Saharul Ridzwan kongsi pengetahuan

FILEM - Saharul masih menanti buah tangan sulungnya di layar perak berjudul Rumah Hantu Sakit Jiwa yang masih belum mendapat tarikh tayangan.


Sepanjang tempoh enam tahun bergelar anak seni, sudah banyak drama popular dibintangi Saharul Ridzwan. Namanya meledak dengan deretan drama seperti Hati Perempuan, Kau Aku Kita dan Seindah Takdir Cinta.

Selepas mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu, momentum pemenang trofi Aktor Pilihan dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 itu bagaimanapun menjunam. Dia seakan-akan ‘hilang’ daripada kaca televisyen yang selama ini bersilih-ganti menyiarkan kelibat romantiknya.

Di sebalik ‘kehilangan’ sementara yang menerbitkan kerinduan ramai pemujanya, pemilik nama lengkap Mohd. Saharul Ridzwan Hashim itu sebenarnya sedang mengerah keringat di lokasi penggambaran.

Bukan satu, sebaliknya lima buah drama bersiri lakonannya sedang menanti waktu tayangan dan yang pasti ia akan mengembalikan semula kehangatan Saharul di mata peminat.

“Sebenarnya, ia bukan tentang saya sudah jarang muncul di kaca televisyen tetapi kebanyakan drama lakonan saya belum ditayangkan. Sepanjang tahun lalu, saya terlibat dalam banyak drama tetapi tarikh tayangan semuanya pada tahun ini. Tahun lepas saya banyak bekerja, sebab itu orang ingat saya berehat,” jelas Saharul.

Tambahnya: “Untuk tahun ini sahaja, ada lima buah drama bersiri baharu lakonan saya bakal ditayangkan iaitu bermula April hingga Jun nanti. Jadi, kepada peminat yang bertanya apa produk terbaharu saya, nantikan kesemua lima drama tersebut ditayangkan berturut-turut,” jelas Saharul mengulas tempoh sepinya daripada kaca televisyen.

Menjelang April nanti, Saharul bakal muncul dengan drama berjudul Tauke Jamu siaran TV3 dan Setia Menunggumu (HyppTV), diikuti dengan drama Arluna dan Kampus yang akan disiarkan di Astro pada Mei.

Menyanyi

Dunia seni mempunyai pasang surut. Selain rencam kontroversi mengisi lembaran diari industri, percubaan ramai pelakon mencuba nasib bergelar penyanyi juga menjadi antara trend menarik yang turut mengaitkan nama Saharul.

Menyentuh isu tersebut, Saharul memberi pandangan tersendiri. Lebih-lebih lagi, perkongsian sekeping gambarnya bersama komposer Ajai baru-baru ini mencetuskan andaian peminat kononnya lelaki berusia 28 tahun itu bakal menghasilkan single dan bergelar penyanyi.

Jawab Saharul: “Kalau ada rezeki, saya okey sahaja tetapi buat masa sekarang, saya masih belum ada perancangan ke arah itu (nyanyian). Kalau diikutkan, saya memang suka menyanyi dan ada juga mengunjungi pusat hiburan karaoke.

“Saya tiada masalah dalam soal trend pelakon bergelar penyanyi. Mengapa tidak? Kalau seorang penyanyi boleh menjadi pelakon, apa salahnya pelakon juga menjadi penyanyi.

“Nyanyian memang bakat yang diberi Tuhan tetapi ada banyak cara untuk menjadikan bakat itu diasah dengan betul, contohnya mengambil kelas vokal. Bagi saya, tiada masalah untuk mencuba, sebab itu salah satu cara mencabar diri melakukan perkara baharu dalam hidup,” ujarnya.

Duta

Selain berbakat dalam bidang lakonan, Saharul Ridzwan juga tidak ketinggalan dalam bidang akademik. Dia merupakan pemegang Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat di Kolej Tafe, Seremban, Negeri Sembilan.

Kelebihan tersebut melayakkan dirinya dilantik sebagai duta Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM) yang merupakan platform awal buat golongan remaja mendapat pendedahan dan menerokai ilmu penerbangan.

Pelantikan tersebut secara tidak langsung telah memberi peluang kepada Saharul berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan pesawat bersama golongan pelajar berusia lingkungan 10 hingga 17 tahun.

