JPV musnahkan 2,438 ayam kampung, 860 telur elak selsema burung menular

13/03/2017 1:32pm

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) setakat ini sudah memusnahkan sebanyak 2,438 ekor ayam kampung dan 860 biji telur di Kampung Pulau Tebu, Tunjung, Kota Bharu sejak 6 Mac lalu akibat gejala penyakit selsema burung H5N1.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, proses memusnahkan ayam dan telur itu dilakukan pada setiap hari di Zon Pemantauan yang berlingkungan sejauh 15 kilometer (km) dari kawasan wabak itu mula dikesan.

“Setakat ini keadaan adalah terkawal walaupun belum bebas sepenuhnya. Semua ayam yang dijangkiti virus ini adalah ayam kampung.

“Namun, sekiranya penularan virus ini tidak dikawal, ia boleh menjangkiti ayam komersial. Buat masa ini, jangkitan hanya terkepung di kawasan yang berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) 2016 di Wisma Tani di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini mengenai kes selesema burung dikesan di kampung tersebut apabila beberapa ekor ayam kampung yang mati, disahkan positif selesema burung. - K! ONLINE