Dubai My Love papar keindahan UAE


SEBAHAGIAN babak yang berlatarbelakangkan bangunan ikonik, Burj Khalifa.


MENYEBUT perihal sesuatu naskhah dalam bentuk filem, selain jalan cerita dan kekuatan karakter dibawakan oleh barisan pelakon, aspek sinematografi iaitu latar kepada setiap babak yang dipaparkan turut memainkan peranan penting.

Bahkan, pemilihan lokasi yang menarik untuk tujuan penggambaran juga sebenarnya secara tidak langsung akan mempromosikan satu-satu tempat itu kepada masyarakat luar, khususnya penonton.

Justeru, perkara itu menjadi pertimbangan utama dalam pembikinan filem terbaharu, Dubai My Love yang diterbitkan oleh Tsar Asia Sdn. Bhd.

Dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara pada September depan, naskhah yang telah selesai menjalani penggambaran sekitar setahun lalu itu memilih beberapa lokasi tumpuan utama di Dubai selari dengan tajuk filemnya sebagai latar tempat bagi jalan cerita untuk disajikan kepada penonton.

Semestinya, pembikinan filem di luar negara bukanlah satu kerja mudah kerana ia memerlukan perbelanjaan yang cukup tinggi.

Filem yang turut mendapat kerjasama daripada pihak Dubai Tourism itu dilaporkan menelan belanja mencecah RM1 juta.

Lokasi pelancong

Menariknya, dalam filem itu nanti, penonton berpeluang melihat dengan lebih dekat beberapa lokasi menarik yang sering menjadi tumpuan pelancong apabila bertandang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Penerbit Eksekutifnya, Wan Sariah Wan Jaafar memberitahu, prosedur penggambaran juga menjadi lebih mudah apabila pihaknya mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa di negara berkenaan.

“Kita rasa bertuah kerana diberikan akses untuk melakukan penggambaran dengan mudah hasil kerjasama dengan pihak Dubai Tourism. Jadi, mereka ada memberikan beberapa cadangan lokasi yang memudahkan lagi kerja kami.


Dubai My Love mengangkat kisah percintaan lelaki yang ditinggalkan pasangan pada hari perkahwinannya.


“Ini kerana, seperti yang kita sedia maklum, tahap kawalan di sana agak ketat. Dengan kemudahan akses itu, segala perancangan penggambaran dapat dilakukan dengan lancar,” katanya.

Antara lokasi yang terlibat termasuklah, Burj Khalifa, Padang Pasir Safari, Atlantis The Palm, The Gold Souk, Dubai Marina dan Pantai Jumeirah.

Bagi pengarahnya, Aidilfitri Mohamed Yunos, penggambaran di lokasi-lokasi tersebut disifatkan sebagai satu peluang cukup bermakna kerana banyak tempat menawarkan pemandangan yang memukau mata.

“Boleh dikatakan hampir 80 peratus babak itu memaparkan keindahan Dubai. Selebihnya kita juga turut mengadakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur.

“Pada saya, cinta itu seperti satu perjalanan. Jadi, atas sebab itu jugalah saya beritahu pihak penerbit bahawa saya mahukan penggambaran di luar negara untuk menterjemahkan jalan cerita filem ini,” kata pengarah terkenal menerusi drama bersiri Rindu Awak 200 Peratus yang mengangkat nama pelakon Ayda Jebat itu.

Muka baharu

Lebih menarik, percaturan dibuat produksi Dubai My Love sememangnya boleh dikatakan cukup berani apabila menampilkan barisan pelakon yang boleh dikatakan sebagai muka baharu dalam industri hiburan tanah air.

Filem itu mengetengahkan pelakon yang sedang meningkat naik antaranya, Erwin Dawson, Hanna Aqeela, Putri Najuwa dan Ben Ali selaku teraju utama dalam karya yang turut menggunakan nukilan skrip asal oleh Aidilfitri.

“Dari segi pemilihan pelakon, memang pihak penerbit bersama pengarah duduk berbincang untuk mengetengahkan barisan pelakon yang boleh dikatakan masih baharu, tetapi pada masa sama mempunyai bakat cukup besar.


FILEM ini mempertaruhkan barisan pelakon yang merupakan pendatang baharu.


“Pemilihan mereka juga dibuat selepas mengambil kira prestasi kerja berdasarkan pembabitan pelakon itu dalam karya-karya sebelumnya. Lagipun, kita melihat potensi mereka ini untuk pergi lebih jauh,” kata Wan Sariah.

Dalam pada itu, bagi pelakon Putri Najuwa, pengalaman penggambaran di Dubai merupakan sesuatu yang sukar dilupakan.

Katanya, sepanjang berada di sana, proses penggambaran terpaksa dilakukan dalam cuaca yang agak dingin.

“Sebelum bertolak ke sana, kami tidak dimaklumkan mengenai cuaca ketika itu, tak sangka pula sejuk.

“Sampaikan kami menggigil sewaktu penggambaran. Lebih malang, masing-masing tidak ada membawa baju yang tebal,” kongsinya.

Sementara itu, kata Hanna Aqeela pula, sekiranya ingin melihat keindahan Dubai, filem ini merupakan naskhah yang cukup tepat.

“Apa yang saya boleh kata, filem ini banyak ‘menjual’ pemandangan di sana. Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dapat melakukan aktiviti luncur pasir,” katanya.

Bagi heronya pula, Erwin Dawson, dia mengakui teruja apabila diberikan peluang untuk menjayakan filem berkenaan.

“Saya sukakan barisan pelakon lain yang digandingkan bersama. Senang bekerja dengan mereka semua. Lagipun, ada antaranya saya pernah berlakon sama juga.

Dubai My Love mengisahkan lelaki bernama Amar yang membawa diri ke Dubai untuk membina hidup baharu setelah berdepan dengan kekecewaan apabila ditinggalkan pada hari perkahwinannya.

Luka lama kembali berdarah apabila dia kemudian bertemu dengan seorang wanita misteri yang muncul dalam hidupnya mengaku mengetahui rahsia hidup Amar.

Siapakah wanita tersebut? Semuanya bakal terjawab September nanti.