Polis bakal perkenalkan unit dron rondaan 24 jam di Britain


Polis Britain mempunyai rancangan untuk memperkenalkan skuad khas dron yang akan beroperasi selama 24 jam untuk menangani jenayah. - AGENSI


LONDON – Polis Britain dilaporkan akan memperkenalkan skuad khas dron 24 jam pada musim panas ini untuk membantu memburu penjenayah-penjenayah.

Unit polis dron sepenuh masa itu akan membantu memburu suspek dikehendaki, menyelesaikan kes-kes pembunuhan serta mencari orang yang dilaporkan hilang.

Bagi tujuan itu, Jabatan Polis Devon dan Cornwall di sini mengiklankan jawatan kosong sebagai pengurus dron yang akan bertanggungjawab untuk mengetuai unit berkenaan.

Selain dron rondaan udara di sekitar Devon dan Cornwall, unit tersebut akan melakukan rondaan di kawasan kejiranan Dorset.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa di Sussex dan Surrey sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah divisyen dron sepenuh masa. Buat masa ini, seramai 21 anggota polis giat mengadakan latihan dengan menggunakan teknologi berkenaan.

Jurucakap Kebangsaan untuk Dron, Timbalan Ketua Konstabel, Steve Barry menyatakan, dia percaya tindakan membanteras jenayah itu akan dilaksanakan di seluruh negara.

“Saya tidak akan terkejut jika pihak berkuasa lain mengikuti langkah ini dalam masa terdekat,” katanya.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan kerana pengenalan unit berkenaan mungkin mengurangkan keperluan bilangan anggota penguat kuasa dan kakitangan pengendali unit helikopter.

- AGENSI