Mamat Khalid masuk Hospital Ampang Puteri akibat masalah jantung

21/04/2017 11:51pm


Mamat Khalid kini dalam keadaan stabil.


KUALA LUMPUR - Pengarah filem prolifik, Mamat Khalid terpaksa ditahan dalam wad Hospital Ampang Puteri di sini kerana diserang lemah jantung.

Mamat mulanya mengadu sesak nafas dikejar ke Unit Kecemasan hospital berkenaan sebelum dimasukkan ke wad sekitar pukul 2.30 petang tadi.

Menurut anak keempat beliau, Mohamad Khaled Amin, 21, ayahnya yang juga pengarah filem Hantu Kak Limab Balik Rumah itu kini dalam keadaan stabil.

"Doktor mengesahkan ayah kena serangan jantung tetapi tidak serius. Sekarang ayah diminta untuk berehat secukupnya sebelum boleh dibenarkan pulang," kata Amin kepada Kosmo! sebentar tadi.

Sehari sebelum itu, Mamat yang menetap di Ipoh, Perak kebetulan berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri majlis pratonton filem terbaharunya, Lebuh Raya ke Neraka di GSC Pavilion pada Khamis lalu.

Sebelum ini, pengarah berusia 54 tahun itu pernah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor pada Oktober 2014 juga kerana masalah jantung. - K! ONLINE