Tasha Shilla lupakan sejarah silam

Foto SYAWALUDIN SHAH ABDUL RAHMAN (PELATIH GIATMARA)


TASHA SHILLA bangga terpilih menjadi satu-satunya artis Malaysia yang dibawa melawat kilang SKII di Jepun pada Mac nanti.


Pernah meledakkan industri hiburan tempatan dengan beberapa siri kontroversi tentang dirinya termasuk soal cinta dan penampilan seksi, kata Tasha Shilla, tiada apa yang lebih menyenangkan dirinya kini apabila kurang diberi publisiti.

Menurut Tasha, hari-hari yang dilaluinya lebih tenang tanpa sebarang publisiti. Hal itu sekali gus membuka ruang buatnya untuk mengatur semula karier seni yang sudah lama senyap. Bertemu dengannya pada majlis sidang akhbar Anugerah Tribute P. Ramlee di Hotel Boulevard, Kuala Lumpur baru-baru ini, wanita berusia 30 tahun itu mengakui selesa menjalani rutin hariannya sebegitu.

Tasha atau nama penuhnya, Natasha Sheila Abdul Razak berkata, peluang tersebut digunakan sebaik mungkin untuk memberi fokus terhadap kerjanya dalam bidang lakonan.

Dalam pada itu, Tasha turut berbicara mengenai drama lakonannya, Biar Biola Berbicara yang dicalonkan menerusi Anugerah Tribute P. Ramlee 2017 dan pemilihannya sebagai satu-satunya wakil dari Malaysia ke Jepun bagi mengikut lawatan yang dianjurkan oleh jenama kosmetik terkemuka, SKII pada 12 Mac depan.

KOSMO!: Apa khabar Tasha? Sibuk dengan kerja?

TASHA SHILLA: Khabar baik. Alhamdulillah, kerjaya berjalan seperti biasa. Buat masa ini saya sedang menjalani penggambaran sebuah telefilem baharu berjudul Cucu Atuk.

Anda dilihat kurang muncul di kaca televisyen dan majlis-majlis anugerah. Adakah anda selesa tanpa sebarang publisiti?

Benar, sempena kedatangan tahun baharu, saya berazam untuk memberi fokus terhadap kerjaya sahaja. Saya juga lebih selektif dan hanya memilih karya-karya berkualiti. Berbanding awal kemunculan dahulu, saya lebih prihatin dengan watak dan jalan cerita yang ditawarkan agar ia mampu meninggalkan kesan kepada penonton.

Apakah yang anda pelajari selepas melalui fasa kontroversi beberapa tahun lalu?

Apa yang berlaku suatu ketika dahulu biarlah menjadi sejarah. Perkara yang baik dijadikan teladan dan yang buruk, kita tinggalkan. Kini, saya lebih positif dalam meneruskan kehidupan.

Bagaimanakah perasaan anda apabila diberi peluang untuk terlibat dalam telefilem Biar Biola Berbicara sempena Anugerah Tribute P. Ramlee 2017?

Saya teruja kerana diberi kepercayaan oleh pengarah, Rashid Sibir untuk menjayakan telefilem ini. Bagi saya, peluang ini harus digunakan sebaik mungkin kerana ia dapat membantu saya memperbaiki mutu lakonan sebagai seorang pelakon. Jika boleh, saya mahu terlibat dalam projek ini untuk tahun-tahun akan datang.

Projek teater Putera La Galigo yang sepatutnya dipentaskan baru-baru ini ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu. Sebagai salah seorang pelakon, adakah anda masih mengharapkan pementasan akan diteruskan?

Sejujurnya, saya memang tidak sabar untuk mementaskan teater tersebut. Namun, saya terpaksa akur dengan masalah produksi dan masih menunggu tarikh pementasan sebenar. Jiwa saya masih bersama teater tersebut dan jika ia dipentaskan pada penghujung tahun ini sekalipun, saya pasti akan mengosongkan jadual dan kembali beraksi bersama pelakon lain.

Benarkah anda akan ke Jepun bagi mengikuti lawatan yang diadakan oleh jenama kosmetik SK-II?

Ya, saya akan ke Jepun pada 12 hingga 16 Mac depan sebagai satu-satunya wakil dari Malaysia dan pengguna produk berkenaan. Saya dan wakil dari Singapura serta Indonesia dijadualkan mengikuti beberapa aktiviti termasuklah lawatan ke kilang penghasilan pitera sebagai salah satu agenda wajib dalam lawatan tersebut.