Influenza bukan selesema biasa


Pemeriksaan awal dapat mencegah penyebaran influenza daripada merebak kepada orang lain. – Gambar hiasan


MINGGU lalu, lebih 400 orang yang terdiri daripada para pelajar sekolah di sekitar negeri Perak dijangkiti gejala penyakit influenza (ILI).

ILI merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Bagaimanapun, difahamkan virus berkenaan merebak selepas para pelajar dari beberapa sekolah berkumpul di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) sempena acara sukan di sekolah tersebut baru-baru ini.

Begitupun, setakat ini, tiada trend luar biasa berkaitan ILI yang dikesan di seluruh Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia, Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, virus influenza sentiasa tersebar di sekeliling kita menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit.

“Amalan menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan bersih, menutup mulut apabila bersin dan batuk serta tidak keluar rumah apabila merasa tidak sihat, sebenarnya boleh membantu mengurangkan penyebaran influenza.

“Begitupun, tabiat berkenaan agak sukar untuk dijadikan rutin dalam kehidupan seharian kebanyakan individu,” katanya.

Hakikatnya, jika dibiarkan dan menjadi tidak terkawal, virus influenza akan menyebabkan wabak di rumah, sekolah serta masyarakat.

Sungguhpun begitu, sehingga kini masih ramai dalam kalangan kita yang mengambil sikap sambil lewa dan kurang sedar dengan kewujudan virus influenza sehingga menimbulkan keadaan yang sangat rumit untuk membendungnya.

Zamberi memberitahu, manusia juga tidak dapat menjangka kemunculan virus influenza menyebabkan kebanyakan tidak berwaspada dengan ancamannya.

“Influenza dan demam selesema adalah dua perkara berlainan walaupun simptom yang ditunjukkan hampir sama seperti demam, batuk dan selesema. Ini menyebabkan masyarakat keliru dan mengambil remeh perkara tersebut, sedangkan hakikatnya pesakit boleh kehilangan nyawa jika tidak dirawat dengan segera.

Merebak

“Apa yang membezakan dua jangkitan tersebut ialah pesakit influenza akan mengalami demam yang lebih tinggi, batuk berkahak, dan menyebabkan komplikasi kepada paru-paru seperti keradangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Jelas Zamberi, influenza atau lebih dikenali sebagai flu bukan sekadar sakit selesema yang teruk tetapi penyakit yang berpotensi serius dan berisiko tinggi kepada semua orang terutamanya warga emas dan kanak-kanak. Jangkitan boleh merebak dengan cepat kepada kumpulan penduduk.

“Kumpulan berisiko adalah orang tua yang berumur 60 tahun ke atas, mereka yang menghidap pelbagai penyakit seperti diabetes, sakit jantung, dan penyakit paru-paru serta kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

“Kelompok ini jika dijangkiti boleh menyebabkan tahap kesihatan mereka merosot dengan teruk dan mengundang maut jika lewat diberi rawatan,” ujarnya.

Selain itu, Zamberi memberitahu, influenza sangat mudah dijangkiti kerana ia boleh tersebar dari individu kepada individu yang lain menerusi air liur disebabkan batuk, bersin ataupun bercakap.

Tempias virus dalam udara boleh menjangkiti orang yang menyedut udara ini lalu tersebar apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.

“Lebih membimbangkan, kita boleh menyebarkan influenza sebelum kita sendiri menyedari telah dijangkiti kerana manusia mempunyai tahap imuniti yang berbeza antara satu sama lain.

“Anda mungkin telah dijangkiti tetapi imuniti anda berjaya melawannya daripada berhadapan dengan simptom-simptom influenza berbanding orang berimuniti lemah seperti kumpulan berisiko,” katanya.

Vaksin

Sementara itu, Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Dr. Che Ilina Che Isahak berkata, pengambilan vaksin secara tahunan antara cara terbaik untuk melindungi kesihatan kerana ia dapat menghalang virus terbabit daripada merebak ke dalam badan.

“Masyarakat kita masih kurang kesedaran terhadap pengambilan vaksin dan hanya menganggapnya sebagai cara melindungi kesihatan diri ketika berada di luar negara. Hakikatnya, vaksin juga perlu diambil meskipun berada di dalam negara.

“Sistem imun kita kadangkala lemah. Tambahan pula, bakteria dan virus boleh mengalami evolusi. Jadi, orang dewasa juga memerlukan vaksin yang boleh menguatkan semula sistem imun dalam badan,” katanya.

Tambah Che Ilina, golongan berisiko lain seperti doktor dan jururawat yang mengendalikan pesakit di hospital juga perlu mendapatkan vaksin untuk melindungi diri mereka daripada penyakit.

“Selain itu, golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan mempunyai pelbagai penyakit kronik perlu diutamakan terlebih dulu mendapatkan vaksin bagi menggelakkan mereka mudah dijangkiti influenza,” ujarnya.

Beliau memberitahu, vaksin influenza boleh diambil di hospital swasta pada harga RM100 hingga RM250 untuk setahun sekali. Ini kerana imuniti badan cuma boleh bertahan sehingga setahun kerana virus tersebut sentiasa bermutasi.

Katanya, beliau menyarankan agar orang ramai mula sedar akan kepentingan vaksin yang bukan sahaja penting dalam mengelakkan jangkitan influenza, bahkan juga daripada penyakit berjangkit berbahaya yang lain.

“Di Malaysia, kita mempunyai program imunisasi yang baik dan melaluinya, jangkitan seperti polio, hepatitis B dan tibi dapat dikawal.

“Kita juga mempunyai sistem global yang mampu memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin. Disebabkan itu, jika ada yang melaporkan tentang isu-isu vaksin (walaupun kecil) Kementerian Kesihatan akan sedia maklum,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar Salam Senawang, Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, semua orang perlu menitikberatkan kebersihan diri yang sangat tinggi bagi mengelakkan virus ini tersebar.

Topeng muka

“Melalui bersalaman, influenza juga boleh berjangkit. Disebabkan itu, penting mencuci tangan dengan menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer). Tangan juga paling banyak bersentuhan dengan benda seperti tombol pintu dan papan kekunci komputer.

“Selain itu, menggunakan topeng muka juga penting terutamanya bagi mereka yang kurang sihat supaya ia tidak menjangkiti orang lain atau sebaliknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkornain memberitahu, para pelajar khususnya di tempat-tempat yang diserang virus influenza digesa memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan bagi mengelak daripada dijangkiti virus itu.