Malam 7 Hari Mencintaiku DFKL

PENAMAT - Biarpun mencipta fenomena luar biasa, namun Ziela Jalil tidak merancang untuk menerbitkan 7 Hari Mencintaiku edisi raya kerana mahu kisah cinta antara Mia dan Khuzairi dalam drama tersebut berakhir sebaik ia tamat siarannya pada Disember tahun lalu.


MENEPATI ramalan banyak pihak, drama fenomena 7 Hari Mencintaiku mendominasi malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Ahad lalu.

Menyapu bersih enam kemenangan daripada lapan pencalonan, drama yang mencatat jumlah tontonan sebanyak 12 juta itu pulang bergaya menerusi kategori Drama Pilihan, Pengarah Pilihan (Jamal Khan), Penulisan Skrip Pilihan, Lagu Pilihan (Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah) dan Pasangan Pilihan (Shukri Yahaya dan Siti Saleha).

Tonggak utama drama tersebut, Shukri Yahaya, 29, turut membawa pulang anugerah Aktor Pilihan menewaskan 13 lagi calon kategori tersebut.

Teruja namun pada masa sama terkejut dengan pencapaian itu, Shukri berkata, ia adalah rezeki yang tidak disangka kerana selama tempoh enam tahun bergelar anak seni, itu adalah anugerah pertama yang diraihnya.

“Saya sangat bersyukur dan terkejut kerana tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk menang. Kalau diikutkan, kelab peminat saya tidaklah terlalu aktif dan mempunyai ahli yang ramai sehingga mampu mengundi saya untuk memenangi kategori ini.

“Tetapi saya percaya, kemenangan ini diundi oleh peminat drama 7 Hari Mencintaiku dan bukannya terletak kepada undian kelab peminat saya semata-mata. Ia sekali gus membuktikan kehebatan drama ini memberi kesan hebat kepada semua penonton,” ujarnya gembira.

Serasi

Selain Aktor Pilihan, Shukri turut dinobatkan selaku Pasangan Pilihan bersama gandingannya dalam drama tersebut, Siti Saleha.

Menjadi diri sendiri di lokasi penggambaran adalah resipi untuk mencipta keserasian. Namun, bagi Saleha sendiri, ia bagaikan satu mimpi apabila gandingan mereka menerusi drama tersebut diiktiraf oleh peminat.

“Keserasian yang penonton lihat menerusi kaca televisyen bukan terletak kepada diri kami semata-mata. Tetapi, skrip yang bagus dan kru produksi yang hebat memainkan peranan penting untuk menghidupkan mood dalam karakter kami.

“Lagipun, sepanjang bekerja dengan Shukri, saya suka dengan komitmen yang diberikannya.

“Terima kasih kepada Shukri kerana berjaya mencipta keserasian yang hebat bagi watak kami,” ujar Saleha yang sentiasa terbuka menerima gandingan bersama Shukri pada masa hadapan.

Bagi Shukri, dia mempunyai prinsip tersendiri untuk tidak terlalu kerap digandingkan dengan pasangan yang sama dalam tempoh singkat. Baginya, jika terlalu kerap, ia akan mengundang rasa bosan selain sukar menawarkan keistimewaan kepada penonton.

“Saya sentiasa terbuka untuk digandingkan bersama Saleha lagi, tetapi kalau boleh biarlah ada ruang atau satu jangka masa tertentu untuk kami kembali dengan naskhah baharu, saya bimbang nanti penonton akan cepat muak,” ujar Shukri yang sempat melahirkan rasa terkilannya kerana Saleha tidak memenangi kategori Aktres Pilihan sebaliknya dimenangi oleh Mira Filzah.

Kemenangan bersama


SERASI - Tidak perlu mencipta kontroversi seperti cinta lokasi, keberkesanan lakonan yang ditonjolkan oleh Shukri Yahaya dan Siti Saleha menerusi drama 7 Hari Mencintaiku adalah bukti bahawa hubungan cinta dan keserasian dalam drama boleh dipupuk menerusi sikap profesional.


Penerbit drama berkenaan, Datuk Ziela Jalil pula menyifatkan sambutan luar biasa yang diterima drama terbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. tersebut merupakan impak semangat kebersamaan daripada keseluruhan kumpulan produksi yang terlibat.

“Alhamdulillah, saya sangat berbangga dengan kemenangan ini tetapi ia bukan untuk diri saya seorang. Sejujurnya, ia adalah kejayaan bersama kerana saya mempunyai kumpulan tenaga kerja yang sangat hebat.

“Bermula daripada sekecil-kecil watak seperti pembancuh air sehingga sebesar-besar watak iaitu pelakon utama, semuanya memainkan peranan penting. Banyak lagi produksi lain yang mempunyai naskhah hebat, tetapi Tuhan beri kejayaan luar biasa untuk kami pada malam ini,” ujarnya teruja.

Bagi Ziela, beliau berasa bertuah kerana apa yang terkandung dalam drama penulisan Siti Rosmizah itu mencipta fenomena luar biasa.

Selain jalan cerita yang dekat dengan penonton, kemunculan watak tambahan seperti Pak Samad (Aman Graseka), Mak Leha (Liza Abdullah) dan Buntat (Muhammad Ariff Abdullah) turut menjadi penambah rencah dalam naskhah tersebut.

Bukan hanya itu sahaja, pemilihan lagu tema yang bersesuaian dan punya magis untuk menyerap keserasian dalam drama juga menjadi resipi utama Ziela, 48, dalam menentukan hala tuju naskhah terbitannnya.

“Saya sangat cerewet apabila menerima sesebuah naskhah kerana apa yang saya titik beratkan adalah lagu tema. Ketika diberi naskhah, dalam kepala terus muncul idea tentang siapakah penyanyi yang sesuai untuk menyanyikan lagu tema.

“Pemilihan Dayang Nurfaizah untuk kali kedua selepas drama Ariana Rose sememangnya tepat dan memberi impak tersendiri untuk drama 7 Hari Mencintaiku. Saya mahu lagu tersebut kena dengan perjalanan cerita selain mampu membentuk keserasian dalam drama,” tutupnya.

Selain 7 Hari Mencintaiku, naskhah Meh Sandar Pada Aku terbitan Zeel Production Sdn. Bhd. turut membawa pulang kategori Drama Pilihan Tonton VIP.

Mira Filzah pula diangkat selaku Aktres Pilihan menerusi drama lakonannya, Cinta Si Wedding Planner, manakala Izzue Islam membawa pulang trofi kemenangan kategori Antagonis Pilihan atas lakonan berkesannya dalam drama Patahnya Sebelah Sayap.

Penganjuran DFKL 2017 yang memasuki tahun keempat merupakan malam kemuncak dan penghargaan untuk drama terbaik tayangan stesen TV3 dan TV9.

Selain itu, ia turut menjadi medan kepada orang awam untuk menyerlahkan bakat penulisan cerita menerusi dua kategori yang dipertandingkan iaitu Anugerah Drama Pendek Pilihan yang dimenangi oleh drama Kongsi Kalau Malu (Mohammad Shafie Seyed Mohamed, Syalikh Nazrul dan Rodhwan Uvaise) dan Anugerah Drama Radio Pilihan (Terima Kasih EX, Siti Zuraidah).