Kediaman daripada bahan kitar semula


RUMAH The Greenman Tiny Home menjana tenaganya sendiri menggunakan kuasa solar.


BAGI mencapai status negara maju, Malaysia dilihat sudah mula memperkenalkan inovasi baharu dalam industri pembinaan.

Sebuah syarikat konsortium pembinaan mengambil pendekatan membina prototaip rumah kecil yang dipanggil The Greenman Tiny Home.

Ia dipamerkan di Pusat Kraf Kuala Lumpur hingga 29 Mac ini sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung.

Menariknya, ia dibina menggunakan komponen biodegradasi dan juga bahan binaan yang dikitar semula.

Konsep dan idea asal pembinaan rumah itu adalah cetusan daripada seorang warga Jerman, Matthias Gelber yang merupakan pencinta alam sekitar.

Terkenal dengan jolokan The Green Man, Gelber berkata, cuaca panas di Malaysia menjadikan orang ramai menganggap sebuah kediaman tanpa alat pendingin hawa adalah sesuatu yang mustahil.

Justeru, idea kediaman tersebut adalah hasrat beliau untuk mengurangkan penggunaan alat pendingin hawa dan menjadikan kehidupan nyaman seperti di pergunungan sesuatu yang boleh dilaksanakan di kawasan bandar bagi jangka masa panjang.

“Projek ini merupakan satu bentuk eksperimen bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia bahawa gaya hidup yang lebih mesra alam boleh dicapai,” ujarnya.

Kediaman tersebut menggunakan bahan binaan bersifat mesra alam, selain memiliki sistem pemuliharaan air yang mampan.

Sistem pengurusan sisa buangan juga telah dimasukkan ke dalam reka bentuk kediaman itu bagi tujuan pengkomposan sisa buangan.

Jana tenaga sendiri

Lebih menarik lagi, The Greenman Tiny Home juga berfungsi dengan sendiri sepenuhnya dan tidak memerlukan bekalan kuasa, air atau rawatan pembetungan luar.

Ia menjana tenaga solar, manakala sumber air pula diperoleh daripada pemuliharaan air hujan, menjadikannya sebagai rumah yang paling menjimatkan kos.

Bagi dinding kediaman pula, ia dibina menggunakan kayu fiber ringan yang dipanggil wood wool cement panel.

Ia merupakan sejenis kayu fiber yang cantik, moden dan ringan.


BAHAGIAN luar kediaman ini yang dibina menggunakan bahan kitar semula sepenuhnya.


Menurut salah seorang pengusaha bersama projek pembinaan The Greenman Tiny Home, Shamini Bhaskaran, pemilihan kayu tersebut bersesuaian dengan konsep mesra alam rumah kecil itu.

“Selepas menjalankan kajian, kami mendapati, kayu fiber merupakan bahan paling sesuai untuk digunakan sebagai bahan asas bagi dinding kediaman ini.

“Sifatnya yang ringan juga menjadikan kayu itu mudah untuk dialihkan ke lokasi lain,” ujarnya.

Mudah alih

Tambah Shamini lagi, faktor mudah alihnya menjadikan The Greenman Tiny Home sesuai dijadikan penempatan sementara bagi mangsa banjir atau bencana alam lain.

Mengulas lanjut tentang keluasannya, Shamini memberitahu, ia memiliki keluasan sekitar 11.14 meter persegi yang juga bersamaan dengan saiz sebuah tempat parkir kereta.

Rumah itu dilihat cukup selesa untuk didiami, malah reka bentuknya juga moden.

“Greenman Tiny Home memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat unit rumah ini secara dekat.

“Saiznya yang kecil serta kemudahan yang disediakan menjadikannya sebagai kediaman pilihan sesuai buat mereka yang baru mendirikan rumah tangga,” ujarnya.

Kos pembinaan sebuah rumah The Greenman Tiny Home adalah sekitar RM60,000 hingga RM65,000.

Ditanya adakah The Greenman Tiny Home akan dikomersialkan, Shamini berkata, perkara pertama yang ditekankan adalah untuk mendidik warga tempatan dan pemaju supaya projek ini boleh dilaksanakan dalam skala besar.

“Individu yang berminat boleh memilih sendiri material dan komponen binaannya. Saiznya juga boleh dibesarkan mengikut kemahuan pemilik.

“Tujuan prototaip kediaman ini dibina adalah supaya orang ramai melihat sendiri konsep kediaman bersifat mesra alam,” ujarnya.