Menikmati keindahan Tasik Rotorua


Tasik Rotorua memiliki landskap semula jadi yang sangat indah.


NEW Zealand menawarkan pelbagai lokasi menarik yang menjadi tumpuan para pengembara dari seluruh dunia terutamanya di kawasan Pulau Selatan.

Begitupun, ramai pengembara tidak menyedari bahawa terdapat destinasi mempesona dikenali sebagai Tasik Rotorua yang terletak di Pulau Utara.

Terletak di timur laut negara kepulauan itu, Tasik Rotorua mempunyai landskap semula jadi yang tiada tandingannya.

Tasik yang terbentuk akibat letusan gunung berapi aktif, Gunung Tarawera itu dikelilingi air jernih, udara nyaman, burung berkicauan dan hutan hijau paku pakis.

Pelbagai aktiviti lasak boleh dilakukan di situ antaranya berbasikal gunung, memancing, bermain ski air dan memburu.

Tasik Rotorua juga menjadi tumpuan para pendaki selepas pembukaan trek Tarawera sepanjang 15 kilometer (km) sejak tiga tahun lalu.

Pada tahun depan, pihak berkuasa tempatan merancang untuk menghubungkan ketujuh-tujuh tasik di wilayah itu dengan trek pejalan kaki sepanjang 42km.

Kali terakhir Gunung Tarawera yang terletak bersebelahan Tasik Tarawera itu meletus ialah pada tahun 1886 dan telah mengorbankan lebih daripada 100 orang.

Pendakian


Tasik Rotorua terbentuk akibat letusan gunung berapi Gunung Tarawera.


Letusan tersebut turut memusnahkan Teres Pink dan Putih yang terletak di kawasan kejiranan Tasik Rotomahana. Teres Pink dan Putih ialah satu bentuk muka bumi mengagumkan yang terjadi daripada fenomena alam.

Bongkah-bongkah batu yang terbentuk itu pernah disebut-sebut sebagai keajaiban dunia kelapan.

Trek Tarawera bermula di Kampung Buried yang dipenuhi kanopi hijau paku pakis subtropika.

Selepas 5km perjalanan, pendaki akan melalui kawasan pesisir Teluk Hawaiki sebelum mendaki Gunung Tarawera dari arah timur.

Para pendaki kemudian akan melalui pendakian curam untuk sampai pada ketinggian 500 meter dari paras laut sebelum turun ke kawasan teluk yang dikenali sebagai Hot Water Beach.

Hot Water Beach sangat sesuai kepada pengembara yang berhajat untuk bermandi-manda. Namun, sekiranya cuaca panas, teluk tersebut tidak sesuai untuk kulit manusia.

Begitupun, anda boleh mencuba aktiviti menikmati sosej dan makan beramai-ramai sambil melihat keindahan semula jadi di situ.

Trek pendakian tersebut berakhir berhampiran kaki gunung berapi yang menyajikan pemandangan kawah berkeluasan 17km persegi dan rabung gunung batu di sebelah selatan.


Pemandangan di Hot Water Beach.


Bagi pengembara yang ingin ke puncak gunung, mereka boleh menggunakan helikopter atau kenderaan pacuan empat roda.

Ia disebabkan trek pendakian di situ melalui tanah milik persendirian dan ia menyalahi undang-undang di negara tersebut.

Bagi penggemar aktiviti berbasikal lasak pula, jangan lepaskan peluang meneroka Hutan Whakarewarewa yang terletak 4km di selatan Tasik Rotorua.

Kawasan tersebut pernah beberapa kali menjadi tuan rumah bagi pertandingan basikal gunung di New Zealand.

Trek tersebut juga sangat mencabar kerana ia terbentuk akibat letusan gunung berapi. Menariknya, ia dipelihara oleh sekumpulan sukarelawan tempatan.

Selain itu, wilayah Rotorua juga dikenali sebagai kawasan ikan trout. Setiap tahun, beribu-ribu anak ikan trout dilepaskan ke dalam Tasik Rotorua bagi menarik kedatangan kaki pancing.