Trump ancam Korea Utara, armada AS belayar ke Australia


AFP - KAPAL induk, USS Carl Vinson dirakam belayar di Selat Sunda yang terletak antara Pulau Jawa dan Sumatera, Indonesia pada Sabtu lalu.


WASHINGTON – Apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bermegah pada minggu lalu bahawa beliau telah mengerahkan sebuah armada sebagai amaran kepada Korea Utara, armada diketuai kapal induk, USS Carl Vinson itu bukan sahaja berada jauh dari Semenanjung Korea, malah, pasukan berkenaan belayar menuju arah bertentangan.

Kapal induk itu belayar semakin jauh melalui Selat Sunda dan memasuki Lautan Hindi ketika Korea Utara mempamerkan kekuatan peluru berpandunya dalam perarakan tentera di Pyongyang pada hujung minggu lalu.

Markas Pasifik AS memberikan penjelasan kelmarin bahawa pasukan gempur itu perlu menamatkan latihan tentera singkat bersama Australia yang dijadualkan terlebih dahulu.

Namun, kapal induk itu kini menuju ke Semenanjung Korea seperti yang diarahkan Trump, katanya.

Situasi tersebut dikritik pakar-pakar politik yang sangsi tentang kredibiliti pentadbiran Trump. Retorik tegas AS mengenai ancaman nuklear Korea Utara sebelum ini mencetuskan kebimbangan perang akan berlaku di Semenanjung Korea.

“Jika anda mengancam mereka (Korea Utara) dan ancaman anda tidak boleh dipercayai, ini akan menjejaskan dasar anda terhadap mereka dan inilah yang berlaku,” kata pakar Korea Utara, Joel Wit.

Tentera AS menyatakan dalam satu kenyataan pada 10 April lalu bahawa Komander Markas Pasifik, Laksamana Harry Harris telah mengarahkan pasukan gempur USS Carl Vinson belayar ke utara (Semenanjung Korea). – Reuters