Senaman Kak Tam bantu wanita berusia

SARINA (dua dari kanan) sentiasa menggalakkan golongan berusia supaya melakukan senaman untuk menjalani gaya hidup sihat.


Seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an kelihatan sedang asyik melakukan senaman. Biarpun sudah berusia, wanita itu masih lincah dan cergas ketika melakukan rutin senaman persis orang muda.

Pemilik nama Sarina Hashim yang merupakan pengasas studio latihan senaman Kak Tam tidak pernah menjadikan usia sebagai penghalang untuk menjalani gaya hidup sihat.

Pernah memiliki berat badan sehingga mencecah 98 kilogram sewaktu berusia 48 tahun, Sarina bertekad untuk menubuhkan sebuah studio latihan senaman sejak setahun lalu bagi membantu golongan berusia menjalani kehidupan sihat dan cergas.

“Saya terpanggil untuk mewujudkan studio latihan senaman ini bagi memberi khidmat nasihat terhadap rutin latihan senaman khusus bagi golongan yang berusia 40 tahun ke atas.

“Sebagai seorang yang pernah melalui kepayahan memiliki berat badan berlebihan, saya berasakan satu tanggungjawab dalam membantu wanita berusia dengan memberi perkhidmatan latihan senaman kepada mereka,” katanya ketika ditemui di studio latihan senaman Kak Tam di Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Lebih mesra dengan panggilan Kak Tam, wanita itu menjelaskan, masa bagi golongan wanita berusia sangat terbatas.

Malah, ada antara mereka tidak mempunyai wang lebihan untuk menyertai gimnasium berbayar yang menjadi trend hari ini.

Justeru, Kak Tam berkata, dia telah membangunkan rutin latihan sendiri yang merangkumi regangan, pemanas badan, pembakaran lemak dan mendapatkan bentuk badan yang ideal.


RUTIN senaman Kak Tam hanya mengambil masa selama 15 minit dan boleh dilakukan di rumah.


Rutin latihan

“Saya telah menggabungkan pelbagai latihan senaman dalam rutin Kak Tam ini mengikut kesesuaian para peserta. Ini kerana tidak semua golongan tersebut mempunyai tenaga untuk melakukan senaman lasak.

“Selain itu, para peserta mempunyai keinginan tertentu untuk mengurang dan mendapatkan bentuk badan yang ideal.

“Sewaktu saya mengalami berat badan berlebihan, saya telah menggunakan khidmat pelbagai jurulatih kesihatan untuk menurunkan berat badan.

“Daripada pengalaman itu, saya telah menggabungkan pelbagai rutin latihan untuk diterapkan dalam latihan Kak Tam ini,” ujarnya.

Dia memberitahu, bayaran yang dikenakan kepada para peserta amat berpatutan dan sesiapa sahaja mampu menyertai rutin latihan Kak Tam.

Kak Tam berpendapat, bayaran sebanyak RM20 berpatutan kerana tidak mahu membebankan para peserta yang menyertai latihan itu.

“Program latihan rutin Kak Tam itu hanya mengambil masa selama 15 minit sehari dan perlu dilakukan selama dua bulan.

“Saya tidak mahu mengenakan bayaran yang mahal kepada para peserta kerana mereka hanya perlu menjalani latihan selama empat jam bagi tempoh dua bulan,” ujarnya sambil melemparkan senyuman.

Dia memberitahu, rutin latihan itu juga boleh dilakukan di rumah kerana hanya mengambil masa selama 15 minit.

Apa yang penting, para peserta perlu berdisiplin dalam melakukan senaman.

Pengarah Urusan Sentuhan Sarina Jaya Marketing itu berpendapat, golongan wanita akan kelihatan cantik apabila memiliki tubuh badan yang sihat dan cergas.

“Para peserta digalakkan untuk membeli produk Sentuhan Sarina termasuk Kopi Kak Tam, Teh Bara dan jus memuncak kerana ia lebih berkesan dengan pemakanan seimbang,” katanya.