FAM mahu Liga M bersih daripada gejala rasuah


TUNKU ISMAIL


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memastikan Liga Malaysia (Liga M) bersih daripada gejala rasuah.

Bagi mengelak aktiviti tersebut berlaku, FAM akan memberi komitmen sepenuhnya dan memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan pemantauan lebih rapi.

Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, untuk mencapai hasrat tersebut, pegawai SPRM akan ditempatkan di setiap venue perlawanan, tempat latihan pasukan, stadium dan juga di pejabat FAM bagi memberi laluan kepada mereka menjalankan tugas.

Titah baginda, usaha tersebut adalah antara langkah untuk mencapai objektif utama FAM bagi memastikan Liga M bebas daripada amalan rasuah.

“Maklumat yang saya terima amat menyedihkan terutama kegiatan mengatur keputusan perlawanan yang masih lagi bergerak aktif dalam liga tempatan.

“Justeru, ia akan menjadi kita untuk membanteras sepenuhnya gejala rasuah dalam bola sepak.

“Kita akan membuka pintu seluas-luasnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung perkara ini. Malah, saya juga akan meletakkan beberapa orang pegawai SPRM untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Integriti FAM,” titah baginda pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat dengan ahli gabungan FAM di Johor Bahru semalam.

Terdahulu, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyerahkan senarai nama penuh mereka yang memegang jawatan dalam FAM, barisan pemain, pengadil serta ahli persatuan gabungan kepada SPRM.

Titah Tunku Ismail, SPRM perlu pantau sebarang pergerakan membabitkan aktiviti bola sepak secara lebih dekat.

“Saya berharap dengan adanya langkah pencegahan seperti ini, liga kita bebas daripada aktiviti yang tidak bermoral itu,” titah baginda lagi.