Memburu salji di pergunungan Hokkaido


Persekitaran di Kiroro yang dilitupi salji tebal.


semakin ramai rakyat Malaysia yang berpeluang untuk bercuti ke negara matahari terbit itu. Selepas beberapa syarikat penerbangan antarabangsa menawarkan tambang murah ke kota raya pilihan di Jepun,

Sebagai individu yang gemarkan aktiviti kembara, saya turut tidak terkecuali daripada merebut peluang tersebut.

Jika sebelum ini saya pernah ke Tokyo, Osaka, Nagoya dan Kyoto, kali ini saya memilih untuk menikmati kedinginan musim sejuk di pulau Hokkaido yang terletak di utara Jepun sementelah banyak cerita menarik mengenainya yang diperoleh daripada rakan-rakan selain hasil pembacaan.

Pengembaraan saya bermula selepas pesawat yang dinaiki tiba di ibu kota dan bandar raya paling besar di Hokkaido iaitu Sapporo. Sapporo merupakan bandar raya keempat terbesar di Jepun dari segi jumlah penduduk dan pernah menjadi lokasi temasya Olimpik Musim Sejuk sebelum ini.

Saya bernasib baik kerana ketibaan di Hokkaido disambut dengan titisan salji. Sebagai rakyat dari negara yang bercuaca panas, sudah tentulah peluang bermain salji merupakan suatu yang dinanti-nantikan.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Chitose Baharu ke pusat bandar Sapporo mengambil masa kurang daripada 40 minit dengan menaiki kereta api laju JR Airport Express Train dengan kadar tambang sekitar 1,070 yen (kira-kira RM42) sahaja.

Saya agak beruntung kerana dapat menginap di Hotel Cross yang terletak hanya lima minit perjalanan dari stesen kereta api tersebut.

Apa yang istimewa ialah hotel ini menjadi salah satu tempat penganjuran pameran seni terkenal di Sapporo.

Hotel ini memperuntukkan dua tingkat untuk menganjurkan pameran ini di mana kesemua bilik di tingkat tersebut dijadikan ruang pameran seni.

Pelbagai lukisan, arca dan hasil karya seni lain disusun kemas di atas katil dan sofa selain singki di bilik mandi. Pameran seni seperti itu benar-benar unik buat saya.

Saya juga sempat meneroka kawasan pusat bandar Sapporo untuk melihat beberapa tempat popular seperti Susukino, kawasan hiburan Sapporo dan beberapa bangunan serta mercu tanda popular seperti Menara Sapporo TV, bangunan lama pejabat kerajaan Hokkaido selain Taman Odori.

Kebiasaannya, pada musim sejuk, Taman Odori dipenuhi bermacam hiasan, sekali gus memberi peluang kepada para pengunjung mengambil gambar kenangan.

Berdekatan dengan Taman Odori terletak Jalan Tanukikoji yang tersohor dengan deretan kedai menjual pelbagai cenderamata.

Aktiviti salji


Penulis mencuba aktiviti ski salji.


Selain Jalan Tanukikoji, Sapporo juga terkenal dengan pusat beli-belah bawah tanah seperti Aurora Town dan Pole Town.

Walaupun sempat membeli-belah, namun itu bukanlah tujuan utama saya ke Hokkaido. Sebenarnya, apa yang menjadi impian saya adalah untuk memburu salji di kawasan pergunungan di situ yang merupakan lokasi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong untuk bermain salji dan ski.

Saya memilih untuk ke Kiroro Resort yang terletak di kawasan tanah tinggi kerana ia merupakan sebuah resort khas di perkampungan Akaigawa yang lengkap dengan penginapan selain perkhidmatan bagi aktiviti salji.

Selain mempunyai dua hotel bertaraf antarabangsa, Kikoro Resort juga mempunyai pemandangan alam semula jadi yang indah, apatah lagi ketika musim sejuk.

Sepanjang perjalanan dengan menaiki teksi untuk ke sana, saya dapat melihat keindahan pemandangan alam sekeliling yang diselimuti salji putih yang sangat menyamankan.

Menurut seorang kakitangan resort tersebut, kualiti salji di situ adalah antara yang terbaik di Jepun. Malah, berbanding kawasan percutian musim sejuk di negara Asia lain yang sering menggunakan salji buatan, Kiroro mempunyai bekalan salji semula jadi yang banyak, sekali gus menjadikan ia sebuah lokasi yang ideal bagi aktiviti salji dan ski.

Sepanjang berada di resort tersebut, saya tidak mempunyai masalah besar tentang makanan kerana kebanyakan sajian Jepun berasaskan ikan dan makanan laut.

Malah, saya difahamkan, pengusaha resort di sana juga amat memahami akan sensitiviti pengunjung beragama Islam terutama berkaitan makanan.

Namun, soal penyediaan makanan bukanlah tumpuan utama kebanyakan resort yang dibuka di situ kerana perkhidmatan paling utama yang disediakan kepada pengunjung ialah penginapan selain aktiviti sukan salji.

Bermula daripada kelas permulaan belajar bermain ski sehinggalah kelas bermain papan selaju salji, semuanya ada di sana.

Tambahan lagi, perkhidmatan sewa peralatan serta kelengkapan bermain sukan salji turut disediakan untuk kemudahan pelancong.


Bangunan menara jam Sapporo merupakan antara lokasi tumpuan pelancong di Hokkaido.


Justeru, buat yang pertama kali mencuba aktiviti ski dan papan selaju salji, anda tidak perlu risau akan soal kelengkapan kerana semuanya tersedia untuk disewa daripada pakaian dan kasut khas sehinggalah peralatan sukan salji.

Terdapat juga beberapa tempat yang disediakan untuk pengunjung berlatih bermain ski terutama bagi mereka yang baru mencuba aktiviti itu.

Namun, mereka yang sudah mahir akan memilih untuk naik ke kawasan yang lebih tinggi dengan menggunakan kerusi kabel atau chairlift yang tersedia.

Pengunjung juga tidak perlu khuatir akan soal keselamatan ketika bermain ski atau papan selaju kerana resort tersebut turut menyediakan pasukan penyelamat sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Pendek kata, Hokkaido memang sesuai buat mereka yang inginkan suasana sejuk dikelilingi salji sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang sangat unik.

Malah, sebelum saya berangkat pulang ke Malaysia, kota Sapporo telah dilanda salji tebal sehingga melitupi hampir keseluruhan kota tersebut.

Jadi, sekiranya anda teringin bermain salji dan tidak mahu pergi terlalu jauh, terbanglah ke Hokkaido kerana seribu satu kenikmatan menanti anda di sana.