Khidmat Fauzan masih diperlukan


KHIDMAT Fauzan masih diperlukan oleh skuad berbasikal kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA 2017 nanti.


SKUAD berbasikal negara masih memerlukan khidmat pelumba berpengalaman negara, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi untuk meraih pingat pada temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur yang bakal membuka tirainya Ogos depan.

Menurut jurulatih skuad berbasikal negara, Syed Mohd. Hussaini Syed Mazlan, pihaknya kini sedang memujuk pelumba berusia 30 tahun itu untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan selepas dia menarik diri daripada mewakili negara pada Disember tahun lalu.

“Demi negara, kita berharap agar Fauzan dapat menyertai skuad kebangsaan semula kerana kita memerlukan bantuannya untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA nanti. Fauzan adalah pelumba yang berpengalaman dan sudah tentu ia secara tidak langsung dapat membantu pelumba-pelumba muda negara untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.

“Berdasarkan rekod yang dilakukan oleh Fauzan pada kejohanan Berbasikal Asia di Bahrain, Februari lalu, dia berjaya menduduki tempat ke-10 dalam acara ujian masa individu (ITT) dan dia merupakan pelumba terbaik Asuia Tenggara pada kejohanan tersebut. Oleh sebab itu kita memerlukan khidmatnya.

“Secara dasarnya, Fauzan dilihat bersetuju, namun segala-galanya bergantung pada pihak pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada bersetuju atau tidak untuk menyenaraikan Fauzan dalam program Kita Juara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Fauzan sebelum ini telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada Program Kita Juara bagi acara Ujian Masa Berpasukan kerana mahu memberi peluang kepada muka baharu untuk mengharumkan nama negara di pentas Sukan SEA.

Kali terakhir pelumba pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mewakili skuad kebangsaan ialah pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Walaupun gagal meraih sebarang pingat, Fauzan masih berjaya membantu rakan sepasukan, Mohd. Harrif Saleh meraih dua emas dalam acara kriterium dan lebuh raya pada temasya di Singapura itu, sekali gus berjaya menamatkan penantian emas negara selama 10 tahun.

Dalam perkembangan lain, bagi memantapkan skuad kebangsaan, Syed Mohd. Hussaini berkata, mereka akan mula menjalani latihan selama sebulan di Thailand pada Jun depan di samping turut aktif beraksi pada kejohanan di luar negara.