“Secara peribadi, dahulu saya bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang tetapi disebabkan mengalami masalah rabun, impian tersebut terpaksa dialihkan ke bahagian kejuruteraan pesawat.

“Sebab itu, apabila menerima tawaran menjadi duta KRUM, saya terima dengan lapang dada kerana ia merupakan suatu perkara yang mengujakan.

“Diharapkan penglibatan saya sebagai duta KRUM akan membakar semangat para pelajar untuk gigih mengejar cita-cita,” jelas pelakon yang baru-baru ini muncul sebagai Budin menerusi drama berjudul Trauma.

Selain KRUM, Saharul juga baru dilantik menjadi duta pelancongan sebuah syarikat perhotelan, Erya by Suria Resorts yang dahulu dikenali sebagai Suria Resorts & Hotels.

Selain berperanan sebagai jurucakap, Saharul turut mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhkan penjenamaan semula resort milik bumiputera tersebut.

“Ketika menerima tawaran itu, saya sangat tertarik sebab ia milik bumiputera, malah perkhidmatan yang disediakan juga menekankan konsep patuh syariah mencakupi aspek makanan dan tempat tinggal. Hotel itu juga mesra untuk golongan orang kelainan upaya (OKU).

“Malah, agak jarang kita mendengar artis dilantik sebagai duta hotel dan resort seperti ini. Jadi, ia salah satu cara juga untuk saya mendekati peminat menerusi percutian,” tuturnya yang bakal bertukar status menjadi bapa dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.

Sepakat dengan Qaabila Deena Emir yang dinikahi September tahun lalu, Saharul sebenarnya lebih selesa untuk tidak berkongsi soal jantina anak dalam kandungan isterinya yang kini hamil enam bulan.

Dalam nada gembira, Saharul bagaimanapun teruja berkongsi persiapan bagi menyambut kehadiran orang baharu yang dijangka lahir menjelang pertengahan Jun nanti.

“Kebanyakan pakaian bayi lebih ke arah warna putih dan tiada rona tertentu. Barang-barang keperluan lain juga ada yang telah dibeli.

“Sebenarnya saya tidak mahu terburu-buru melakukan persiapan, sebaliknya mengharapkan bayi yang bakal lahir berada dalam keadaan sihat, begitu juga dengan ibunya,” luah Saharul sambil tersenyum.

Dia turut berkongsi kegigihannya memenuhi permintaan isteri yang mengidam untuk menikmati air kelapa muda yang belum dikeluarkan daripada buahnya.

Menjadikan usaha tersebut lebih dramatik, Saharul memulakan misi mencari kelapa muda pada pukul 3 pagi dan berlarutan sekitar sejam kemudian.

Tanpa sebarang rungutan, Saharul cuba menyempurnakan keinginan si isteri sehinggalah dia tiba di sebuah restoran di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Saya telah mencari di beberapa buah kedai sebelum itu tetapi kesemuanya tidak memenuhi piawaian sehinggalah misi pencarian berakhir sekitar pukul 4 pagi.

“Sebaik sahaja saya membawa pulang untuk diberinya minum, dia hanya minum sekali sedutan, manakala selebihnya dibiarkan,” kata Saharul sambil melepaskan ketawa kecil.

Sejak bergelar suami dan bakal menjadi bapa tidak lama lagi, Saharul mengakui keadaan tersebut mengubah hidupnya secara total. Kalau dahulu, dia bebas menghabiskan wang bagi memenuhi keinginan peribadi, kini ada banyak perkara yang menuntut dirinya berjimat dan teliti dalam pengurusan wang.

“Sekarang, saya kena fikirkan tanggungjawab kepada isteri dan anak. Apa-apa hal, saya perlu utamakan keluarga.

“Bukan soal kewangan sahaja, sejak isteri hamil saya sedar banyak hal. Antaranya tanggungjawab seorang lelaki tidak terbatas dalam memberi nafkah tetapi turut membantu meringankan beban isteri di rumah.

“Kalau isteri memasak, saya akan bantu apa yang patut seperti menghidangkan makanan dan membasuh pinggan mangkuk,” tutupnya.