Rasai pengalaman jadi juruterbang pesawat Boeing

Mohamad HILMAN (kiri) membantu salah seorang peserta program Junior Pilot di Aviax, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.


SEAWAL pukul 8 pagi, Zieurr Ismal Naufal Jamalul Nizam, 8, sudah terpacak di hadapan pintu masuk Pusat Simulator Penerbangan Aviax (Aviax) di pusat beli-belah Space U8, Shah Alam, Selangor.

Perasaannya bercampur baur antara gembira dan teruja selepas mendapat kebenaran ibu bapa untuk menghadiri program Junior Pilot yang dikendalikan oleh Aviax.

“Saya memang kerap bermain permainan video berkaitan penerbangan di rumah tetapi hanya menggunakan konsol sebagai alat kawalan utama.

“Di sini, keadaan agak berbeza kerana saya berpeluang menerbangkan pesawat menggunakan mesin simulator sebenar pesawat jenis Boeing,” kata murid tahun dua Sekolah Antarabangsa Idrissi di Setia Alam, Selangor itu.

Jelasnya lagi, walaupun hanya sehari, program yang disertai itu membolehkan dia mengetahui lebih banyak tentang pesawat udara, sekali gus meningkatkan minat untuk mendalami bidang itu pada masa hadapan.

Malah, dia yang bercita-cita menjadi seorang juruterbang juga bercadang untuk berkunjung lagi ke Aviax bagi mengasah bakat dalam menerbangkan pesawat ke pelbagai destinasi di seluruh dunia seperti yang telah diprogramkan pada simulator berkenaan.

Aviax merupakan sebuah pusat riadah yang menyediakan mesin simulator penerbangan bagi pesawat Boeing 737-800 untuk dikendalikan oleh orang ramai.

Selain simulator pesawat Boeing, pusat itu turut menyediakan pelbagai alat simulator bagi pesawat ringan dan tempur menggunakan komputer untuk dikendalikan oleh pengunjung selain kelas teori berkaitan pesawat bagi mereka yang benar-benar ingin mendalami bidang berkenaan.

Tarik minat


SAFIA ANISA (kiri) menerangkan sesuatu mengenai peralatan di dalam kokpit simulator itu kepada tiga peserta yang mengikuti program tersebut.


Kemudahan yang disediakan itu turut berjaya menarik minat seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent, Melaka, Nur Arinah Mohd. Nazri, 14, untuk menyertai program Junior Pilot tersebut.

Nur Arinah berkata, dia sanggup menempuh perjalanan yang jauh semata-mata mahu mempelajari perkara asas berkaitan pesawat selain mengambil peluang menerbangkan pesawat Boeing menggunakan mesin simulator khas yang disediakan.

“Saya dapat tahu tentang kewujudan pusat simulator ini selepas melihat ia menerusi laman sosial Facebook.

“Disebabkan saya memang bercita-cita mahu menjadi juruterbang, saya memujuk ibu supaya membenarkan saya mengikuti program Junior Pilot yang dianjurkan ini. Alhamdulillah, permintaan saya dipenuhi.

“Walaupun terpaksa datang dari jauh, ilmu yang saya peroleh benar-benar membantu untuk meningkatkan pemahaman saya berkaitan pesawat.

“Apa yang lebih penting, ia meningkatkan semangat saya untuk belajar bersungguh bagi mencapai cita-cita itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Aviax, pemiliknya, Mohd. Tarmizi Shuib, 44, berkata, idea untuk membuka pusat itu tercetus selepas dia memiliki set lengkap simulator penerbangan pesawat yang dibina menggunakan komputer di rumahnya.

Katanya, walaupun tidak pernah bertugas sebagai juruterbang atau mengikuti sebarang latihan di institusi penerbangan, minat yang mendalam terhadap pesawat telah mendorong dia untuk berbelanja sehingga RM10,000 bagi membina simulator sendiri.

“Pada peringkat awal iaitu sekitar tahun 2000, saya menggunakan komputer yang ada di rumah untuk dijadikan simulator penerbangan. Alat konsol digunakan sebagai alat kawalan.

