang diamalkan, Siti berkata, beliau cuba mengamalkan gaya hidup sihat memandangkan kerjayanya sebagai penghibur menuntut tenaga yang banyak.

“Semakin kita berusia, metabolisme badan juga akan menurun.

“Jadi, dengan kekerapan bersenam, ia bukan sahaja dapat menyihatkan badan, tetapi membantu saya cergas untuk melunaskan kerja-kerja harian,” katanya lagi.