Saranan Syazwan Zulkifly



TREND penerbitan drama berubah mengikut peredaran masa. Jika naskhah-naskhah berat sering disajikan kepada penonton suatu ketika dahulu, kini kandungan hiburan yang disiarkan di layar kaca dilihat lebih ringan dan bersifat santai.

Biarpun trend tersebut terbukti mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan khalayak, namun masih ada segelintir yang mahukan keseimbangan pada pola penerbitan drama-drama tempatan.

Bagi pelakon Syazwan Zulkifly, 30, stesen televisyen dilihat perlu lebih kreatif dalam menerbitkan drama, lebih-lebih lagi untuk menarik minat golongan urban menonton karya-karya anak tempatan.

“Saya tidak mengatakan yang drama bergenre santai tidak bagus. Hal ini kerana, drama yang mempunyai unsur komedi dapat memberikan hiburan secara ringan kepada penonton yang mungkin kepenatan selepas seharian bekerja.

“Namun jika boleh, seimbangkan dengan drama-drama yang punya mesej. Ia bukan sahaja dapat memberikan warna terhadap bidang penyiaran tetapi mampu mendidik penonton biarpun sedang menyaksikan kandungan berbentuk hiburan,” kata Syazwan.

Tambah pelakon yang pernah popular dengan drama bersiri Juvana itu, penerbitan pelbagai jenis genre drama juga berupaya mengubah persepsi penonton secara kreatif.

“Kita ambil contoh drama bersiri luar negara seperti Breaking Bad dan Game Of Thrones yang menjadi kegilaan ramai sejak diterbitkan. Biarpun ia digarap untuk tontonan orang dewasa, namun golongan muda dan berusia juga menggemari drama bersiri tersebut.

“Mengapakah elemen-elemen yang ada pada drama bersiri antarabangsa tidak disuntik pada karya tempatan? Jika kena dengan gaya dan persembahan, pasti drama-drama sebegini mendapat tempat di hati khalayak,” katanya lagi.

Namun, kesan terhadap corak penerbitan drama yang tidak seimbang dilihat sudah mula menjejaskan penerimaan penonton terhadap karya-karya bersifat berat, khususnya menerusi format filem.

“Apabila kerap didedahkan dengan naskhah yang mudah, khalayak menjadi malas ke pawagam untuk menonton filem-filem bergenre berat.


Kerap dilabelkan sebagai seorang yang panas baran, kata Syazwan, hakikatnya dia merupakan seorang individu yang pendiam.


“Akhirnya, industri perfileman menjadi hambar dan hanya meledak tatkala filem-filem bergenre aksi ditayangkan,” tutur pemilik nama lengkap, Mohd. Syazwan Zulkifli itu sambil mengharapkan perubahan mentaliti penonton terhadap karya-karya berkualiti yang dihasilkan penerbit tempatan.

Logik

Mengulas mengenai cara wajar untuk membina kefahaman tersebut dalam kalangan penonton, Syazwan menjelaskan, pelakon sendiri perlu melakukan banyak perbincangan dengan pengarah supaya watak yang ingin dibawa sampai ke jiwa penonton.

“Setiap kali menerima skrip, saya akan baca terlebih dahulu dan cuba memahami apa yang ingin disampaikan oleh penulis.

“Jika ada perkara yang dirasakan tidak selari dengan jalan cerita, saya cuba menyuarakan beberapa idea kepada pengarah supaya watak yang dilakonkan kelak tidak kelihatan janggal dengan perjalanan cerita,” katanya.

Menurut Syazwan lagi, limitasi yang diletakkan oleh stesen televisyen kadangkala menjadikan seseorang pelakon itu lebih kreatif.

“Mengambil contoh babak seorang anak yang mengasari ibunya, secara logik, sentuhan fizikal secara kasar diperlukan. Namun, ia agak mustahil dilakukan kerana bimbang memberi contoh kurang baik kepada penonton.

