Menjengah keindahan Air Terjun Madakaripura


Air yang turun dari tebing batu membentuk formasi air terjun yang sangat indah di Madakaripura, wilayah Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia.


Air Terjun Madakaripura merupakan salah satu lokasi tumpuan pelancong yang terdapat di wilayah Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia.

Terletak berhampiran Kota Probolinggo dan berada di kedudukan antara Surabaya serta Bromo, air terjun yang mempunyai ketinggian kira-kira 200 meter itu merupakan air terjun kedua tertinggi di Indonesia.

Kedudukan yang terletak di kawasan pergunungan menyebabkan keaslian dan keindahannya masih terpelihara. Kesegaran udara gunung pasti akan membuatkan setiap pengunjung berasa nyaman dan tenang ketika berada di sana.

Air Terjun Madakaripura yang terletak dalam kawasan Taman Nasional Bromo Tengger itu sememangnya diakui memiliki keindahan yang tiada tolok banding.

Ia berbentuk seperti separa bulatan dan dikelilingi oleh bukit-bukau yang mengalirkan air pada sebahagian besar tebingnya seumpama hujan gerimis.

Malah, ada sebahagiannya mengalirkan air dalam kuantiti yang banyak sehingga membentuk formasi air terjun.

Berada di bawah tirai air terjun ini sememangnya sangat menyeronokkan kerana anda akan berasa seperti bermain air hujan.

Namun, pemandangan yang sangat menarik tentunya di kawasan air terjun utama. Tebing yang membentuk umpama tirai air terjun menjadikan anda seolah-olah seperti berada dalam sebuah botol raksasa.

Di bawah air terjun itu pula terdapat sebuah kolam sedalam kira-kira tujuh meter dengan luas sekitar 25 meter persegi.

Keindahan pelangi

Di sebalik air terjun itu juga terdapat ruang luas yang membentuk seperti gua. Anda boleh berenang menyeberangi kolam itu untuk memasuki gua berkenaan atau menghabiskan masa dengan mandi-manda di kawasan kolam tersebut.

Sekiranya cuaca cerah dan cahaya matahari menembusi ruang di dalam kawasan itu, anda berpeluang melihat keindahan pelangi yang akan terbentuk.

Keindahan yang terdapat pada Air Terjun Madakaripura itu menjadikan ia satu lokasi kunjungan wajib bagi pelawat yang mengikuti program melancong ke Bromo.

Malah, sekiranya anda berada di Bromo untuk bercuti tanpa mengikuti sebarang pakej percutian, air terjun itu juga akan menjadi satu lokasi yang disarankan oleh jurupandu pelancong atau penduduk tempatan untuk dikunjungi.

Namun, sekiranya anda berkunjung ke air terjun itu secara sendiri tanpa jurupandu pelancong, anda dinasihatkan agar meninggal lokasi berkenaan sebelum lewat petang kerana hujan kerap turun pada waktu berkenaan.

Keadaan itu boleh membahayakan keselamatan kerana air dari kawasan atas tebing akan turun dengan banyak, sekali gus mudah memenuhi kawasan bawah sehinggakan menyukarkan anda untuk keluar daripada tempat tersebut.

Terdapat beberapa akses yang membolehkan anda sampai ke Air Terjun Madakaripura. Dari Bromo, ia mengambil masa kira-kira 45 minit dengan menaiki kenderaan untuk ke kawasan perkampungan Sukapura.

Dari kawasan parkir pula, anda perlu berjalan kaki menerusi anak tangga sejauh kira-kira satu kilometer yang mengambil masa sekitar 15 minit untuk ke lokasi air terjun.

Untuk ke sana, anda dinasihatkan mengambil khidmat jurupandu pelancong bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Di sebalik keindahannya, Air Terjun Madakaripura sebenarnya mempunyai kisah yang tersendiri dan dikatakan mempunyai kaitan dengan tokoh kerajaan Mahapahit iaitu Gajah Mada.

Berdasarkan cerita mitos, pada akhir hayatnya, Gajah Mada telah menyendiri di kawasan air terjun berkenaan untuk menghabiskan masa tuanya daripada hingar bingar kehidupan dunia.

Disebabkan kepercayaan yang sangat kuat terhadap mitos itu, sebuah patung Gajah Mada turut ditempatkan di pintu masuk ke kawasan air terjun berkenaan yang boleh dilihat sehingga kini.