Juruterbang wanita pecah dominasi lelaki



Bayangkan jika anda menaiki pesawat yang dikendalikan sepenuhnya oleh wanita. Daripada juruterbang, kru kabin sehinggalah juruteranya, 100 peratus adalah tenaga kaum Hawa. Adakah anda berasa gusar?

Mungkin sesetengah kita cuak untuk mempertaruhkan nyawa yang berlegar di stratosfera angkasa pada tangan ‘insan lemah’ yang lebih sinonim dengan dapur dan buaian. Tidak kurang juga yang mungkin skeptikal dengan kemampuan mereka mengemudi seluruh jentera raksasa itu.

Begitupun, persepsi itu terbukti salah. Tangan yang menghayun buaian nyata berupaya menakluk keseluruhan kenderaan agam itu tanpa pergantungan terhadap lelaki sedikit pun.

Bagai tamparan buat kaum Adam, syarikat penerbangan nasional India, Air India baru-baru ini mencipta sejarah apabila mencipta rekod baharu penerbangan mengelilingi dunia pertama yang dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan wanita sempena Hari Wanita Sedunia.

Air India berkata, pesawat Boeing 777 miliknya terbang dari New Delhi menuju ke bandar raya San Francisco, Amerika Syarikat dan kembali semula ke New Delhi. Ia merupakan penerbangan mengelilingi dunia pertama yang dioperasikan oleh seluruh tenaga wanita.

Bukan sekadar juruterbang dan kru kabin, seluruh operasinya meliputi jurutera, staf khidmat pelanggan, doktor, pengawal lalu lintas udara, staf daftar masuk dan pegawai navigasi penerbangan yang bertugas merencana laluan mengikut perubahan angin dan cuaca, semuanya adalah wanita.

Seramai 16 kru wanita terbang bersama 250 penumpang lelaki dan wanita merentasi Lautan Pasifik dan kembali menerusi Lautan Atlantik.

Dengan penerbangan pergi mengambil masa 15 jam 10 minit, pesawat itu melalui 15,300 kilometer pada kelajuan lebih 1,000 kilometer sejam merentasi 13 zon waktu.

Ketika pulang, pesawat itu melalui hampir 14,000 kilometer dengan mengambil masa 15 jam 30 minit kerana gangguan angin, sekali gus mengambil lebih banyak masa perjalanan.

Penerbangan itu dikemudi Kapten Kshamta Bajpai, Kapten Sunita Narula, Kapten Indira Singh dan Kapten Gunjan Anggarwal dengan kru kabin diketuai oleh Bandukwala Nishin. Penerbangan itu dilakukan beberapa hari sebelum dunia menyambut Hari Wanita pada 8 Mac lalu.

Air India dilaporkan sedang dalam proses mendapatkan pengesahan daripada Guinness World Records untuk rekod yang didakwa itu.

Pencapaian


KRU wanita dari penerbangan Brunei Royal Brunei Airlines pernah mencipta sejarah pada tahun lalu dengan membuat penerbangan dari Brunei ke Arab Saudi dikendalikan sepenuhnya oleh wanita.


“Apabila kami mendarat di lapangan terbang New Delhi, terasa satu aura pencapaian. Kami telah memecahkan stereotaip yang akan memberikan impian kepada ramai kanak-kanak perempuan,” kata Kshamta kepada agensi berita, Business Standard baru-baru ini.

Bandukwala mengimbas situasi semasa hendak memulakan penerbangan itu tatkala kapten membuat pengumuman.

“Terdapat 250 penumpang dalam pesawat dan kesemua mereka sangat teruja setelah mengetahui mereka merupakan sebahagian daripada peristiwa bersejarah. Sebaik sahaja kapten (Kshamta) mengumumkannya, semua orang bertepuk tangan,” kata Bandukwala.

Business Today India pula melaporkan, Air India dikatakan memiliki peratusan juruterbang wanita terbesar di dunia.

Menurut Sunita, tidak ada diskriminasi jantina di tempat kerjanya namun halangan terbesar ialah untuk kekal mendapat keyakinan rakan sekerja lelaki.

“Saya masih ingat ketika mula bekerja dalam 1980-an, saya seorang wanita muda berusia 20-an dan semua juruterbang adalah lelaki berusia 40-an. Mereka sangat meragui keupayaan saya. Setelah beberapa kali mengendalikan penerbangan barulah segalanya menjadi normal,” katanya.

Cipta sejarah


JURUTERBANG-JURUTERBANG wanita Air India yang terlibat dalam penerbangan bersejarah mengelilingi dunia baru-baru ini. (Dari kanan: Kshamta, Sunita, Indira, dan Gunjan.


