Pengurusan masa suatu kemahiran penting


RUTIN kehidupan seharian manusia banyak dipengaruhi oleh faktor usia, pekerjaan dan gaya hidup. – Gambar hiasan


KEUNIKAN seorang manusia ialah kita dikurniakan ‘jam biologi’ yang tersendiri.

Kehidupan insan selama 24 jam sehari sudah pasti bersilih ganti antara rehat dan melakukan aktiviti tertentu.

Hakikatnya rutin kehidupan seharian kita banyak dipengaruhi oleh faktor usia, pekerjaan dan gaya hidup.

Walaupun ada pandangan mengatakan kita sebaik-baiknya mempunyai tempoh masa tidur sekitar lapan jam sehari, namun semakin berusia seseorang itu maka semakin kuranglah bilangan jam tidurnya.

Percaturan kehidupan kita tidak dapat lari daripada bergantung pada masa.

Umat Islam sudah sekian lama didedahkan dengan Al-Asr yang dinyatakan dengan jelas dalam surah yang ke-103 itu.

Andai kehidupan manusia tidak diurus berdasarkan masa, maka ia adalah suatu perkara yang agak menyukarkan.

Sukar dibayangkan bagaimana pembayaran gaji pekerja ataupun kutipan hutang piutang dapat dilakukan sekiranya manusia tidak ada sistem masa. Semuanya mungkin menjadi kucar-kacir.

Pengurusan masa adalah suatu kemahiran yang penting bagi setiap individu khususnya golongan pelajar.

Manual

Suatu masa dahulu, ketika telefon pintar atau gajet belum muncul di pasaran, sistem jadual waktu disediakan menerusi tulisan secara manual atas kad manila atau kertas A4.

Dekad 1990-an dahulu, ketika penulis masih di bangku sekolah, jadual waktu kelas akan disalin ke dalam kad yang selalunya disediakan percuma oleh pengedar buku tulis.

Kad jadual ini akan diselitkan di mana-mana tempat untuk memudahkan rujukan apabila hendak menyediakan keperluan buku yang bakal dibawa ke kelas.

Inilah kaedah lama yang pernah penulis lalui sebelum ada gajet yang mampu menyimpan pelbagai maklumat sama ada dalam bentuk rekod bergambar atau bertulis.

Apabila teknologi semakin canggih cara manual sudah tidak diamalkan lagi.

Justeru, ramai yang beralih pula kepada pelbagai aplikasi mobil untuk menyimpan peringatan (reminder) termasuklah diari dalam talian yang bertindak sebagai penggera yang akan berbunyi mengikut tetapan masa yang kita tentukan.

Walau apa cara sekalipun yang digunakan dalam mengurus masa, namun satu ‘penyakit’ yang kita harus waspada adalah sikap bertangguh dan melengah-lengahkan sesuatu urusan.

Penyakit ini tidak perlu kepada preskripsi doktor di klinik dan sememangnya tiada terdapat di sebarang farmasi.

Ubat untuk merawat sikap suka bertangguh ada dalam diri individu yang bersikap sedemikian.

Banyak contoh berkaitan sikap ini terutama melibatkan pelajar antaranya menangguhkan untuk menyiapkan tugasan guru atau pensyarah hingga ke saat akhir.

Sungguhpun tugasan tersebut mungkin berjaya dihantar ke meja pensyarah, namun hasil kerjanya tidak sama dengan orang yang merancang tugasannya dari awal tanpa bertangguh.

Kerja sambil lewa banyak menimbulkan keburukan berbanding kebaikan.

Salah satu daripadanya ialah jiwa yang tertekan kerana perlu menyiapkan tugasan dalam masa yang singkat.

Kalau sudah diri sendiri yang mencari penyakit maka kenalah berani menghadapinya.

Apabila berlaku tekanan dalam saat-saat yang kritikal banyaklah implikasinya termasuk emosi yang tidak stabil lalu menyebabkan ada hati yang terguris dengan perbuatan kita.

Petua individu cemerlang

Lantaran itu cubalah semak semula rutin harian kita. Adakah selama ini aktiviti yang kita jalankan selain daripada menghadiri kuliah dan tutorial itu benar-benar memberi impak yang maksimum dalam pembentukan peribadi kita.

Jika selama ini kita menghabiskan masa jauh larut malam dengan melakukan aktiviti santai (permainan video, berbual-bual dengan rakan), eloknya rutin berkenaan dihadkan kepada beberapa jam supaya badan kita mempunyai waktu rehat (tidur) yang mencukupi.

Salah satu petua yang diamalkan individu cemerlang ialah tabiat bangun awal pagi (sekitar 5 pagi).

Mungkin kita boleh teladani kisah tokoh-tokoh Barat yang tersohor seperti Christopher Columbus, George Washington dan Thomas Jefferson semuanya mempraktikkan tabiat bangun awal pagi.

Dalam hal ini, penyusunan agenda harian adalah penting supaya kita sentiasa mengutamakan perkara yang seharusnya menjadi keutamaan dalam hidup kita.

Melakukan perubahan dari sekarang dapat mengelakkan diri kita daripada menyesal kemudian hari.

Sekurang-kurangnya kita tidak perlu tunggu sehingga usia 40 tahun untuk berubah sebagaimana tanggapan yang sering kita dengar life begins at 40.