Kisah yang sudah lama ternoktah



Bungkam hati hati sang perawan ini tatkala ditebak mengenai kobar cintanya yang telah lama padam. Bukan niat untuk berdiam, sementelahan pula segenap hikayat rindu sudah terlipat kemas dalam kamus sejarah silam. Cuma, aktres jelita bernama Nazeera Sardi ini cukup memahami mengapa ia membangkitkan perdebatan terutamanya apabila khalayak tidak tahu-menahu bibit bahagia bersama tukang lelucon popular sebelum ini sudah sekian lama ternoktah.

“Kisah antara kami sudah lama berakhir sejak lebih setahun. Bagi saya, cerita ini sudah tiada dan tidak lagi terfikir mengenai perkara itu.

“Masing-masing sudah matang dan tahu tiada jodoh antara kami, namun saya faham kenapa orang masih bertanya memandangkan kami tidak pernah bercerita mengenai perkara itu sebelum ini,” ungkapnya jujur kepada Sensasi Bintang.

Andai ada yang beranggapan kinetik hatinya kini seolah-olah terhenti untuk mendamba energi kasih baharu daripada mana-mana jejaka, pemilik nama sebenar Siti Nazirah Sardi, 31, memiliki jawapannya tersendiri berhubung perkara itu.

Bertemu yang lebih baik

“Apa yang Allah bagi, insya-Allah saya terima asalkan memahami dan boleh menerima saya dan keluarga seadanya. Tidak mustahil, Tuhan mahu beri yang lebih baik, sebab itu cerita sebelum ini tidak terjadi.




“Keluarga juga memahami. Setakat tanya-tanya bila mahu mendirikan rumah tangga itu biasalah, tambahan pula saya saja yang masih bujang apabila abang juga akan berkahwin tidak lama lagi.

“Buat masa ini, saya kekal fokus terhadap perkembangan karier dan belum menjalinkan hubungan serius dengan sesiapa,” getus Nazeera menguntum senyum.

Teraju utama telefilem Izinkan Aku Menebus Dosa itu memberitahu, bukan mudah untuk menebak persepsi orang lain terhadap dirinya yang seringkali dianggap sombong selama ini lantaran memiliki raut wajah sedemikian.

Percaya dirinya tidak akan maju ke depan jika asyik memikirkan pandangan orang lain, ironinya gadis manis kelahiran Gemencheh, Negeri Sembilan ini seringkali dilamar menjayakan watak naif dan bukannya antagonis, jika ada pun boleh dibilang dengan jari contohnya drama Memori Cinta Suraya.

“Sejak membuat debut menerusi drama Hanya Padamu bersama Beto Kusyairy dan Zahiril Adzim sekitar 2012, saya memang seringkali ditawarkan watak protagonis.

“Sejujurnya, saya tidak kisah asalkan mampu tampil dengan lakonan berkualiti tidak kira ketika menjayakan watak baik ataupun jahat,” ungkap anak bongsu daripada lapan adik-beradik itu.

Beauty with brain

Pada masa sama, resume pendidikan yang dimiliki hos Varia Rasa Sunquick ini juga bukan calang-calang. Jika ada yang menganggap Nazeera tergolong dalam golongan beauty but bimbo, ia satu tanggapan yang silap.

“Bukan mudah mahu membahagikan masa antara pelajaran dan karier, cuma pejam celik saya bakal menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan sekitar tahun depan.

“Jika diikutkan, saya sendiri tidak pernah bermimpi untuk bergelar pelakon kerana sekadar mahu mencari duit poket menerusi iklan komersial sebelum serius berlakon.

“Mungkin, saya akan menjadi penyelidik ataupun pensyarah jika tidak berlakon,” katanya yang turut memegang Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi itu.

Memanjat rasa syukur dengan perkembangan kariernya yang semakin baik saban tahun berbanding sebelumnya, teraju telefilem Syurga Di Hujung Jalan juga tidak menolak kemungkinan untuk mencuba nasib sebagai penyanyi selepas ini.


HATI aktres jelita ini masih belum dimiliki mana-mana jejaka.


“Tidak salah rasanya untuk mencuba menyanyi biarpun bidang pengacaraan lebih dekat pada jiwa, mana tahu rezeki mudah-mudahan,” getusnya melentur tawa di bibir.

Mrs. Vampire

Kalau nak tahu, Nazeera juga seringkali diusik dengan panggilan nakal Mrs. Vampire di laman Instagram oleh peminat gara-gara bakal muncul dalam repertoir terbaharunya berjudul Pembancuh Kopi Mr. Vampire arahan Eyra Rahman yang bakal menemui penonton di saluran HyppTV sekitar penghujung bulan ini.

“Dalam drama yang diadaptasikan daripada novel nukilan Aii Fariza itu, saya membawakan watak sebagai Nuzul Filzah, seorang pembancuh kopi yang terpaksa berdepan karenah majikan bernama Alif Irshad (lakonan Ungku Ismail Aziz) yang sombong dan berlagak.

“Penggambaran telah diadakan sejak lebih dua bulan lepas dan saya berharap peminat dapat menghayati keserasian kami dalam drama berkenaan,” ujarnya.

Sengaja diajak gadis jelita ini berbicara mengenai keperihalan peribadinya yang tidak diketahui umum dan ini jawapan jujur Nazeera.

“Saya memang takut kucing dan bukan sengaja untuk bersikap sedemikian. Sejak kecil, timbul perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata jika didekati haiwan berkenaan.

“Pada masa sama, saya juga suka menyanyi dalam bilik air, seolah-olah konsert dibuatnya. Selain fanatik warna merah jambu, saya juga tidak suka memakai kasut tumit tinggi.

“Cuma di sebalik perwatakan yang periang, saya sebenarnya cukup sensitif dan mudah tersentuh terutamanya ketika bersama keluarga,” ujarnya seraya menoktah bicara.