Telegraph UK melaporkan, pada 2013, Air India pernah mendedahkan penggunaan tenaga kerja wanita berbanding lelaki dalam pesawat mampu menjimatkan sehingga $329,000 pound (RM1.7 juta) setahun bagi kos bahan bakar kerana wanita lebih ringan.

Mengulas mengenai penerbangan yang dioperasikan oleh semua wanita, ia sebenarnya bukan sahaja dilakukan oleh penerbangan India bahkan syarikat penerbangan beberapa negara lain juga.

Syarikat penerbangan Royal Brunei Airlines mencipta sejarah tahun lalu apabila melakukan penerbangan yang dioperasikan oleh kru semua wanita. Mereka terbang dengan pesawat Boeing 787 Dreamliner dari Brunei ke Jeddah, Arab Saudi.

Dilakukan sempena Hari Kebangsaan Brunei, penerbangan itu diketuai juruterbang wanita, Kapten Sharifah Czarena Surainy Syed Hashim dibantu oleh dua pegawai kanan, Sariana Nordin dan Dk Nadiah Pg Khashiem.

Sharifah Czarena pernah memberitahu Brunei Times pada tahun 2012: “Menjadi seorang juruterbang, orang selalu anggap ia kerjaya yang didominasi lelaki.

“Sebagai seorang wanita, ia merupakan pencapaian yang hebat. Ia benar-benar menunjukkan kepada generasi muda terutamanya wanita apa juga yang anda impikan, boleh dicapai.”

Bercakap kepada MailOnline Travel, Sharifah Czarena berkata, secara statistiknya, kerjaya penerbangan masih didominasi lelaki.

“Begitupun, terdapat trend yang positif penglibatan wanita dalam industri ini, saya harap ia akan bertambah baik,” katanya.

Terdahulu, pada tahun 2015, Habsyah menerusi Ethiopian Airlines juga mencipta sejarah apabila semua kru wanita mengendalikan penerbangan dari Addis Ababa ke Bangkok, Thailand.

Seperti Air India, semua krunya meliputi juruterbang sehingga ke kakitangan di lapangan adalah wanita.

“Wanita adalah sumber-sumber terbesar benua ini (Afrika) yang belum benar-benar dimanfaatkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ethiopian Airlines, Tewolde Gebremariam dalam satu kenyataan pada tahun itu.

Ternyata wanita menunjukkan kekuatan bukan sahaja di udara tetapi juga di darat dan air.

Sekumpulan lima wanita dari Britain berpadu mencipta rekod berdayung merentasi Lautan Atlantik sejauh 4,828 kilometer dari La Gomera, Pulau Canary ke Barbados pada 2012.

Julia Immonen, Debbie Beadle, Kate Richardson, Katie Pattinson-Hart dan Helen Leigh menggunakan kekuatan otot tangan masing-masing untuk menjayakan misi itu. Mereka mengambil masa selama 45 hari untuk menyempurnakannya.

Berada lebih sebulan di lautan, Beadle berkata, mereka sangat lega setelah berjaya melakukannya.

“Kami tidak melihat satu apapun di lautan melainkan ikan lumba-lumba dan sesama sendiri selama 45 hari,” katanya.

Tahun lalu pula, pendayung wanita Guin Batten, Molly Brown, Alex Holt, Mary Sutherland dan Gilly Mara dari Britain dan Australia berdayung menyeberangi dari barat ke timur Lautan Atlantik iaitu dari New York, AS ke Cornwall, Britain selama 48 hari.

Kerja berat


SEKUMPULAN wanita berdayung merentasi Lautan Atlantik dari New York, AS ke Cornwall, Britain pada 2016.


Lain pula keadaannya dengan sekumpulan wanita dari London yang menggelarkan diri mereka Van Girls yang mengusahakan perkhidmatan mengangkut barang dan perpindahan.

Syarikat yang hanya dianggotai oleh wanita itu terdiri daripada mereka yang sedang atau pernah bertugas sebagai askar, tentera udara, polis, bomba, atlet, tukang kayu dan jurupaip.

Dengan moto, ‘Apa sahaja yang lelaki boleh angkut, Van Girls boleh lakukan dengan lebih baik’ ternyata mereka berupaya melakukan kerja-kerja berat.

Seorang anggotanya yang hanya dikenali sebagai Ellisha berkata, ramai orang bertanya sama ada mereka mampu mengangkat barangan seperti mesin basuh dan peti sejuk.

“Saya katakan, ya, kami boleh. Sebenarnya ia tidak sesukar yang difikirkan. Ia agak mudah.

“Lelaki fikir mereka kuat untuk mengangkat barang sedangkan kami pun boleh buat ditambah dengan sikap lebih berhati-hati untuk barangan yang sensitif atau mudah pecah. Kami sepatutnya boleh lakukan apa sahaja yang lelaki boleh lakukan,” kata atlet ragbi itu.