Vinales yakin tewaskan Marquez


VINALES mempunyai keyakinan tinggi untuk mengalahkan Marquez di Litar The Americas, Austin meskipun sedar juara bertahan itu unggul pada GP Amerika Syarikat.


AUSTIN – Maverick Vinales percaya dia mampu menjadi pelumba pertama MotoGP yang mampu menewaskan jaguh dunia, Marc Marquez menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat hujung minggu ini.

Penunggang Honda, Marquez antara pelumba yang cemerlang di Litar The Americas, Austin (COTA) apabila mencatatkan empat kemenangan berturut-turut di litar tersebut dan turut mencatatkan rekod terpantas pada musim 2015.

Bagaimanapun, Vinales percaya penghijrahannya ke Yamaha mampu menyekat kemaraan Marquez serta mencatatkan rekod terbaik di litar tersebut meskipun mengakui bakal berdepan cabaran hebat.

“Saya tahu Marquez seorang pelumba yang hebat dan berbakat di litar tersebut. Saya akui dia mempunyai rekod cemerlang di sana tetapi litar itu antara kegemaran saya. Saya boleh menunggang kelajuan maksimum di litar tersebut.

“Namun, misi utama saya adalah melakukan kejutan seperti padaa GP Argentina dan kami akan melakukan pelarasan terbaik untuk menghadapi GP Amerika Syarikat ini. Jadi, sasaran kami adalah merancang strategi untuk lebih laju pada hujung minggu ini.

“Saya rasa tiada yang mustahil kerana pasukan telah bekerja keras sepanjang minggu ini. Jadi, litar Texas merupakan sebuah trek yang luar biasa, namun kami yakin mampu melakukannya.

“Kami memiliki sebuah jentera yang kompetitif dan hanya perlu tahu cara terbaik pada sesi kelayakan nanti. Mengenai pesaing pasukan lain, itu adalah perkara kedua yang perlu saya atasi,” katanya.

Dalam pada itu, Vinales turut berharap mampu mencetak kemenangan ketiganya selepas pelumba Sepanyol tersebut melebarkan penguasaannya dalam kejuaraan dunia dengan memenangi perlumbaan pembuka tirai, GP Qatar dan GP Argentina.

Dengan kemenangan tersebut, Vinales kini mengumpul 50 mata selepas dua perlumbaan, 14 mata mengatasi rakan sepasukannya, Valentino Rossi. – Agensi