Jamal bimbang Osama kena kejutan budaya


Jamal Abdillah bimbang anak sulungnya, Osama, 16, yang kini bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh di selatan tanah air hanyut dengan populariti di alam maya apabila mempunyai pengikut mencecah 50,000 orang dalam laman Instagramnya.


Bertemu dengan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah pada Malam Amal Pengasih di Maju Tower, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyanyi itu meluahkan kebimbangan apabila terpaksa tinggal berjauhan dengan anak sulung hasil perkahwinan keduanya, Osama Yamani, 16.

Menurut Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 58, anaknya itu dimasukkan ke sebuah sekolah seni berasrama penuh di Johor Bahru sejak berusia 13 tahun. Namun, beliau semakin bimbang memikirkan perkembangan emosi dan sahsiah diri anaknya itu apabila semakin meningkat remaja.

Bagaimanapun, Jamal mempunyai cara tersendiri untuk mendisiplinkan anak bujangnya itu. Selain Osama, Jamal mempunyai seorang lagi anak lelaki, Ahmad Zaki Yamani, 11, hasil perkahwinan ketiganya sebelum ini.

Bercakap tentang kerjaya seni, Jamal bakal mengadakan sebuah konsert di Singapura, selain merancang untuk mengadakan konsert solo di Malaysia dan mengeluarkan single terbaharu.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan kehidupan peribadi Jamal sekarang?

Jamal Abdillah: Alhamdulillah saya masih memegang status duda. Belum bertemu dengan wanita sesuai yang boleh dijadikan calon isteri, jika ada jodoh saya akan beritahu. Setakat ini fokus saya hanyalah bekerja keras mengumpul harta dan perniagaan untuk anak-anak.

Saya sudah 58 tahun dan tidak mempunyai banyak masa untuk bekerja sedangkan anak-anak masih kecil. Dua anak saya merupakan kepentingan paling utama.

Sukar atau tidak membesarkan anak yang telah meningkat remaja seorang diri?

Anak sulung saya Osama kini sudah berada di tingkatan empat. Sebenarnya saya agak runsing dan bimbang apabila anak meningkat remaja.

Kami tinggal berjauhan, saya di Shah Alam, Selangor dan dia di Johor Bahru kerana bersekolah di sana. Apa yang membimbangkan, saya tidak dapat memantau dan melihat dia membesar di hadapan mata.

Jika bimbang mengapa hantar anak bersekolah begitu jauh?

Sebagai bapa, saya mahu beri pendidikan terbaik buat anak-anak. Osama begitu berminat dengan muzik, jadi saya masukkan dia ke sekolah seni yang terbaik di Malaysia.

Mahu atau tidak, kami terpaksa tinggal berjauhan demi masa depannya. Disebabkan telefon tidak boleh digunakan di sekolah berasrama penuh, saya hanya akan menghubunginya setiap hujung minggu sahaja.

Apakah yang paling membimbangkan anda?

Biasalah remaja, masa inilah perasaan memberontak itu timbul. Saya sudah merasainya tetapi zaman dahulu dan sekarang jauh berbeza. Apa yang dibimbangkan adalah Osama lupa diri dengan kejutan budaya.

Akaun Instagramnya sahaja sudah memiliki 50,000 orang pengikut, sudah tentulah saya bimbang. Saya bimbang dia tidak dapat seimbangkan antara pelajaran dan kehidupan glamor di alam maya.

Oleh itu, apakah tindakan yang anda lakukan?

Saya tiada pilihan lain selain terpaksa bertegas dan mengambil telefon bimbitnya. Saya juga menasihatinya dengan meminta menutup akaun Instagram.

Sebagai bapa, tiada lain harapan saya selain dia mendapat A dalam semua mata pelajaran sewaktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diambil pada tahun hadapan.

Selepas menamatkan pelajaran di universiti, baru dia berhak untuk pilih jalan hidup sendiri. Jika benar dia berminat dengan muzik, saya mahu dia menjadi seperti meastro seni dan konduktor muzik, Datuk Ramli MS, bukannya sekadar penyanyi sahaja.

Khabarnya anda bakal mengadakan konsert dalam masa terdekat?

Saya akan mengadakan konsert di Singapura pada 26 Ogos depan bersama Zamani dan juga Ezad Lazim. Namun, lokasinya belum dapat dipastikan lagi buat masa ini.

Selain itu, jika mengikut perancangan saya mahu mengadakan konsert di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada tahun ini. Bagaimanapun, oleh kerana Istana Budaya masih dalam proses pengubahsuaian, jadi saya tangguhkan dahulu perancangan tersebut.

Bagaimana pula dengan lagu terbaharu?

Album terakhir saya dipasarkan empat tahun lalu iaitu Raja Pop 2. Buat masa ini, tiada perancangan untuk melahirkan album baharu kerana industri muzik yang agak malap.

Saya juga mungkin akan menghasilkan sebuah single yang diambil daripada lagu lama saya sendiri. Sebenarnya, saya mempunyai begitu banyak lagu yang masih belum dipopularkan.

Lebih baik saya mengambil komposer muda untuk menyusun semula lagu lama agar kedengaran relevan pada masa kini, daripada mengeluarkan wang untuk sebuah lagu baharu.