Malaysia yakin dapat tarik lebih 200,000 pelajar antarabangsa pada 2020

21/03/2017 1:49pm


Idris menandatangani MoU dari wakil Republik Senegal pagi tadi.


PUTRAJAYA - Malaysia yakin boleh melepasi sasaran seramai 200,000 pelajar antarabangsa memilih untuk meneruskan pengajian ke negara ini pada tahun 2020.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, terdapat pelbagai faktor yang dipercayai mampu menarik minat pelajar antarabangsa untuk meneroka bidang pendidikan di negara ini

“Setakat ini, kita ada seramai 150,000 prlajar antarabangsa di sini. Antara faktor yang menarik minat mereka adalah terdapat kemudahan yang baik, kualiti pendidikan yang semakin meningkat, fleksibiliti dalam proses pendaftaran secara atas talian dan kos sara hidup yang berpatutan.

“Saya menjangkakan lebih ramai lagi pelajar dari Asia Barat akan memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan lanjutan memandangkan terdapat beberapa negara yang sudah disekat untuk ke Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan Republik Senegal mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan saintifik di bangunan Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ini. - K! ONLINE