Hala tuju karier, hidup Diana Danielle

ANTUSIAS - Bukan mengikut trend, sebaliknya minat Diana terhadap bidang nyanyian sudah bercambah dalam dirinya sejak berusia empat tahun. Semasa kecil, dia banyak menghabiskan masa bernyanyi di dalam bilik.


Radar dunia hiburan tempatan tidak pernah sunyi dengan percaturan anak seni mempertaruhkan bakat bagi meraih perhatian peminat.

Selain menyaksikan kehadiran ramai bakat baharu dalam pelbagai cabang seni, percubaan golongan pelakon sedia ada yang mencuba nasib bergelar penyanyi juga tidak pernah padam mewarnai kemeriahan persada muzik tanah air.

Meskipun ia bergerak senada dengan trend masa kini, namun bagi aktres jelita, Diana Danielle, keberaniannya tampil sebagai penyanyi dibuat berlandaskan kecintaannya yang mendalam terhadap bidang tersebut.

Muncul dengan single sulung berjudul Tentang Kita, Diana tidak meletakkan ekspektasi yang tinggi terhadap karya DJ Fuzz dan lirik oleh Alabbas serta Muariffah itu.

“Kehadiran saya dengan sebuah single solo sebagai langkah untuk memahatkan kembali nama dalam industri nyanyian. Sebelum ini, orang tidak pernah ambil serius apabila saya muncul sebagai penyanyi dalam beberapa buah filem.

“Ada sesetengah pihak fikir, nyanyian sekadar hobi saya, sedangkan saya memang suka menyanyi. Cuma selama ini, saya tidak pernah menerima sebarang tawaran menyanyi.

“Jadi, kemunculan single pertama ini adalah bukti keseriusan saya dalam bidang nyanyian,” ujarnya membuka perbualan ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di Damansara baru-baru ini.

Minat

Berbicara lanjut mengenai single berkenaan, Diana sengaja memilih material yang ringan dari segi muzik. Asalkan lagu tersebut sedap dan mudah didengar serta memenuhi selera pendengar masa kini, dia sudah berasa lega.

“Sebenarnya saya seorang pencinta muzik klasik seperti lagu country, jaz dan folk. Namun, saya tidak berani mempertaruhkan genre muzik yang saya suka dalam buah tangan sulung kerana ia sedikit berat untuk diterima ramai pendengar,” ujarnya yang meminati penyanyi popular antarabangsa seperti Norah Jones, Tracy Chapman dan Bob Dylan.

Baru dilancarkan, hakikatnya Tentang Kita sudah pun dirakamkan sekitar Mac tahun lalu.

Menurut Diana, dek cetek ilmu dalam bab pemasaran dan pengedaran, lagu berkenaan terpaksa diperam sehinggalah dia bertemu dengan Pengurus Besar Warner Music Malaysia, Darren Choy. Dari situ, laluannya untuk muncul sebagai penyanyi terbuka luas.

“Saya kenal Darren daripada pereka fesyen terkenal, Melinda Ooi. Disebabkan tidak tahu menahu bagaimana mengendalikan pemasaran dan pengedaran lagu, saya ada bertanya tentang kos yang diperlukan.

“Tidak sangka daripada sebuah pertanyaan biasa, ia membuka ruang lain yang lebih besar apabila Warner Music sudi menjalin kerjasama untuk memasarkan lagu ini,” cerita Diana seraya tersenyum ceria.

Tidak terhenti dengan Tentang Kita, rezeki aktres filem Hanyut itu dalam bidang nyanyian semakin luas apabila bakal muncul dengan sebuah lagu duet bersama seorang penyanyi antarabangsa tidak lama lagi.

“Alhamdulillah. Itu satu lagi rezeki yang tidak terduga apabila Warner Music memberi kepercayaan kepada saya untuk berduet dengan penyanyi dari luar negara.

“Ia juga suatu penghormatan. Saya harap lagu itu akan diterima ramai, bagaimanapun buat masa sekarang saya tidak boleh berkongsi lanjut mengenainya sehingga ada pengumuman rasmi daripada Warner Music,” ujar Diana yang sebelum ini pernah merakamkan duet Penyembuh Rindu bersama Mawi menerusi filem Magika.

Kritikan

Sedar atmosfera dunia hiburan yang terbuka dengan risiko dan persepsi negatif, khususnya daripada pengguna media sosial, pemilik nama lengkap, Diana Danielle Danny Beeson, 26, itu bagaimanapun tidak mahu mengambil endah terhadap segala kritikan menjatuhkan.

Katanya, tidak ada seorang pun manusia yang dilahirkan sempurna melainkan perlu melalui proses pembelajaran.

“Manusia negatif ada di mana-mana. Sewaktu mula bergelar pelakon pun, ramai orang cakap lakonan saya kayu dan akan tetap kayu sampai bila-bila.

“Situasi tersebut mendorong saya meneruskan proses menuntut ilmu. Ia mendidik saya untuk menghadiri kelas lakonan dan berlakon dengan orang yang bagus. Secara langsung, ia menjadikan saya seorang yang mahir dalam lakonan,” jelasnya.

Pernah terperangkap dalam skeptikal masyarakat bahawa seseorang pelakon tidak akan mampu bergelar penyanyi yang baik, Diana mengaku situasi tersebut mengekang niatnya untuk menonjolkan bakat terpendam.

“Sudah bertahun-tahun saya mengikuti kelas vokal tetapi pemikiran saya dahulu dipengaruhi skeptikal masyarakat yang beranggapan seorang pelakon tidak boleh menyanyi.

“Jadi, perkara itu membantutkan niat selain membuatkan saya tidak yakin dengan diri sendiri untuk memecahkan kepercayaan tersebut. Sehingga sampai ke satu tahap, saya berpegang kepada prinsip, lakukan apa sahaja perkara yang kita suka,” tuturnya.

Bersara awal

Alah bisa tegal biasa, Diana sebenarnya sudah terbiasa melakukan banyak kerja dalam satu-satu masa kerana kehidupan sebegitu telah dipraktikkannya sejak kecil.

“Sekarang masanya untuk saya bekerja keras kerana saya mempunyai impian untuk bersara awal. Had umur yang saya sasarkan untuk terus aktif dalam industri adalah hingga usia 45 tahun.

“Ia adalah satu doa. Selama ini, saya sudah menghambakan diri dalam bidang seni sejak kecil. Jadi, apa salahnya memberi ruang kepada diri untuk menikmati hidup pada usia tua nanti,” katanya.

Lebih manis, impian tersebut turut disambut baik oleh suami tercinta, aktor Farid Kamil yang berkongsi mimpi sama dengannya.

“Kami mempunyai pemikiran yang sama dalam menentukan hala tuju karier untuk tempoh 10 tahun akan datang. Namun, caranya sedikit berbeza kerana dia lelaki dan perancangan selepas bersara lebih terarah terhadap perniagaan berbentuk hartanah.

“Berbeza dengan saya seorang wanita dan ibu, kecantikan dan kesihatan adalah perkara yang sangat sinonim dalam kehidupan. Jadi, mungkin saya boleh fokus ke arah perniagaan sebegitu,” ujarnya ceria.

Berkongsi tentang perkembangan terkininya, Diana bakal muncul dengan sebuah drama bersiri berjudul Raisha untuk siaran TV3 tidak lama lagi.

Selain itu, drama lakonannya bersama Aliff Aziz berjudul Di Sebalik Wajah akan ditayangkan menerusi HyppTV.