Zul Ariffin mahu jadi hero filem aksi

LEBIH AKSI - Menurut Zul, jika filem J Revolusi dijadikan sekuel, dia bersedia untuk terus memikul tanggungjawab melakonkan watak Jay, namun mahu mengambil lebih risiko melakukan sendiri adegan lagak ngeri.


MULA membina nama sebagai seorang pelakon drama terutama menerusi drama rantaian popular Rindu Awak 200%, Zul Ariffin kini dilihat antara hero filem yang mempunyai potensi besar untuk terus menyerlah.

Pertama kali diberi peranan utama dalam filem pecah panggung, J Revolusi yang berjaya mencatat kutipan memberangsangkan iaitu RM5 juta selepas tiga minggu tayangan di pawagam, pemilik nama sebenar, Zulkifli Ariffin itu lega dengan kejayaan tersebut.

“Saya masih baharu dalam arena filem. Saya tidak menyangka filem ini berjaya mendapat tempat dalam hati peminat.

“Bersaing dengan filem-filem hebat lain terutama dari Hollywood seperti Logan dan Kong: Skull Island sewaktu ia ditayangkan, saya tetap bersyukur J Revolusi masih mampu mengutip jualan tiket yang membanggakan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen aplikasi atas talian, Carousell di pusat beli-belah The Curve baru-baru ini.

Dengan sambutan yang baik daripada peminat, ditanya tentang kesediaan dirinya untuk kembali ke set penggambaran sekiranya filem arahan Zulkarnain Azhar dijadikan sekuel, Zul, 30, mempunyai pandangannya yang tersendiri.

“Dengan sambutan yang menggalakkan, mengapa tidak andai filem ini dijadikan trilogi. Bagaimanapun, kalau ia menjadi realiti, saya mahu terus memberikan idea terutama dalam adegan aksi. Bukan sekadar melakonkan watak sahaja.

“Kalau sesuatu adegan itu perlu penambahbaikan, saya sendiri akan bersuara. Watak yang dilakonkan akan menjadi lebih nyata sekiranya kita berani melontarkan pandangan tersendiri untuk membangunkannya,” getus Zul yang mengakui ada melakukan beberapa perubahan idea dalam menjayakan watak Jay dalam J Revolusi.

Bukan untuk berlagak pandai, kata Zul lagi, dia lebih rela menjadi seorang aktor yang bukan hanya bergantung pada skrip semata-mata.

“Jadi, pelakon pun kena cerdik sedikit. Jangan orang suruh buat sesuatu, terus buat. Kena libatkan diri dalam mencantikkan sesuatu watak yang diberi.

“Saya sekarang tengah gian untuk melakonkan watak aksi sendiri. Kalau ada sekuel J Revolusi selepas ini, saya ingin mengambil lebih risiko dalam mencorakkan babak-babak aksi,” tutur jejaka kelahiran Taiping, Perak itu.

Populariti

Ditebak persoalan namanya kini tidak lagi menjadi sebutan ramai disebabkan tiada produk seni yang lazim di mata khalayak, sementelah dilihat terlalu fokus sebagai pelakon layar perak, Zul tidak melatah dengan situasi sedemikian.

Dia realistik terhadap kemampuan diri dan persekitaran yang sentiasa berubah. Malah, dengan berani pelakon itu mengaku tiada masalah andai dirinya dianggap tidak popular.

“Saya tidak mempunyai masalah andai orang kata saya sudah tidak popular. Saya sedar usia semakin bertambah dan pelakon baharu semakin hari, semakin ramai. Jujur dikatakan, saya lebih ambil berat tentang pinggan (rezeki) saya berbanding pinggan orang lain,” katanya serius.

Tambah Zul lagi, buat masa ini dia tidak banyak produk untuk dibicarakan. Pada masa yang sama, dia juga tidak seperti segelintir artis yang apabila tidak aktif berlakon, mereka menghasilkan produk untuk dijual.

“Saya akui memang tidak terbabit dengan mana-mana drama buat masa ini. Jadi, tiada apa untuk dihebahkan kepada khalayak.

“Ada sesetengah artis muncul dengan minyak wangi, buku dan sebagainya, tetapi saya pula tiada bakat dalam perkara seperti itu.

“Apa pun, saya kagum dengan artis yang mampu melaksanakan banyak perkara dalam kehidupan seharian mereka. Untuk saya, baik fokus satu perkara dalam satu masa,” ujarnya panjang lebar.

Biar dilihat seperti tidak punya produk terbaharu, ironinya Zul bakal muncul dengan drama berjudul Menanti Februari untuk tayangan slot Samarinda di TV3 sekitar April depan.

Saman

Terlanjur bercerita, Zul turut mendedahkan dirinya berasa telah dianiaya dan ditipu oleh pemilik label pakaian, Elhombre apabila masih belum menerima bayaran seperti dipersetujui dalam kontrak.

Jenama yang mengetengahkan busana jubah dan baju Melayu sempena musim perayaan pada tahun lalu itu telah melantiknya sebagai duta dan rakan kongsi.

Mengikut kontrak, Zul sepatutnya menerima bayaran sekitar RM200,000 dalam tempoh bulan Mac hingga November tahun lalu. Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang bayaran diterima oleh pihaknya.

“Sehingga kini, sesen pun saya tidak dibayar. Saya sudah bercakap dengan peguam, saya akan mengambil tindakan undang-undang jika pihak berkenaan tidak tampil bercakap dengan saya.

“Saya letih ingin kejar individu terbabit seperti saya pula yang berhutang dengannya. Setiap kali saya cuba menghubungi, dia memberi alasan yang tidak munasabah kepada saya. Walhal, gambar saya pada jenama tersebut masih lagi terpampang,” tegas Zul.

Cerita Zul lagi, dia sanggup menjalani penggambaran video dan fotografi di Greece semata-mata ingin mempromosikan jenama tersebut dengan mendahulukan wangnya sendiri.

“Saya geram apabila tengok orang lain pakai jubah atau baju Melayu jenama tersebut di luar, sedangkan saya sendiri tidak menerima bayaran hasil bekerja dengan mereka.

“Jadi, dalam tempoh sebulan dua ini, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara ini tetap berlanjutan,” kata Zul yang bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Tombiruo - Penunggu Rimba tidak lama lagi.