Beli barang runcit pada bila-bila masa

PASARTAP menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.


KETIKA kali pertama menggunakan perkhidmatan pembelian barang runcit secara online, PasarTap tahun lalu, Norazura Zaini, 31, sedikit ragu-ragu.

Selama ini dia agak teliti memilih barang runcit terutama bahan-bahan mentah seperti ikan, ayam, daging atau sayur-sayuran.

Keraguannya bagaimanapun berakhir selepas dia berpuas hati dengan kesegaran dan kualiti barangan yang dihantar di rumahnya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

“Saya pernah menggunakan perkhidmatan sama melalui beberapa operator lain, namun kebanyakan bahan-bahan tersebut diperoleh daripada pengusaha pasar raya.

“Berbeza dengan PasarTap, ia dibeli daripada peniaga atau pemborong di pasar sekali gus kesegaran dan kualitinya terjamin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pengurus jualan dan pemasaran di salah sebuah syarikat penerbangan terkemuka itu memberitahu, sejak itu dia menjadi pelanggan tetap PasarTap.

Padat


OPERASI PasarTap sentiasa dipantau oleh pihak pengurusan bagi menjamin kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.


“Sebelum ini, saya hanya berkesempatan ke pasar pada hujung minggu kerana jadual kerja harian yang padat dan pejabat pula terletak di Sepang, Selangor.

“Kini, dengan hanya melayari laman web saya boleh pergi ke ‘pasar’ pada bila-bila masa dan memilih ribuan barang runcit atau bahan mentah yang ditawarkan.

“Setiap barangan akan dihantar pada hari sama tempahan dan pelanggan boleh memilih waktu penghantaran mengikut kesesuaian mereka,” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.

Membawa slogan Segar Dari Pasar, PasarTap yang beroperasi pada Januari 2016 menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan runcit secara online di sekitar Lembah Klang.

Bermula dengan 300 produk barang runcit dan bahan mentah, kini PasarTap menawarkan lebih 2,000 produk seperti minuman, makanan ringan, buah-buahan, roti dan susu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PasarTap, Mohd. Hafiz Hashim, 34, berkata, idea itu timbul kerana dia melihat kalangan warga kota yang bekerja berdepan kesukaran untuk ke pasar setiap hari.

Kebanyakan pasar seperti Pasar Chow Kit atau Pasar Selayang beroperasi di sebelah pagi ketika orang ramai sedang bersiap-siap ke pejabat.

“Sewaktu pulang ke rumah mungkin sudah lewat petang atau malam, jadi pilihan untuk mendapatkan ayam, ikan atau sayuran segar agak terhad.

“Alternatif lain mungkin di pasar raya, namun kualiti dan kesegarannya jauh berbeza berbanding di pasar.

“Baik ke pasar atau pasar raya sekali pun, mereka masih perlu bersesak-sesak di atas jalan raya, mencari parkir yang mana menuntut masa, wang dan tenaga,” katanya.

Mohd. Hafiz yang turut menjalankan perniagaan makanan sejak sedekad lalu memberitahu, dia sentiasa menitikberatkan kualiti dan kesegaran bahan mentah yang dihidangkan di restorannya.

Perisian terbaik


DARI kiri: Hisham, Mohd. Hafiz dan Fahmi menjadi tulang belakang di sebalik kecemerlangan operasi PasarTap.


“Saya gunakan pengalaman dan kemahiran sedia ada untuk melatih kakitangan-kakitangan PasarTap dan setakat ini mereka berjaya menjalankan tanggungjawab tersebut dengan baik.

“Pada peringkat awal mungkin wujud kelemahan ketara namun kami sentiasa menambah baik perkhidmatan dan mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi PasarTap, Fahmi Amri, 33, berkata, pihaknya membangunkan laman web PasarTap menggunakan perisian Shopify yang merupakan platform e-Dagang terbaik dan popular di pasaran.

Menerusi perisian tersebut, pelanggan hanya perlu melayari web PasarTap dan memilih item-item yang diingini mengikut kategori iaitu makanan segar, barang runcit, minuman dan makanan sejuk beku.

“Sebagai contoh, jika mahu membeli telur mereka hanya perlu klik butang eggs yang akan memaparkan jenis-jenis telur berserta harganya.

“Selepas membuat pilihan, maklumat tersebut akan dihantar ke dalam sistem pembelian secara automatik sebelum pelanggan diminta untuk memilih tarikh dan waktu penghantaran.

“Akhir sekali, pelanggan perlu mengisi maklumat peribadi mereka sebelum membuat pembayaran secara online atau tunai selain caj tambahan sebanyak RM3 untuk setiap penghantaran,” katanya yang memberitahu minimum pembelian ialah RM20.

Tambah Fahmi, semua maklumat tersebut akan diterima oleh bahagian pentadbir data sebelum dikumpulkan dan dihantar kepada kakitangan yang bertugas di pasar.

“Kakitangan terbabit akan membuat pembelian daripada peniaga atau pemborong berdasarkan setiap tempahan sebelum menyerahkannya kepada kakitangan penghantaran sebelum ia dihantar ke rumah pelanggan.

“Pelanggan boleh membuat pembelian pada bila-bila masa dan memilih empat waktu penghantaran bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 7 malam setiap hari kecuali hari Isnin.

“Menariknya, terdapat ruangan nota disediakan sekiranya pelanggan mempunyai permintaan tertentu seperti ikan telah disiang atau jumlah potongan ayam,” ujarnya.

Jelasnya, pelanggan akan dimaklumkan maklumat pembelian menerusi e-mel selain panggilan telefon daripada pihak PasarTap berhubung status penghantaran tempahan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Pasar Tap, Hisham Talib, 39, berkata, selain pelanggan biasa, pihaknya turut menyasarkan pelanggan dalam kalangan ahli perniagaan seperti pengusaha restoran dan katering.

“Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kami kini giat menambah jumlah pelanggan menerusi pelbagai promosi dan diskaun yang ditawarkan dari semasa ke semasa.

Strategi


KUALITI dan kesegaran barangan yang dijual akan diperiksa terlebih dulu sebelum dihantar kepada pelanggan.


“Ketika ini kami sedang dalam peringkat akhir perbincangan dengan pengurusan salah sebuah rangkaian pasar raya besar di negara ini untuk memasarkan lebih 25,000 barang keperluan harian dan kelengkapan rumah menerusi PasarTap,” ujarnya.

Menurut Hisham, sebagai strategi pemasaran, pihaknya turut bekerjasama dengan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menerusi Datuk Fazley Ready To Cook Meal Kits yang menawarkan lima koleksi hidangan popular beliau di PasarTap.

“Setiap kit mempunyai resipi berbeza dan pelanggan yang berminat mencuba boleh mendapatkan bahan-bahan yang terkandung di dalam resipi tersebut mengikut pakej.

“Selain itu, kit resipi Datuk Fazley, kami juga menawarkan kit resipi popular seperti Asam Pedas Daging Melaka, Sup Tulang Segar Tradisional, Pasta Mania dan Hot Dog sebagai pilihan kepada pelanggan,” katanya.