“Sedikit demi sedikit, saya menaik taraf komputer untuk disesuaikan dengan perisian terkini yang ada di pasaran.

“Akhirnya, dengan simulator yang ada di rumah, saya berpeluang untuk menerbangkan pesawat Boeing daripada satu lapangan terbang ke lapangan terbang lain di seluruh dunia walaupun tidak bertugas sebagai juruterbang sebenar,” katanya.

Cita-cita

Jelas Mohd. Tarmizi lagi, melihat kepada potensi yang ada berkaitan minatnya itu, dia mendapat idea untuk memulakan perniagaan pusat simulator penerbangan agar lebih ramai orang berpeluang merealisasikan cita-cita mereka untuk menjadi seorang juruterbang.

Bermula pada tahun 2012, dia membuka pusat simulator itu di kawasan perniagaan di TTDI Jaya, Shah Alam selepas membeli sebuah mesin simulator khas pesawat Boeing 737-800 daripada syarikat pembekal dari Kanada dengan kos melebihi RM200,000.

“Mesin simulator itu mirip ruang kokpit pesawat Boeing 737-800 sebenar yang banyak digunakan oleh syarikat penerbangan ketika ini termasuk setiap butang dan paparan skrin.

“Oleh itu, sesiapa yang masuk ke dalam mesin simulator ini akan berasa seolah-olah mereka adalah seorang juruterbang yang sedang menerbangkan pesawat Boeing,” katanya.

Tiga dimensi


Peserta yang menyertai program Junior Pilot yang diadakan di Aviax baru-baru ini.


Menurut Mohd. Tarmizi, mesin simulator itu juga mempunyai projektor yang akan memaparkan persekitaran sebenar dalam bentuk tiga dimensi sama ada ketika pesawat berada di lapangan terbang atau terbang di ruang udara sesebuah negara.

Lebih istimewa, simulator itu dilengkapi dengan kesemua paparan dan maklumat lapangan terbang yang ada di seluruh dunia kecuali Israel, ini sekali gus memberi peluang kepada peserta memilih mana-mana lapangan terbang yang diingini sama ada mahu menerbangkan atau mendaratkan pesawat.

Pengunjung juga boleh memilih pakej yang bersesuaian sama ada hanya ingin menggunakan mesin simulator atau termasuk menghadiri kelas teori berkaitan pesawat dan penerbangan.

Sementara itu, pelajar lepasan Pusat Latihan Penerbangan Asia Pacific di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, Mohamad Hilman Mohamad Roslan, 24, yang bertugas sebagai jurulatih di Aviax memberitahu, kebanyakan pengunjung yang datang ke pusat itu akan memilih pakej untuk mengendalikan mesin simulator pesawat Boeing 737-800 kerana ia memberi pengalaman seumpama mengendalikan pesawat sebenar.

Namun, sebelum mengendalikan mesin simulator itu, pengunjung akan diberi tunjuk ajar terlebih dahulu berhubung perkara asas berkaitan pesawat dan fungsi setiap alat kawalan yang terdapat di ruang kokpit.

“Setiap butang yang terdapat di ruang kokpit simulator adalah sama dengan apa yang ada pada kokpit pesawat sebenar.

“Jadi, pengunjung perlu mengetahui setiap butang kawalan yang ada bagi membolehkan mereka benar-benar memahami fungsinya agar masa yang dihabiskan selama beberapa jam di pusat simulator ini meninggalkan pengalaman yang menyeronokkan,” katanya yang turut dibantu seorang lagi jurulatih, Safia Anisa Abu Bakar yang merupakan pelajar lepasan Akademi Penerbangan Malaysia berpusat di Batu Berendam, Melaka.

Tambahnya, selain orang awam, bakal juruterbang dan juruterbang yang baru memulakan tugas dengan syarikat penerbangan turut menjadikan Aviax sebagai pusat latihan bagi menambah kemahiran mereka mengendalikan pesawat Boeing itu.