“Jadi, sebagai pelakon kita perlu lebih bijak untuk mencari alternatif lain agar apa yang dilakonkan mampu memberi kesan kepada penonton,” katanya lagi.

Baran

Sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan menerusi drama Juvana sekitar 2011, pelakon yang begitu sinonim dengan watak Apek itu sering dilabel sebagai individu yang panas baran.

Tidak cukup dengan itu, pelakon drama bersiri Istikharah Cinta itu juga pernah digosipkan memukul bekas kekasihnya, pengacara Shenty Feliziana dua tahun lalu.

Mencetuskan kontroversi tanpa sengaja, ada beberapa pihak yang mendakwa Syazwan sering mengamalkan sikap defensif atau dengan erti kata lain, tidak boleh dicuit.

Tertawa apabila mendengar jolokan tersebut, Syazwan memilih untuk menyuarakan rasa hatinya.


Syazwan kini hangat dengan drama rantaian Nahu Rindu bersama Aeril Zafrel dan Ummi Nazeera.


“Sejak awal kemunculan lagi, ramai yang melabelkan saya sebagai pelakon yang tidak boleh dicuit. Setahu saya, banyak perkara dan kontroversi yang telah saya lalui tetapi tidak pula saya melenting.

“Saya sendiri hairan bila perkara ini diperkatakan. Sejujurnya, saya merupakan seorang pendiam. Rakan-rakan rapat juga jarang nampak saya marah-marah.

“Kisah baran ini mungkin tidak akan habis. Barangkali disebabkan wajah saya dan watak antagonis yang saya bawakan, label baran itu telah menjadi sebati dalam diri,” ujarnya dalam nada berseloroh.

Melanjutkan bicara mengenai impak yang dilalui selepas isu pukul tersebut, Syazwan berkata, dia berasa sedikit kesal kerana digam oleh stesen televisyen tempat Shenty bekerja.

Antagonis

“Saya berasa sangat kecewa apabila mendapat tahu nama saya ditolak oleh stesen televisyen tersebut setiap kali dicadangkan oleh penerbit.

“Bagi saya, apa yang berlaku antara kami adalah bersifat peribadi dan secara profesionalnya, ia tidak memberi kesan kepada stesen televisyen berkenaan,” katanya lagi.

Berbicara mengenai drama lakonannya yang kini sedang ditayangkan menerusi slot Zehra, Nahu Rindu, Syazwan meletakkan harapan yang tinggi terhadap karya sentuhan Eoon Shuhaini itu.

Katanya, biarpun telah ditayangkan terlebih dahulu di platform digital tonton.com.my, namun sambutan yang diberikan oleh penonton sangat memberangsangkan.

“Biarpun ditayangkan buat kali yang kedua, maklum balas penonton begitu positif.

“Tambahan pula, tayangan di layar kaca secara tidak langsung memberi peluang kepada penonton yang tidak mempunyai akaun tonton.com.my atau sambungan internet di rumah menikmati drama ini,” katanya.

Bercakap mengenai watak yang dijayakan iaitu Zamani, Syazwan menyifatkan ia berlainan daripada karakter yang pernah dibawakan sebelum ini.

“Berbanding watak antagonis sebelum ini, watak Zamani bermula sebagai seorang lelaki yang baik. Namun, karakter Zamani berubah beransur-ansur kepada watak antagonis seiring dengan perjalanan cerita,” katanya lagi.

Menyifatkan drama yang turut dilakonkan oleh Aeril Zafrel dan Ummi Nazeera itu sebagai sebuah karya Islamik kontemporari, Syazwan berharap agar Nahu Rindu dapat diterima dan dijadikan panduan oleh masyarakat.

“Secara kasarnya, Nahu Rindu hanyalah sebuah drama komersial biasa.

“Namun, di sebalik nilai komersial tersebut, terselit pengajaran berguna yang boleh dimanfaatkan orang ramai,” tutupnya.