Suami isteri maut, kereta dinaiki bertembung kenderaan lain di Machang

21/04/2017 10:34pm


Mangsa, Ghazali Seman dan Siti Fatimah Hamzah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


MACHANG - Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 28.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Pulai Chondong, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, mangsa, Ghazali Seman, 71, dan Siti Fatimah Hamzah, 70, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab. Ghani berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta jenis Daihatsu Charade datang dari arah Machang menghala ke Kota Bharu sebelum membuat pusingan U.

"Setibanya di lokasi kejadian mangsa dikatakan membuat pusingan U sebelum dilanggar kereta jenis Volkswagen Polo yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, kereta yang dinaiki suami isteri berkenaan terbakar. Walaubagaimanapun, mereka sempat dikeluarkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu Volkswagen tidak mengalami kecederaan.

"Mayat dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE