Tuah tujuh tahun Ernie Zakri

GURU VOKAL - Ernie mula menjadi guru vokal sejak tiga tahun yang lalu. Antara anak didik yang pernah berguru dengannya ialah Siti Nordiana, Siti Sarah Raisuddin dan Azza Elite.


percaturan Ernie Zakri untuk menjadi sebahagian daripada bintang di langit dunia hiburan tanah air telah bermula sejak tujuh tahun lalu. Tanpa kenal lelah meneruskan kecintaan terhadap bidang muzik, akhirnya bakat seni anak kelahiran Kuala Lumpur itu bukan sahaja diiktiraf peminat, bahkan popularitinya meledak usai bergelar juara program Duo Star pada Februari lalu.

Melihat tubuh yang kecil molek, pasti ramai menyangka wanita berusia 25 tahun itu masih hijau dalam industri muzik. Hakikat sebenarnya, muzik ialah padang tempat dia bermain selepas diangkat sebagai juara program Bintang RTM pada 2009.

Entah di mana silapnya, sepanjang tujuh tahun lalu, Ernie gagal menarik perhatian peminat meskipun pernah menghasilkan album berjudul Sinaran pada 2011.

Pernah kecewa dan hampir berputus asa tetapi demi cintanya terhadap muzik, Ernie terus hidup meskipun terpaksa menelan beberapa pengalaman yang menyakitkan.

“Saya pernah dipandang sinis dan sebelah mata bukan sahaja oleh penggiat seni tetapi juga peminat. Biasanya ramai orang tidak mengenali saya tetapi apabila diberitahu pernah menjadi juara Bintang RTM, mereka memberi alasan tidak menonton televisyen.

“Memang agak kecewa tetapi saya hadam semua yang berlaku dan jadikannya sebagai motivasi untuk mempertingkatkan diri. Alhamdulillah, sejak program Duo Star, saya semakin dikenali ramai dan kerjaya seni berjalan lancar,” tuturnya memulakan bicara.

Sungguhpun gembira dengan perkembangan kerjayanya, Ernie masih dalam proses menyesuaikan diri dengan segala perubahan positif yang berlaku dalam sekelip mata. Selepas melalui tempoh sukar, dia seakan-akan tidak percaya dirinya kini seorang penyanyi yang dikenali ramai.

Biarpun rezekinya tiba agak lewat, Ernie tidak pernah menyesal kerana terpaksa melalui pengalaman yang benar-benar menguji dirinya sebagai penyanyi. Selepas kerjaya nyanyian tidak berjaya, Ernie menukar haluan menjadi seorang guru vokal di Akademi Muzik Bentley yang masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Tugas sebagai guru vokal telah memberi ruang untuknya memperbaiki diri sebagai penyanyi secara keseluruhan, termasuk kemahiran berkomunikasi dan meningkatkan tahap keyakinan diri.

“Saya tidak melihat transisi daripada seorang penyanyi menjadi guru vokal sebagai zaman kejatuhan. Sebaliknya, tugas sebagai guru vokal telah membuka mata saya seluas-luasnya tentang kelemahan dan kesilapan yang dilakukan sebagai penyanyi sebelum ini.

“Guru merupakan kerjaya yang cukup dekat dengan hati saya. Justeru, walaupun jadual semakin padat, saya tetap meneruskan tugas sebagai guru vokal sehingga ke hari ini. Tanpa pengalaman tersebut, saya tidak akan berubah,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda jurusan Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Saat berbicara lebih mendalam tentang perubahan yang berlaku dalam dirinya, Ernie terdiam seketika. Selang beberapa minit Ernie memulakan bicara dan memberitahu, dahulu dia hanya seorang penyanyi semata-mata.

Tidak kira suka atau tidak dengan lagu yang didendangkan, tugasnya hanyalah menyanyi dengan baik. Bahkan ketika mengeluarkan album, Ernie menerima bulat-bulat lagu yang diberikan walaupun bukan semua lagu berkenaan masuk ke dalam jiwanya.

“Sekarang baru saya tahu sebagai penyanyi, kita harus suka dan menjiwai lagu yang dinyanyikan, barulah orang yang mendengarnya turut tersentuh. Mungkin waktu itu saya masih muda. Jadi saya menyanyi apa sahaja lagu yang diberikan. Walhal ada sesetengah lagu dalam album sendiri sebenarnya tidak melekat dalam jiwa saya.

“Itulah antara kesilapan saya sepanjang tujuh tahun lalu. Sekarang, saya tahu apa yang diinginkan dalam muzik dan tidak takut untuk melemparkan pandangan sendiri,” ujar Ernie yang ditemui di lokasi penggambaran klip video lagu duetnya Aku Cinta baru-baru ini.

Selain lebih yakin menyuarakan pendapat, Ernie juga dilihat semakin bijak menentukan fesyen dan penampilan diri.

