Pusat Rehabilitasi Perkeso kini dikenali PRPTAR

21/04/2017 2:25pm


Najib melihat alat fisioterapi di PRPTAR hari ini.


MELAKA - Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Ayer Keroh di sini

kini dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR).

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan pusat berkenaan hari ini.

PRPTAR merupakan satu-satunya pusat rehabilitasi paling unggul di rantau Asia dan dalam menawarkan perkhidmatan pemulihan kepada pekerja dan pencarum yang ditimpa bencana.

Menurut Perdana Menteri, pembinaan pusat berkonsepkan perkhidmatan di bawah satu bumbung yang menelan kos sebanyak RM238 juta itu sekali gus membuktikan dakwaan bahawa Malaysia bankrap adalah palsu.

"Bagaimana hendak bankrap kalau ada pusat rehabilitasi (canggih) sebegini. Konsepnya menarik iaitu perkhidmatan di bawah satu bumbung.

"Ini merupakan usaha (kerajaan) dalam memastikan seseorang yang cedera sama ada pada waktu bekerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja masih ada harapan untuk kembali bekerja," katanya.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot anak Jaem; Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

PRPTAR yang beroperasi pada 2014 menyediakan kemudahan rawatan pemulihan secara komprehensif merangkumi aspek fizikal dan vokasional kepada pesakit.

Pusat itu mampu menampung sehingga 350 pesakit pada satu-satu masa dan mempunyai 161 staf yang terdiri daripada pakar, pegawai dan kakitangan perubatan yang berpengalaman dalam pelbagai bidang perubatan. - K! ONLINE