Sathia jurulatih baharu Felda United


SATHIA dilantik menjadi jurulatih baharu Felda United dengan kontrak selama setahun.


PENGENDALI baharu skuad Felda United, B. Sathianathan mula merangka strategi apabila berlepas ke Singapura untuk menyaksikan pertemuan dengan kelab daripada Singapura, Tampines Rovers FC pada aksi pertama Kumpulan G kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2017 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan tersebut secara rasmi dilantik menjadi jurulatih skuad The Fighters dengan kontrak selama setahun bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Azmi Mohamed yang membuat keputusan untuk berehat bulan lalu.

Ketiadaan ketua jurulatih, skuad The Fighters terus dirundung malang apabila mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut kepada Kelantan, Johor Darul Ta’zim dan Selangor ketika mereka dipangku oleh penolong jurulatih Mohamad Nik.

Meskipun agak terlambat untuk bersama skuad Felda United, B. Sathianathan tetap terbang ke Singapura untuk menyaksikan perlawanan tersebut dan menyerahkan segala keputusan di tangan pembantu jurulatih, Mohamad Nik.

“Untuk mengubah teknik perlawanan memang sudah terlambat dan saya tidak sempat untuk melakukannya. Namun saya tetap ke Singapura bagi menyaksikan sendiri perlawanan itu nanti.

“Segala keputusan saya serahkan kepada jurulatih, Nik untuk membuat perancangan. Selepas aksi Piala AFC, saya akan mengambil alih sepenuhnya untuk membentuk skuad Felda United pada tahap terbaik,” kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Sathianathan juga berharap kehadirannya bersama Felda United musim ini mampu mengembalikan semangat skuad The Fighters, sekali gus mampu berada dalam kelompok teratas Liga Super.

“Kehadiran saya dalam pasukan ini bukanlah untuk mengubah apa yang telah ditetapkan daripada awal tetapi saya ingin memberi mereka motivasi untuk kembali beraksi dengan satu semangat yang baharu. Saya harap pemain juga dapat membantu saya merealisasikan impian ini.

“Namun cabaran per­lawanan AFC bukan satu tugas yang mudah namun saya akan tetap berusaha untuk membawa Felda United beraksi dengan satu matlamat iaitu sekurang-kurangnya menjulang satu piala musim ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Nik harap penampilan pertama Felda dalam saingan AFC mampu mengutip satu mata meskipun terpaksa berdepan tugas sukar menentang juara Piala Liga Singapura tersebut.

“Piala AFC adalah satu perlawanan yang berbeza dan sudah pasti penampilan pertama saya dalam saingan ini adalah satu cabaran sengit buat saya. Namun saya tetap akan lakukan yang terbaik dengan sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata,” kata Mohamad Nik.

Pada saingan kumpulan G, Felda United diundi bersama pasukan dari Vietnam, Hanoi FC, Tampines Rovers dan pasukan Filipina, Ceres Negros.