Janna Nick milik LOL


JANNA NICK kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 60 episod berjudul Dia yang menyaksikan gandingannya bersama Adi Putra dan seorang pelakon Indonesia, Irwansyah.


Dalam kehidupan seorang artis, syarikat pengurusan boleh diibaratkan sebagai nakhoda kapal yang diberikan kepercayaan untuk memastikan pelayaran di dalam industri tidak tersasar daripada tujuan.

Menyedari kepentingan bernaung bawah syarikat pengurusan yang tepat, pelakon Janna Nick memilih LOL Entertainment sebagai ‘rumahnya’ bagi mengukuhkan lagi kerjayanya.

Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 22, sebelum ini diuruskan oleh syarikat rakaman Hikayat Records, namun memandangkan fokus kerjanya sekarang lebih ke arah bidang lakonan, dia merasakan perlu untuk berada di bawah pengurusan baharu.

“Saya tiada masalah dengan Hikayat Records sepanjang bersama mereka. Namun kini hala tuju kami di dalam industri adalah berbeza kerana itu adalah syarikat rakaman yang menguruskan kerja nyanyian, sedangkan saya lebih kepada berlakon.

“Jadi apabila LOL Entertainment melamar saya kira-kira seminggu untuk menyertai syarikat mereka, saya rasa itu adalah satu langkah baik bagi kerjaya saya,” katanya dalam satu sesi fotografi bersama media di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bakal melalui tempoh percubaan selama setahun sebelum mengikat kontrak tetap, pelakon Biar Aku Jadi Penunggu itu meletakkan sepenuh keyakinan kepada LOL untuk membuka lebih banyak peluang buatnya dalam industri seni.

Tambah Janna, besar harapannya, agar kerjaya seninya dapat diuruskan dengan baik seperti mana syarikat tersebut menguruskan artis residen sedia ada seperti Rozita Che Wan, Jihan Muse dan Elfira Loy.

“Sebelum ini, saya hanya fokus terhadap lakonan dan jarang muncul untuk iklan produk. Hal ini kerana saya tidak mampu hendak menguruskan banyak tawaran dalam satu masa.




“Sekarang, pihak LOL akan mengendalikan soal tawaran yang diberi kepada saya dan Alhamdulillah, sudah ada beberapa produk yang mahukan saya untuk menjadi duta mereka,” jelasnya lagi.

Meskipun meletakkan hampir seluruh perhatian kepada bidang lakonan, namun itu tidak bermakna Janna sudah meletakkan kerjaya nyanyian di belakang.

Penulis lirik

Pernah mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik tahun lalu, pelantun lagu Mungkin Saja itu masih bersemangat untuk berkarya.

Dia yang masih dalam proses menyiapkan single kedua turut mula berjinak-jinak untuk menulis lirik sendiri sebagai medium meluahkan perasaannya.

“Single kedua sudah ada melodi, tetapi liriknya saya yang tulis dan masih belum siap sepenuhnya. Saya mencabar diri untuk menulis lirik single kali ini sendiri tanpa bantuan orang lain kerana mahu rasa kepuasan bila menyanyi.

“Sebelum ini, saya pernah menulis lirik bersama Ippo Hafiz untuk lagu Biar Aku Jadi Penunggu nyanyian Ronnie Hussin bagi runut bunyi drama Akasia, Biar Aku Jadi Penunggu,” ceritanya lagi.

Selain itu, Janna yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri bertajuk Dia bergandingan dengan Irwansyah dan Adi Putra mengakui, menolak banyak tawaran filem kerana kekangan masa.

Tambah anak kelahiran Kedah itu, dia lebih selesa jika menghabiskan sesebuah tawaran kerja dalam satu masa dan enggan menyusahkan pihak lain dengan kesibukan jadualnya.

“Saya tidak menyesal menolak tawaran filem kerana mungkin belum rezeki saya dalam bidang itu. Saya percaya peluang tersebut akan sampai juga nanti,” ujarnya tenang.