Menconteng spontan momen indah


TONG SING (tengah), Liew (empat dari kiri) bersama barisan pelukis Doodle Malaysia semasa pelancaran Doodle Your Moment di Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.


Dalam hidup ini kita mengharungi banyak detik indah yang diabadikan dalam bentuk foto. Mengapa tidak diadaptasikan kepada lakaran atau lukisan hasil tangan seniman?

Baru-baru ini, Shell Malaysia telah mengumumkan satu kolaborasi menarik dengan Doodle Malaysia untuk menganjurkan satu inisiatif yang dinamakan Doodle Your Moment. Ia membolehkan orang ramai mengirim momen indah atau menarik mereka di kedai-kedai Shell Select untuk ditukarkan ke dalam bentuk lakaran, contengan atau lukisan spontan (doodle).

Doodle Malaysia merupakan sebuah komuniti pelukis di negara ini yang menggunakan platform Facebook. Difahamkan kumpulan itu kini mempunyai lebih 10,000 keanggotaan.

Pengurus Jualan Kebangsaan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd., Au Tong Sing berkata, pihaknya percaya setiap perjalanan yang ditempuhi setiap hari boleh menjadi lebih baik apabila berbelanja di Shell Select iaitu kedai runcit sehenti yang direka khas untuk memberikan kesegaran kepada orang ramai.

“Menerusi kolaborasi bersama Doodle Malaysia, kita menyasarkan untuk memberikan pelanggan peluang sekali dalam seumur hidup dengan mengubah momen-momen gembira mereka kepada lukisan tangan dan mereka boleh menyimpannya,” katanya semasa melancarkan inisiatif itu di Kota Damansara, Petaling Jaya Selangor baru-baru ini.

Inisiatif Doodle Your Moment berlangsung dari 22 Mac lalu hingga 26 April ini. Ia memberikan para pelanggan peluang untuk berkongsi momen-momen peribadi mereka seperti menikmati kopi bersama rakan sehinggalah singgah makan aiskrim bersama keluarga di Shell Select menerusi Instagram untuk peluang menukarkannya menjadi doodle.

Cara menyertai


Para pelukis Doodle Malaysia melukis spontan mengikut permintaan hadirin.


Sebanyak 100 penyertaan terbaik akan ditukar kepada lukisan tangan oleh komuniti Doodle Malaysia. Lukisan atau lakaran itu kemudian akan dicetak pada cenderamata eksklusif dan dikirim terus kepada peserta yang terpilih itu.

Untuk menyertainya, rakyat Malaysia digalakkan untuk berkongsi sebuah foto momen mereka di mana-mana kedai Shell Select menerusi Instagram dengan hashtag #ShellKita.

Untuk lebih mendapat peluang terpilih, pelanggan boleh berkongsi momen kesegaran mereka bersama kapsyen kreatif tidak lebih daripada 40 perkataan.

Tong Sing berkata, Doodle Your Moment merupakan sebahagian daripada kempen Refreshing Journeys yang menyasarkan untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa hidup bukan hanya mengenai destinasi, tetapi perjalanan dan banyak momen yang terjadi di dalamnya.

“Ia menyasarkan untuk mengetengahkan momen menyegarkan bahawa pelanggan boleh menikmatinya dalam perjalanan mereka apabila melangkah masuk ke Shell Select. Ia meloloskan mereka daripada keletihan dan rintangan harian untuk berehat, refleks dan kembali cergas.

“Momen menyegarkan ini dapat dinikmati di Shell Select yang menawarkan ekosistem yang lengkap meliputi produk-produk makanan dan minuman menarik, perkhidmatan lima bintang dan pengalaman cepat dan mudah. Pelanggan kemudian boleh meneruskan perjalanan mereka tanpa kebimbangan di atas jalan raya,” katanya.

Seorang pentadbir Doodle Malaysia, Faizzal Fah’d Mohd. Suffi berkata, kolaborasi itu unik dan memberi peluang kepada seniman-seniman Doodle Malaysia untuk menonjolkan kreativiti.

“Kami akan menjadikan gambar-gambar yang diterima itu untuk kami ubah menjadi karya seni. Kami akan mentafsirkan gambar itu berdasarkan perspektif kami.

“Ini memang perkara yang kami suka lakukan iaitu menyuntik aura positif dalam masyarakat memandangkan ia membawa bersama nilai kekeluargaan,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengurus Runcit Bukan Bahan Bakar Shell Malaysia, Joey Liew dan enam orang pelukis dari Doodle Malaysia.

Video muzik

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Shell Malaysia juga berkolaborasi baru-baru ini bersama penyanyi dan komposer, Talitha Tan untuk menghasilkan video muzik bertajuk Rasa Sayang yang merakamkan momen segar pengalaman sebenar pelanggan di Shell Select dari menikmati hidangan di kafe deli2go bersama insan tercinta dan menyambut parti hari lahir dengan dibantu oleh staf stesen Shell.

Pada majlis pelancaran Doodle Your Moment itu juga, lima daripada pelukis Doodle Malaysia turut beramah mesra bersama hadirin dengan memberikan khidmat melukis dan salah seorang daripada mereka menunjukkan aksi melukis pantas.

Menariknya, dalam majlis itu juga diadakan peraduan melukis menggunakan marker pada casing telefon bimbit yang disertai oleh hadirin dan pengamal media. Tiga pemenang telah dipilih untuk memenangi baucar beli-belah RM500 di Parkson.

Salah seorang pemenangnya ialah blogger, Muhammad Firdaus Windey, 34. Muhammad Firdaus tidak menjangkakan kemenangan itu.

“Tidak sangka menang sebab tengok peserta-peserta yang lain juga kreatif. Saya membuat lukisan berinspirasikan insan tersayang sambil berehat menikmati kesegaran.

“Saya suka berimaginasi dan melukis apa yang saya imaginasikan,” katanya.