Dua dekad Liyana Jasmay



MENCEBURKAN diri dalam industri hiburan sama ada menjadi pelakon atau penyanyi mungkin mudah. Dalam erti kata lain, mudah untuk menempatkan diri. Bagaimanapun, persoalan yang sering menjadi tanda tanya adalah berapa lama seseorang artis itu mampu untuk terus kekal berada di laluan yang dipilih itu.

Ini kerana, bukan mudah seseorang itu ingin bertahan, apatah lagi banyak muka baharu saban hari yang muncul ketika ini. Maka, tidak hairanlah apabila melihat ada sesetengah artis itu mungkin hanya mampu menjengah setahun dua sahaja.

Sungguh pun begitu, jika apa yang mereka pertaruhkan itu benar-benar bersandarkan bakat sebagai tunjang utama, barangkali itulah rahsia kenapa sebahagian daripada mereka masih ada lagi sehingga kini dan mampu berkelana berpuluh-puluh tahun lamanya.

Begitu jugalah yang dilalui oleh pelakon cukup berbakat besar, Liyana Jasmay. Tempoh perjalanan kariernya sebagai seorang anak seni boleh dikira cukup lama. Jika dihitung, sudah dua dekad perjalanan pelakon filem Isyarat Cinta ini dalam dunia lakonan.

Mana tidaknya, Liyana memulakan langkahnya di hadapan kamera ketika usianya sembilan tahun lagi. Hari ini, pada usia 29 tahun, pengalaman yang diperoleh dalam tempoh itu juga mematangkan dirinya untuk betul-betul faham ragam industri yang diceburinya.

Kalis tipu

“Saya memang sudah masak dengan selok-belok dalam industri ini. Jadi, kalau ada orang yang rasa dia boleh nak perdaya saya, minta maaf sahajalah. Kalau dengan orang lain yang masih baharu dalam bidang ini mungkin boleh mudah diperdaya, tapi bukan dengan saya.

“Sudah pelbagai ragam dan kerenah orang yang saya sudah lihat. Jadi, tak akan ada orang boleh mempermainkan saya sewenang-wenangnya. Saya jadi kalis dengan benda (cubaan orang nak menipu) ini semua,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui pada satu sesi fotografi di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.




Pelakon filem Castello itu memberitahu, antara perkara yang perlu diambil kira untuk terus kekal juga adalah pembawaan diri seseorang artis itu. Tidak keterlaluan jika mengatakan, Liyana juga antara individu yang boleh disifatkan sebagai artis yang tidak terpalit dengan cerita-cerita kontroversi.

“Saya memang tidak ada kontroversi seperti sesetengah artis. Dari dahulu pun rasanya saya tidak ada gosip. Kalau ada timbul cerita pun, satu atau dua sahaja. Cerita ringan seperti kisah saya pakai dres pendek, begitu sahajalah.

“Mungkin susah orang cuba nak kaitkan nama saya kerana ibu sentiasa ada bersama. Lagipun, saya memang jenis yang akan jaga diri. Sebab kalau timbul cerita yang kurang enak didengar, ia menggambarkan nilai diri seseorang,” ujar pelakon Filem Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia pada tahun 2006.

Menurut Liyana, dia banyak berkorban sewaktu zaman remajanya, Tatkala rakan-rakan lain sibuk berhibur di luar pada hujung minggu, dia menghabiskan masa dengan bekerja mencari wang poket sendiri. Bagaimanapun, dia tidak pernah berasa kesal dengan jalan yang dipilih.

Minat dan kecintaannya itulah yang membawa dirinya sehingga ke hari ini. Biarpun sudah bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata, Sofia Arissa yang berusia tiga tahun dan Selena berumur setahun, semangat Liyana tidak pernah padam untuk terus melebarkan bakatnya.

“Ayah saya memang sudah beritahu (kepada suami) yang lakonan merupakan perkara yang dia tidak boleh halang kerana dia sudah tahu yang bidang ini memang jiwa saya.

“Satu masa nanti mungkinlah saya akan berhenti berlakon, cuma tak pasti bila masanya. Akan datang mungkin. Barangkali sewaktu umur saya sudah 35 tahun ke? Sekarang ini pun saya juga banyak buat kerja-kerja belakang tabir dengan menerbitkan drama di bawah syarikat Mermaid Studios Sdn. Bhd.,” kongsi pelantun lagu Aku Jatuh Cinta itu.

Nyanyian

Bercakap mengenai dunia nyanyian pula, menurut Liyana, dia sedar sebelum ini ada pihak yang cuba mempertikai nyanyiannya. Bagaimanapun, cakap-cakap belakang itu sedikit pun tidak menjadi penghalang buatnya untuk terus mengembangkan dunia muzik yang diceburinya sejak 2009.


LIYANA kini muncul dengan single baharu berjudul Oh Na Na yang dihasilkan oleh komposer Alyph.


“Saya tak pernah kisah dengan apa yang orang ingin cakap (pasal nyanyian). Apa yang penting, saya teruskan sahaja menyanyi. Saya ingat lagi Miley Cyrus pernah beritahu, tak kisahlah kalau suara tak sedap jika menyanyi secara langsung, yang penting persembahan itu bukanlah nyanyian gerakan bibir sahaja

“Dari situlah kita akan belajar banyak perkara. Jadi kena banyak lakukan persembahan nyanyian secara langsung sekiranya ingin memperbaiki mutu nyanyian diri sendiri,” katanya yang kini tampil dengan single baharu berjudul Oh Na Na hasil ciptaan bekas anggota duo Sleeq, Alyph.

Pada masa sama, kongsi Liyana, dia turut mengikuti kelas vokal bagi memperbaiki mutu nyanyiannya.

“Saya belajar vokal dengan cikgu Sarah. Dalam kelas, saya diberitahu tidak berdepan dengan masalah. Bahkan, dia beritahu bahawa suara saya sebenarnya boleh pergi hingga ke nada tinggi,” ujarnya yang bakal muncul dengan filem Bella & Jamie.

Katanya lagi, video muzik untuk Oh Na Na itu dirakamkan di Los Angeles, Amerika Syarikat yang diarahkan oleh pengarah baharu, Jeany Amir.

“Penggambaran mengambil masa selama empat hari. Ada beberapa lokasi yang kita paparkan seperti di sekitar kawasan pantai Venice dan pantai Malibu,” katanya yang kini sudah lebih setengah juta tontonan video tersebut di YouTube.