Ratu cantik bakal bergelar doktor gigi

KIRAN ketika mengikuti pertandingan Miss Universe 2016 di Manila, Filipina pada 26 Januari lalu.


MATA kanak-kanak berusia empat tahun itu terpaku menyaksikan pertandingan ratu cantik yang disiarkan di televisyen dan keterujaan terpancar pada wajahnya apabila pemenang itu dipakaikan mahkota.

Detik itu menjadi pembakar semangat Kiran Jassal, 21, untuk bergelar ratu cantik dan mencipta sejarah tersendiri buat dirinya serta negara.

“Sejak kecil, saya dan kakak, Ranmeet Jassal tidak akan melepaskan peluang mengikuti perkembangan pertandingan ratu cantik.

“Saya juga akan menyimpan keratan akhbar dan majalah mengenai ratu cantik untuk dijadikan panduan serta penyuntik semangat,” katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo!, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Kiran, dia dan kakaknya sangat mengagumi Miss World 1994, Aishwarya Rai dan Miss Universe 1994, Sushmita Sen dan membesar dengan filem-filem hebat mereka.

Kisah hidup dua orang selebriti tersebut, menjadi inspirasi dua beradik itu kerana bukan sahaja dikurniakan wajah yang cantik tetapi banyak menyumbang bakti dalam melakukan kerja-kerja sosial.

“Mereka sangat cantik, bijak, mempunyai hati yang sangat baik, aktif membantu melakukan kerja-kerja kebajikan serta menyayangi kanak-kanak.

“Saya juga ingin menjadi seperti mereka dengan menggunakan platform ini untuk membantu dan memberi kegembiraan kepada orang ramai,” katanya yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Kecintaan dalam bidang itu turut dikongsi bersama ibu, Ranjit Kaur, 52, dan kakaknya, Ranmeet 26, yang sentiasa memberi sokongan serta tunjuk ajar.

Kiran mengikut jejak langkah kakaknya yang merupakan Miss Grand International Malaysia 2016 manakala, ibunya pula Mrs World Malaysia Kategori Classic 2015.

Pemalu

Ranjit pada usia remaja sering mengikuti pelbagai pertandingan ratu cantik ketika di kolej dan minat tersebut diwarisi oleh dua orang anak gadisnya.

Oleh itu, tidak hairanlah, kecintaannya terhadap dunia ratu cantik sentiasa mekar dan pada usia 19 tahun, Kiran mengikuti Miss Universe Malaysia 2016.

“Saya sebenarnya seorang pemalu dan kurang keyakinan diri tetapi ibu sentiasa memberi dorongan serta semangat untuk mengejar cita-cita tersebut.

“Siapa sangka tuah berpihak kepada saya dan percubaan pertama membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2016,” tutur anak bongsu daripada dua beradik itu.

Kejayaan tersebut membolehkan gadis berketurunan Punjabi itu menjejakkan kaki ke pertandingan Miss Universe Ke-65 yang diadakan di Manila, Filipina pada Januari lalu.

Kongsi pengalaman


SENAMAN merupakan rutin kegemaran Kiran kerana ia dapat meredakan tekanan.


Berkongsi pengalaman sepanjang berada di sana, Kiran mengakui pada awalnya dia sedikit gementar dan risau kerana perlu bersaing dengan ratu cantik yang sangat hebat dari seluruh negara.

“Pelbagai perasaan bermain di minda tetapi saya semakin seronok apabila bersama peserta-peserta lain. Ini kerana mereka sebenarnya sangat mesra, merendah diri dan kami sangat rapat malah membantu antara satu sama lain.

“Kami banyak mempelajari adat serta budaya masing-masing. Mereka juga sangat berminat untuk mengetahui mengenai Malaysia dan ia merupakan kenangan paling manis,” katanya yang gemar melancong dan membaca buku pada masa lapang.

Di sebalik kenangan indah itu, kecederaan lutut yang dialami sebelum pertandingan itu berlangsung merupakan detik sukar baginya.

Ia terjadi semasa Kiran bercuti bersama keluarga dan tindakannya yang berpusing terlalu cepat menyebabkan lututnya cedera dan membengkak sehingga mengganggu persiapan ke pertandingan itu.

“Saya perlu menjalani latihan terutamanya catwalk yang memerlukan pergerakan kaki sehingga terpaksa menahan kesakitan.

“Saya berasa sedikit kecewa dan tertekan dengan keadaan itu kerana peluang menyertai Miss Universe bukan mudah dan ia merupakan impian sejak kecil.

“Saya bersyukur kerana pihak Pertubuhan Miss Universe Malaysia memahami keadaan itu dan keluarga sentiasa memberi sokongan tanpa henti,” terang gadis berketinggian 174 sentimeter itu.

Bercerita mengenai rutin kecantikan, Kiran memberitahu, dia sebenarnya tidak gemar memakai solekan dan akan berbuat demikian sekiranya pergi majlis-majlis tertentu sahaja.

Perkara paling penting adalah membersih muka daripada kesan solekan agar kotoran itu tidak merosakkan kulit wajah.

“Saya juga suka bersenam kerana ia merupakan terapi, meredakan tekanan, kekal sihat serta cergas.

“Selain itu, saya akan memakai krim perlindungan matahari, topeng muka dan minum air yang banyak,” katanya.

Tambah Kiran, dia turut mengamalkan petua kecantikan warisan keluarga untuk mendapatkan rambut yang cantik iaitu menggunakan santan kelapa.

Sejak kecil ibunya akan meletakkan santan pada rambut dua orang anak gadisnya. Ranjit yang bertugas sebagai peguam, amat menitikberatkan kesihatan dan kecantikan anak-anaknya.

Lakonan

Kiran yang berpegang kepada prinsip tidak berputus asa dan yakin diri berpendapat, definisi kecantikan sebenar adalah bersikap rendah diri, mempunyai nilai positif dan sentiasa belajar memperbaiki diri.

Dalam pada itu, gadis tersebut tidak menolak untuk menceburi bidang lakonan, pengacaraan dan peragaan sekiranya diberi peluang kerana dia suka mencuba sesuatu yang baharu.

Kiran turut berpesan kepada gadis-gadis di luar sana agar berani mengejar impian dan mencuba apa sahaja yang diimpikan kerana tanpa melakukannya kita tidak tahu sejauh mana potensi diri.

Selepas setahun menangguhkan pelajaran untuk memberi fokus kepada pertandingan Miss Universe, kini, Kiran menarik nafas lega kerana dapat meneruskan pengajian dalam jurusan pergigian di International Medical University, Kuala Lumpur.

“Selain bergelar ratu cantik, saya juga bercita-cita sebagai doktor gigi dan kini akan memberi sepenuh perhatian kepada pelajaran yang akan mengambil masa selama lima tahun.

“Saya memilih kerjaya sebagai doktor gigi kerana suka melihat senyuman kerana ia membuatkan hidup kita menjadi indah serta mencipta kecantikan tersendiri,” katanya yang turut berbakat dalam permainan muzik tradisional India iaitu dhol dan harmonium.

Dia turut merancang untuk memiliki klinik sendiri dan membantu insan-insan yang memerlukan perkhidmatannya.