Jangan abai didikan agama untuk anak-kanak autisme


KANAK-KANAK autisme perlu diberi peluang untuk mereka mempelajari dan mendalami ilmu. – Gambar hiasan


SOALAN - Masyarakat sering memahami bahawa anak-anak istimewa seperti remaja autisme tidak perlu diberi pendidikan agama. Boleh Dr. jelaskan hal ini?

JAWAPAN - Bulan April setiap tahun merupakan bulan meraikan anak-anak autisme. Pelbagai program dan aktiviti dianjurkan untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang autisme. Ini membuktikan bahawa keprihatinan negara dan masyarakat terhadap golongan ini. Ia juga merupakan sokongan moral kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme.

Autisme bukan sejenis penyakit tetapi ia merupakan salah satu kategori orang kelainan upaya (OKU) yang berdepan masalah pembelajaran.

Masalah pembelajaran adalah sebagai kelewatan perkembangan dalam satu atau lebih daripada proses pertuturan, pembacaan, penulisan, pengiraan atau mata pelajaran sekolah lain. Ia bukan kesan daripada kerencatan mental, halangan sensori (buta atau pekak) atau budaya dan persekitaran.

Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah lewat perkembangan global dan kurang upaya intelektual. Kategori ini juga merangkumi keadaan yang menjejaskan kemampuan pembelajaran individu seperti Autistic Spectrum Disorder (ASD), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Pervasive Developmental Disorder (PDD) dan masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia, diskalkulia dan disgrafia.

Golongan yang mempunyai masalah dalam perkembangan psikologi dan pembelajaran seperti autisme merupakan ahli masyarakat yang tidak boleh diabaikan dari aspek pendidikan agama.

Mereka perlu belajar dan beramal dengan segala perintah Allah SWT setakat yang termampu. Hal ini perlu agar mereka dapat menjalani kehidupan seharian sebaik mungkin dan mempunyai kekuatan kerohanian. Allah SWT tidak memandang seseorang itu pada rupa paras, kedudukan, keturunan dan pangkat semata-mata. Perbezaan ini hanya pada nilaian mata manusia. Sebaliknya, Allah SWT hanya memandang pada iman dan takwa seseorang.

Bimbingan

Islam mengutamakan hak yang sama kepada semua termasuk OKU yang memerlukan bimbingan dan bantuan orang lain menguruskan mereka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Abasa (80) yang bermaksud:

“Dia memasamkan muka dan berpaling, kerana dia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.”

Walaupun ada pendapat yang menyatakan bahawa mempelajari agama bukan satu taklif kepada mereka kerana dikategorikan dalam golongan OKU tetapi bagi OKU yang ringan, mereka boleh dibimbing tentang agama, asalkan pendekatan yang digunakan sesuai dengan kemampuan mereka.

Kebanyakan remaja autsime memerlukan proses pembelajaran berbentuk pengulangan bagi membolehkan mereka menguasai sesuatu kemahiran dan perlakuan ibadat fardu ain. Banyak kes yang membuktikan keupayaan remaja autisme menguasai bacaan al-Quran dan melakukan solat dengan baik setelah diberikan pendidikan berterusan.

Justeru, anak istimewa seperti ini juga tidak boleh sama sekali dinafikan hak dan keperluan mereka. Baginda SAW amat meraikan golongan ini dalam usaha mereka berjuang untuk menuntut ajaran Islam.

Bimbingan dan pendidikan agama perlu bermula sejak kecil dengan menyediakan kelas-kelas pengajian agama khusus dengan dibantu oleh tenaga pengajar. Hal ini pasti membantu remaja autisme melaksanakan kewajipan agama sebaik mungkin.

Sekiranya anak-anak ini diberi latihan melakukan aktiviti untuk menguatkan fizikal mereka seperti berenang, memanah, berkuda, tidak mustahil didikan agama memberi kekuatan fizikal dan jiwa dalam menjalani kehidupan seharian.