“Dahulu saya tidak menjaga penampilan kerana tidak dikenali, namun saya belajar daripada kesilapan. Sebagai penyanyi, saya harus sentiasa berada dalam keadaan kemas. Saya banyak minta tunjuk ajar orang yang lebih arif dalam fesyen.

“Saya lihat kebanyakan artis yang berjaya, tidak kira dalam lakonan atau nyanyian sangat menjaga penampilan mereka. Jadi, sudah tiba masanya untuk saya juga membuat perubahan,” jelasnya.

Peluang kedua

Berbicara mengenai program Duo Star, Ernie menyifatkan ia sebagai peluang keduanya dalam industri muzik. Oleh itu, apabila mendapat tawaran menyertai program berkenaan, Ernie tidak mensia-siakannya dan melakukan sehabis baik.

Baginya itulah peluang untuk kembali bangkit dan mempertaruhkan bakatnya di mata peminat. Percaturannya tidak berdepan jalan sukar. Sepanjang program berkenaan berlangsung, Ernie dan pasangan duetnya Syamel pantas menggamit perhatian.

Diangkat sebagai juara Duo Star umpama sebuah rahmat buat Ernie. Sebaik sahaja program tersebut berakhir, tawaran persembahan turun mencurah-curah. Peminat juga melihatnya sebagai Ernie yang baharu, seorang penyanyi yang lengkap pakej dan kualiti.

“Saya tidak nafikan ia platform yang memberi peluang kedua. Tanpa penglibatan dalam program tersebut, mungkin sukar untuk saya mendapat kepercayaan peminat seperti hari ini.

“Perubahan paling ketara sekarang ini adalah saya semakin sibuk. Walaupun penat, saya bersyukur kerana ini yang diinginkan sejak tujuh tahun lepas. Saya bersyukur kerana tidak berputus asa terhadap impian yang dipasang sejak berusia lima tahun.

“Akhirnya saya boleh berdiri dengan penuh yakin sebagai Ernie Zakri,” getusnya beremosi.

Disebabkan kesibukan kerjaya, Ernie terpaksa menangguhkan buat sementara waktu pengajian Ijazah Sarjana Muzik yang diikuti di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Meskipun berazam mahu segera menamatkan pengajian yang telah dimulakan sejak dua tahun lalu, Ernie terpaksa memberi laluan terhadap kerjaya yang baru hendak berkembang terlebih dahulu.

“Saya suka menuntut ilmu, jika boleh mahu belajar ke tahap tertinggi. Hanya dengan ilmu nasib seseorang itu boleh berubah tidak kira dalam apa jua bidang sekalipun.

“Namun, buat masa ini jadual saya sebagai penyanyi terlalu padat, ditambah dengan kerja sebagai guru vokal. Oleh itu, saya terpaksa berkorban menangguhkan pengajian kerana peluang seperti ini tidak selalu hadir,” kata Ernie yang sepatutnya menamatkan pengajian pada tahun ini.

Syamel

Beralih bicara tentang Syamel, rakan duetnya dalam Duo Star, Erni mengakui hubungan mereka cukup rapat sejak mula bersama-sama mengharungi cabaran dalam program tersebut. Meneruskan keserasian yang tercipta, mereka bahkan muncul dengan lagu duet ciptaan Syamel berjudul Aku Cinta.

Sungguhpun terlihat akrab, hakikatnya mereka hanya saling kenal ketika disatukan dalam Duo Star.

Menurut Erni, sebelum ini dia hanya mengenali Syamel, 24, sebagai juara Akademi Fantasia 2015. Tidak pernah rapat apatah lagi berbual, namun kerjasama dalam Duo Star telah menyatukan mereka sebagai sahabat baik.

“Mungkin sebab usia kami yang sebaya, jadi keserasian cepat timbul. Dia seorang rakan duet yang hebat dan memiliki banyak idea.

“Saya memang mahukan Syamel sebagai rakan duet kerana tahu dia seorang penyanyi yang bagus. Saya bersyukur kerana menerusi program berkenaan, saya telah mengenali seorang sahabat baik dan komposer yang berbakat besar,” katanya.

Gara-gara kemesraan yang terjalin juga, keakraban mereka mula disalah erti. Hubungan persahabatan tersebut dikatakan telah bertukar status menjadi cinta.

Tertawa dengan dakwaan berkenaan, Ernie menjawab, andai benar ada cinta sedang ranum di hati mereka, perkara tersebut tidak akan disembunyikan.

“Kami serasi hanya sebagai sahabat, tidak lebih daripada itu. Jika saya bercinta, tidak kira dengan sesiapa pun, perkara itu tidak akan disembunyikan kerana lambat laun orang akan tahu juga,” tegasnya yang bakal muncul dengan single solo terbaharunya tidak lama lagi.