Afiq kini lebih matang



Diusir ombak pasti akan goyang. Apatah lagi jika gelombang yang tiada taranya. Akur dengan kata-kata pujangga itu, Afiq Muiz akhirnya pasrah dengan nasib cintanya yang tidak kesampaian.

Pernah menyulam cinta dengan Eina Azman dan mengaku mencintai Miera Leyana sekitar Februari tahun lalu, kedua-dua episod cinta itu hanya membekaskan titik hitam di beberapa bahagian hatinya.

Lebih teruk apabila ada yang suka berprasangka buruk dan mudah menghukum orang lain.

Afiq salah seorang daripadanya yang bernasib malang menerima pemikiran negatif itu bahawa dia hanya memburu wanita berharta.

“Saya bukan jenis macam itu. Saya ikhlas bercinta dengan orang dan tidak fikir mahu duit dia. Sebabnya saya mampu berdiri sendiri. Jadi, saya tidak perlukan duit orang lain untuk kelangsungan hidup. Mungkin rezeki saya mengenali wanita dalam golongan yang senang,” ujarnya.

Enggan menyalahkan mana-mana pihak atas kegagalan hubungan cintanya, Afiq juga tidak menganggap wanita yang hadir dalam hidupnya ialah orang yang salah.

Bagi pelakon berusia 25 tahun itu, ia sekadar proses kematangan untuk dirinya dan juga wanita tersebut.

“Saya segan juga masa buat kenyataan bercinta dengan Miera, sedangkan dia tidak mengaku tetapi memang betul kami bercinta. Kami bertahan lebih kurang lapan bulan.

“Sekarang lebih baik saya fokus pada kerja,” kata Afiq yang semakin matang, jauh meninggalkan dirinya yang pernah dilanda kontroversi dengan ibunya, Hasliza Mohd., 52, dan Eina Azman satu ketika dahulu.


Pelakon berusia 25 tahun ini mengambil masa sebulan untuk belajar bahasa Hindi sempena lakonannya dalam filem I’m Not Terrorist.


Bawa emak ke Korea

Pahit, namun itulah yang harus ditelan. Afiq bagaimanapun meletakkan rahsia jodohnya di tangan Tuhan. Pada masa sama, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menjaga jodoh orang. Dalam erti kata lain, dia tidak mahu bercinta dengan wanita yang bukan jodohnya.

“Saya percaya, jodoh ini Allah sudah bagi kepada kita tetapi masih tersorok. Kalau sampai masanya nanti ia akan datang. Saya juga berdoa agar wanita yang datang selepas ini memang benar-benar jodoh saya,” ujarnya dengan penuh pengharapan.

Wajah putihnya memerah tiba-tiba tatkala ditanya tentang kriteria wanita idaman hati, namun permintaan pemilik nama sebenar Muhamad Afiq Muiz Azman Shah itu cukup mudah.

“Saya tidak pandang rupa tetapi pandang pada hatinya. Kalau dia pandai bagi sokongan pada saya dan faham karier saya, itu lebih baik,” jelasnya sambil tersenyum.

Sesukar mana pun perjalanan hidup, masih ada keindahan dan kemanisan yang dikecapi pelakon kacak itu. Afiq kini bahagia hidup dipayungi ibu dan adik-beradik tercinta. Malah, tali yang berbelit-belit suatu ketika dahulu akhirnya terungkai juga.

“Hubungan dengan emak baik-baik sahaja. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat bawa emak berjalan ke Korea. Kami ke sana dari 17 hingga 21 April. Selain itu, dua adik saya juga turut serta. Kami ke Korea untuk urusan bisnes dan pada masa sama saya ingin bawa mereka berjalan-jalan,” getus Afiq yang bakal mengeluarkan produk sendiri iaitu sabun kecantikan.


Berkat ramai yang bertanyakan mengenai rahsia kecantikan kulit mukanya, Afiq bakal mengeluarkan produk kecantikan muka berasaskan sabun iaitu M.A Skin Care.


Afiq yang baharu

Sengaja mengosongkan jadual lakonan demi produk pertamanya, Afiq bersyukur dengan kehadiran cahaya rezeki yang menerangi jalan hidupnya kini.

“Buat masa ini, saya berehat daripada lakonan seketika untuk memberi fokus pada bisnes sabun kecantikan yang diberi nama M.A Skin Care. Kenapa memilih produk ini (sabun) kerana ramai yang bertanya tentang rahsia kulit bersih saya,” ujarnya ringkas mengenai produk yang dijangka berada di pasaran pada pertengahan Mei itu.

Waima dia sibuk dengan urusan perniagaan, namun pelakon berkelulusan daripada Akademi Seni Warisan Negara dalam jurusan Lakonan dan Seni Persembahan itu tidak gusar kerana drama lakonannya bersama Fathia dan Zul Ariffin, Menanti Februari masih boleh ditonton di slot Samarinda, TV3.

Pada masa sama, dia berdebar menanti filem pertamanya, I’m Not Terrorist yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Menerusi filem yang turut dibintangi aktor Hindustan seperti Farida Jalal dan Gulshan Grover itu, Afiq perlu bertutur dalam bahasa Hindi.