Aksem Perlis rampas rokok, minuman keras seludup bernilai RM267,000

21/04/2017 4:30pm

Syed Basri (kanan) menunjukkan sebahagian daripada rampasan rokok dan arak pada sidang akhbar yang diadakan di Kem Aksem Chuping hari ini.


PADANG BESAR - Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Perlis merampas rokok kretek dan minuman keras dianggarkan bernilai RM267,000 termasuk cukai yang diseludup masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar, semalam.

Komander Aksem Perlis, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, rampasan itu dibuat oleh pasukan risik Aksem Padang Besar setelah menahan dua lelaki warga tempatan yang menaiki kenderaan jenis Honda Accord di kawasan perindustrian Kampung Kolam, di sini pada pukul 6.45 petang.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 405 karton rokok kretek pelbagai jenama bernilai RM254,562 dan sembilan karton minuman keras berjenama Johnnie Walker Gold Label Reserve bernilai RM12,474.

"Semua barang tersebut dibungkus dalam plastik hitam dan disorok dalam setiap kompartmen kenderaan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang digunakan kedua-dua suspek turut disita, selain barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Negeri untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan belum mendapat kelulusan Kastam," katanya. - Bernama