Berkelah, jamu selera di air terjun

Sebahagian peserta tidak melepaskan peluang bermandi-manda di air terjun Setinggi.


DERUMAN enjin motosikal dan kereta memecah keheningan pagi hujung minggu di sekitar Taman Desa Melor, Hulu Selangor, Selangor.

Kenderaan itu dipacu laju menuju ke arah sekumpulan individu yang berkumpul berhampiran sebuah bangsal awam yang terletak di hujung taman perumahan berkenaan.

Setibanya di bangsal tersebut, mereka terus bergegas mendengar taklimat ringkas mengenai keselamatan sepanjang Ekspedisi Air Terjun Setinggi.

Kemudian, kumpulan tersebut bergerak dengan kenderaan menuju ke kaki bukit Hutan Simpan Hulu Selangor yang terletak tidak jauh dari tempat berkumpul.

Perjalanan memburu air terjun Setinggi diteruskan menerusi aktiviti meredah hutan sejauh dua kilometer dengan anggar masa selama satu jam setengah.

“Saya sudah tidak sabar untuk meredah hutan. Walaupun rumah saya terletak berhampiran, tetapi saya tidak pernah sampai ke air terjun Setinggi.

“Saya berharap perjalanan kami hari ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujar salah seorang peserta, Mohamad Fauzi Abdullah.

Sepanjang ekspedisi itu, para peserta dipaksa berjalan melalui denai Orang Asli dan trek motocross yang dibuat oleh penduduk setempat.

Hampir 60 peratus perjalanan melibatkan kawasan pendakian sederhana curam dan licin sekali gus mencabar kemampuan para peserta ekspedisi.

Mohamad Fauzi menyifatkan perjalanan penuju ke air terjun Setinggi cukup memenatkan terutamanya ketika laluan pendakian.

Puas


PARA peserta terpaksa melalui laluan mencabar sejauh hampir dua kilometer sebelum tiba di kawasan air terjun.


Begitupun, lelaki berusia 48 tahun itu memaklumkan, hasil sokongan serta bantuan rakan-rakan setiap kesukaran berjaya ditempuhi.

“Trek ini jarang digunakan untuk meredah hutan. Mungkin, sebab itu laluannya agak mencabar. Denai ini juga dipenuhi pokok-pokok duri tajam.

“Namun begitu, saya amat seronok kerana dapat beriadah bersama kawan-kawan sambil menikmati keindahan hutan dan menghirup udara nyaman,” ujar pesara itu.

Kepuasan jelas terpancar pada wajah setiap peserta selepas tiba ke destinasi di tuju dan melihat sendiri keindahan air terjun Setinggi.

Air terjun Setinggi merupakan sebuah aliran sungai berbatu yang mengalir dengan jarak perbezaan ketinggian mencecah lima meter.

Kejernihan dan kesejukan airnya menambahkan lagi keriangan para peserta terutamanya kepada mereka yang pertama kali ke kawasan tersebut.

Ekspedisi tersebut juga membolehkan peserta berkelah dan menjamu selera dengan hidangan yang dibawa sambil bermandi-manda secara beramai-ramai di air terjun itu.

Pengarah program ekspedisi, Kamal Putra berkata, ekspedisi itu diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi perpaduan dalam masyarakat berkomuniti.

Pakej


SEBAHAGIAN daripada 33 peserta yang mengambil bahagian dalam Ekspedisi Air Terjun Setinggi.


Katanya, seramai 33 orang telah menyertai ekspedisi tersebut. Kebanyakan mereka terdiri daripada tiga badan bukan kerajaan iaitu Persatuan Pemilik dan Penduduk Desa Melor, Surau Attaqwa dan Rukun Tetangga Desa Melor.

“Ekspedisi ini adalah sebahagian daripada aktiviti hujung minggu dalam usaha kami untuk menyatu padukan penduduk setempat tanpa mengira peringkat usia.

“Aktiviti ini juga diharap dapat memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan panorama hutan yang terdapat di sekitar taman perumahan mereka tanpa perlu ke luar kawasan,” katanya.

Ekspedisi berkenaan turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Majlis Perwakilan Penduduk Zon 16 Serendah.

Menurut Kamal, ekspedisi tersebut juga bertujuan meninjau potensi kawasan air terjun Setinggi untuk dimajukan sebagai salah satu daya tarikan pelawat ke situ.

Pihaknya juga telah merancang untuk mewujudkan pakej-pakej menarik kepada orang ramai yang ingin berkunjung ke air terjun itu.

“Kami berhasrat mewujudkan beberapa pakej menarik kepada pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak dan riadah melalui trek menuju ke kawasan air terjun ini.

“Antara aktiviti yang dilihat berpotensi untuk diwujudkan di laluan ini termasuklah meredah hutan, all-terrain vehicle, motocross dan basikal bukit.

“Kami juga bercadang menyediakan perkhidmatan jurupandu yang terdiri daripada penduduk tempatan pada harga terendah,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut sekali gus diharap dapat menyemarakkan lagi usaha kerajaan negeri menjadikan 2017 sebagai Tahun Melawat Hulu Selangor.

Salah seorang peserta ekspedisi, Nurihan Daud, 42, berkata, dia sangat teruja kerana dapat menjadi orang terawal meneroka kawasan air terjun tersebut.

Jelas Pembantu Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Zon 16, Serendah itu, air terjun Setinggi masih lagi bersih dan belum tercemar.

“Saya sanggat teruja kerana dapat sampai ke sini selepas berjalan meredah hutan. Kawasan ini sangat cantik dan amat sesuai untuk beriadah bersama keluarga.

“Saya juga tidak melepaskan peluang berswafoto bersama air terjun ini dan berkongsi bersama rakan-rakan di laman sosial,” tuturnya.