Sultan Muhammad V raja berjiwa rakyat

PELANTIKAN Sultan Muhammad V (depan kanan) sebagai Yang di-Pertuan Agong merupakan keputusan sebulat suara Majlis Raja-Raja.


BAGI rakyat Kelantan, tarikh 13 Disember 2016 menjadi detik bersejarah yang akan dikenang sampai bila-bila.

Ia berikutan pelantikan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dari Kedah.

Pelantikan itu sekali gus menamatkan penantian selama 37 tahun sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dari negeri itu selepas kali terakhir disandang oleh nenda Seri Paduka, Almarhum Sultan Yahya Petra antara tahun 1975 hingga 1979.

Sultan Muhammad V dipilih memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-242 (Khas) pada Oktober lalu.

Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh sama.

Selepas hampir empat bulan menjadi ketua negara, hari ini Sultan Muhammad V secara rasmi ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam upacara yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur.

Berdasarkan sejarah, pemilihan Yang di-Pertuan Agong telah diadakan pada 3 Ogos 1957 menerusi persidangan khas Majlis Raja-Raja di Kuala Lumpur.

Ketika itu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.

Tradisi itu kemudiannya diteruskan ketika pembentukan Malaysia menerusi penglibatan Sabah dan Sarawak pada 1963 sehingga kini.

Menyusuri kehidupan Sultan Muhammad V, Seri Paduka diputerakan di Istana Batu, Kota Bharu pada 6 Oktober 1969 dengan nama Tengku Muhammad Faris Petra.

Merupakan putera sulung pasangan Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, Seri Paduka mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan yang merupakan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Faiz Petra, 43, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 39, dan Tengku Amalin A’ishah Putri, 33.

Seri Paduka mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada 6 Oktober 1985, semasa ulang tahun keputeraan yang ke-16, Seri Paduka telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan.

Prestasi cemerlang dalam akademik mendorong Seri Paduka dihantar ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga 1989.

Sultan Muhammad V kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan Pengajian Islam di Oxford Centre.

Seterusnya, Seri Paduka menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Perhubungan Diplomatik dan Pentadbiran Perniagaan di Huron University College, London, Pengajian Perhubungan Diplomatik di Deutsche Stiftung Internationale Entwicklung, Berlin dan European Business Administration di European Business School London.

Pada 24 Mei 2009, Seri Paduka telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan dan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010 dengan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V.

Walaupun lahir dalam keluarga diraja, Seri Paduka tidak menunjukkan sebarang perbezaan status bahkan sering membahasakan diri sebagai ‘kito’ dan ‘ambo’ apabila berinteraksi dengan rakyat.

Malah, sepanjang memerintah Kelantan, Seri Paduka dikenali dengan sifat merendah diri serta tidak kekok turun padang menyertai pelbagai program kemasyarakatan.

Hubungan rakyat

Seri Paduka sering dilihat berkenan menghadiri majlis tahlil, menjadi imam solat berjemaah dan menyembelih haiwan korban. Tidak cukup dengan itu, Seri Paduka turut melawat orang sakit, membantu orang miskin, asnaf dan sebagainya tanpa segan silu atau meletakkan batas sebagai seorang raja.

Bahkan Seri Paduka juga kerap kali keluar secara sembunyi-sembunyi dari istana tanpa diiringi pengiring dan pengawal peribadi untuk melihat sendiri keadaan dan realiti kehidupan rakyat khususnya di Kelantan.

Buktinya, sekeping gambar Seri Paduka membuat rondaan menaiki kenderaan pacuan empat roda seorang diri selepas bencana banjir besar melanda Kelantan pada tahun 2014 telah tersebar dalam media-media sosial yang mengundang pujian netizen di alam siber.

Pada tahun 2011, Seri Paduka telah mencetuskan idea Program Walkathon D’Raja Kelantan bagi mengeratkan lagi hubungan antara raja dengan rakyat.

Pada tahun pertama penganjurannya, ia berjaya menarik penyertaan seramai 21,111 orang sekali gus diiktiraf sebagai penyertaan terbesar Walkathon Diraja Malaysia oleh Malaysia Book of Records.

Sumbangan

Menerusi program itu, ribuan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat umur berpeluang untuk berjalan bersama-sama Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat diraja yang lain sejauh 10 kilometer di sekitar bandar Kota Bharu.

Selain itu, Seri Paduka turut memupuk spiritual masyarakat Islam di Kelantan menerusi program Qiam With Me yang diadakan pada setiap Ramadan sejak tahun 2011.

Program yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak dan tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama Seri Paduka.

Pada program itu juga Seri Paduka turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf dan golongan kurang bernasib baik.

Berikutan sambutan yang menggalakkan, Walkathon D’Raja Kelantan dan Qiam With Me telah menjadi acara tahunan di Kelantan. Sesuai dengan watak pemimpin berjiwa rakyat, Sultan Muhammad V kurang menitikberatkan protokol dalam gaya dan penampilan kecuali apabila melibatkan acara-acara rasmi pada peringkat negeri atau Persekutuan.

Ia dapat dilihat apabila Seri Paduka lebih selesa memakai jubah dan baju Melayu atau sekadar berkain pelekat dan berkopiah ketika mengunjungi masjid atau menghadiri program-program berbentuk keagamaan.

Di sebalik kesibukan dengan tugas-tugas rasmi, Seri Paduka tetap membahagikan masa untuk aktif dalam organisasi seperti persatuan dan kelab.

Ketika ini, Seri Paduka menaungi beberapa persatuan seperti Persatuan Menembak Kelantan, Yayasan Sultan Kelantan, Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan, Persatuan Perubatan Antipenuaan Estetik Rejeneratif Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Sukan Berkuda, Persatuan Motor 4x4 dan Persatuan Memanah.

Tidak sekadar itu sahaja, Sultan Muhammad V kini merupakan Kolonel Yang Dipertua Rejimen Artileri Diraja selain merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Minat yang mendalam terhadap aktiviti ketenteraan menyebabkan Seri Paduka gemar aktiviti yang lasak dan mencabar seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, kejohanan kuda lasak, memanah dan boling.

Sifat lasak yang dimiliki juga tidak menghalang Seri Paduka untuk menjadi seorang pencinta haiwan.

Malah, Sultan Muhammad V juga pernah memelihara tiga ekor singa, dua betina dan seekor jantan sebelum dua daripadanya mati akibat dipatuk ular.

Safari mini

Sifat sayangkan haiwan dan minat memelihara haiwan turut dizahirkan dengan pembinaan safari mini di kawasan seluas 56.65 hektar di Kampung Baruh Raja, Gunong, Bachok, Kelantan.

Safari mini itu dikatakan mempunyai 130 ekor rusa, seekor burung unta, 50 ekor kerbau, 15 ekor kuda dan seekor singa jantan.

Difahamkan, sebuah lagi safari mini berkeluasan 647.49 hektar kini giat dalam perancangan dan bakal dibina di Kemahang, Tanah Merah.

Jika sebelum ini, sumbangan Sultan Muhammad V dalam pendidikan terhad sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan semata-mata, terbaharu Seri Paduka dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.