Kimchi Untuk Awak suntik rasa cinta yang makin pudar


FILEM sulung arahan Michael Ang ini menjalani penggambaran selama 22 hari di ibu negara, Pulau Pinang dan Seoul, Korea Selatan.


KETIKA bercinta, segala-galanya manis seumpama memakan gula-gula kapas. Apabila perhubungan dua jiwa diduga, ia seakan-akan menikmati juadah kimchi yang pedas.

Ini yang cuba disampaikan sutradara tersohor, Michael Ang menerusi filem pertamanya, Kimchi Untuk Awak yang menjengah pawagam tempatan sejak Khamis lepas.

Benar kata orang, kalau sudah jodoh tidak ke mana. Mahu memastikan naskhah sulungnya itu membuai perasaan pasangan bercinta, Michael juga memasang impian supaya Kimchi Untuk Awak berupaya menyuntik rasa cinta yang semakin pudar bagi pasangan suami isteri.

“Ia sebuah filem romantik yang dapat mencetuskan momen-momen terindah dalam kehidupan bukan sahaja untuk yang sedang bercinta, namun pada masa sama membangkitkan semula perasaan kasih yang mungkin sudah pudar bagi pasangan berkahwin.

“Diharapkan, filem ini dapat diterima baik peminat terutamanya yang meminati filem-filem romantik sebegini,” ungkap Michael.

Sebaik menerima naskhah yang diadaptasikan daripada novelis terkenal iaitu Suri Ryana, tiada lain yang bermain dalam fikiran Michael selain memastikan ia dapat diangkat ke layar perak.

“Pada mulanya, saya khuatir jalan ceritanya akan meleret-leret dan menjadi klise jika ia dijadikan drama bersiri.

“Mujurlah pihak produksi bersetuju untuk menjadikan Kimchi Untuk Awak sebagai sebuah filem,” jelasnya lagi.

Menurut Michael, pihaknya juga tidak berdepan masalah besar sepanjang menjalani penggambaran selama 22 hari di beberapa lokasi di luar negara seperti di Seoul dan Pulau Nami, Korea Selatan serta beberapa lokasi di Pulau Pinang dan ibu negara.

“Hanya faktor cuaca sejuk dianggap sebagai dugaan utama, selebihnya tiada masalah besar memandangkan perancangan yang diatur produksi sangat teratur,” ceritanya.

Tidak keterlaluan menyifatkan Kimchi Untuk Awak merupakan antara karya terbaik Michael, pengarah itu bagaimanapun enggan mendabik dada.

“Saya cuma mahu menjadikan filem ini sesuatu yang boleh dibanggakan dan pada masa sama, ia boleh mengajak penonton supaya mengingati semula saat-saat romantis selain belajar untuk bercinta kembali,” ujarnya penuh makna.

Dalam pada itu, salah seorang teraju utama, Janna Nick tidak mahu wataknya sebagai Zara dianggap klise dan tiada bezanya berbanding watak-watak sebelum ini.

Disebabkan itu, Janna membuat sedikit penyelidikan supaya watak antagonisnya itu kelihatan hidup, selain memakai rambut palsu supaya kelihatan berbeza.

“Apabila menjadi watak penggoda, lazimnya penonton akan beranggapan bahawa watak itu seorang wanita yang gedik dan manja.

“Jadi, saya cuba membawakan kelainan supaya watak Zara diingati penonton selepas menyaksikan filem ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Janna juga bersedia sekiranya watak itu dibenci peminat.

“Ada yang beritahu saya, rambut itu kelihatan pelik dan nampak seperti sedang memakai helmet.

“Asalkan lakonan saya diingati, saya tidak kisah dengan kritikan sedemikian,” getusnya.

Filem Kimchi Untuk Awak terbitan Astro Shaw dengan usaha sama Darkwave Pictures itu mengisahkan pertemuan secara tidak sengaja antara seorang pelajar universiti di Korea Selatan, Bella (lakonan Emma Maembong) bersama seorang jejaka sombong berdarah campuran Melayu dan Korea, Danial Lee (lakonan Aiman Hakim) di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, sekali gus membangkitkan perasaan benci antara mereka.

Kalau sudah namanya takdir, mereka kemudian bertemu semula selepas itu. Apabila benci bertukar sayang, mereka kemudian terpaksa disatukan di kampung halaman atas sebab tertentu, namun berdepan dugaan dan tohmahan pihak yang cuba meruntuhkan kebahagiaan pasangan itu.

Pada masa sama, Danial juga tidak pasti sama ada perasaannya terhadap Bella benar-benar tulus ataupun sekadar mengimbau semula perasaan rindu terhadap bekas kekasihnya iaitu Zara (lakonan Janna).

Percubaan Bella pulang semula ke Seoul untuk menenangkan fikiran juga bagaikan tiada berkesudahan apabila Danial kembali memburu cintanya di situ.

Selain Emma, Aiman dan Janna, Kimchi Untuk Awak turut menampilkan pelakon terkemuka lain seperti Sharifah Sakinah, Ungku Hariz, Normah Damanhuri, Natasha Elyzza dan Dira Abu Zahar.