Pemeriksaan awal mampu cegah kanser


UJIAN mamogram digunakan untuk mengesan kanser payudara.


SABAN tahun kita didedahkan dengan begitu banyak maklumat mengenai pelbagai jenis penyakit kanser di media cetak, elektronik malah kempen-kempen kesihatan yang dilakukan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Begitupun, bilangan kes kematian yang melibatkan pesakit kanser terus meningkat. Ia seolah-olah tidak memberi kesan terhadap masyarakat kerana penyakit yang boleh membawa maut itu dilayan sama seperti penyakit demam atau selesema.

Kebanyakan masyarakat di negara ini terlalu memandang ringan dan takut untuk melakukan ujian saringan pengesanan awal kanser.

Menurut Perunding Radiologi Specialist Hospital (KPJ Damansara), Dr. Thajunnisa Hassan, orang ramai perlu datang berjumpa doktor apabila mereka tidak sakit. Ia adalah lebih baik untuk melakukan pemeriksaan apabila tidak mempunyai masalah kesihatan.

“Kami mahu semua orang peka terhadap kanser, terutama bagi mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas. Jika pemeriksaan dilakukan pada peringkat awal, kami boleh merawatnya dengan memberi ubatan yang sesuai kepada mereka.

“Bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser pula, golongan ini digalakkan membuat pemeriksaan kerana dikhuatiri mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit tersebut,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini di KPJ Damansara sempena sambutan Hari Kanser Sedunia 2017 baru-baru ini.

Ditanya apa yang menjadi kekangan untuk orang ramai tidak mahu tampil melakukan pemeriksaan awal, Thajunnisa memberitahu, termakan ‘cakap-cakap’ kawan mengatakan pemeriksaan saringan adalah menyakitkan menyebabkan ramai yang mematikan hajat membuat pemeriksaan.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan kerana ia tidak menyakitkan. Datang dahulu dan kami akan menerangkan mengenai setiap prosedur yang bakal dijalankan.

“Jika seseorang itu didiagnosis menghidap kanser, janganlah menganggap ia sebagai satu hukuman mati. Apa yang perlu adalah kuatkan diri, positifkan fikiran kerana kanser tidak semestinya berakhir dengan kematian jika dikesan pada peringkat awal,” katanya.

Sementara itu, Perunding Onkologi Klinikal dan Radioterapi KPJ Damansara, Dr. Sangeetha Poovaneswaran, berkata, pihaknya mempunyai penyelidikan yang menunjukkan kanser boleh diubati pada peringkat awal pada 90 peratus kadar kejayaan.

“Kami mendapati ramai pesakit mendapatkan rawatan apabila sudah berada pada peringkat akhir iaitu tahap empat (Stage 4).

“Pada peringkat ini, kami hanya boleh mengawal kanser berkenaan dan mengurangkan penderitaan pesakit. Justeru, ia amat penting untuk mendapatkan pemeriksaan awal,” ujarnya.

KPJ Damansara menawarkan pakej promosi istimewa pemeriksaan petanda kanser (Cancer Marker Screening) bagi lelaki dan perempuan berharga RM159 sehingga 31 Mei ini sempena Hari Kanser Sedunia.

Selain itu, terdapat juga ujian mamogram tiga dimensi (3D) khas bagi golongan wanita yang berusia 40 tahun dan ke atas. Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman www.kpjdamansara.com atau hubungi

03-7718 1073.