Kinabalu kukuhkan solidariti, kumpul dana sekolah tahfiz


PARA peserta Hike4Mriq bergambar dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah Gunung Kinabalu.


BERMULA dengan idea untuk mengajak bekas rakan-rakan sekolah bersama-sama mendaki Gunung Kinabalu, Sabah, penulis tidak sangka ia menjadi satu realiti.

Sekumpulan pendaki yang menamakan kumpulannya sebagai 87’KikFit bersama lima ahli keluarga masing-masing telah berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu berketinggian 4,995 meter pada 31 Mac lalu. Melalui kumpulan 87’KikFit ini, penulis bersama rakan-rakan bekas pelajar Kolej Islam Kelang (86/87) telah mempelopori gaya hidup sihat.

Ia juga sebahagian daripada wadah untuk mengukuhkan silaturahim selepas tiga dekad berpisah dan meninggalkan alam persekolahan menerusi aktiviti sukan dan riadah.

Kini, ahli-ahli 87’KikFit yang kesemuanya berumur 47 tahun bergiat cergas mengambil bahagian dalam pelbagai acara larian jarak jauh dan sederhana di seluruh negara.

Penulis yang juga aktif bersama 87’KikFit telah mencadangkan idea mendaki bersama rakan-rakan. Ia telah mendapat sambutan positif daripada rakan-rakan. Justeru, Gunung Kinabalu dijadikan sasaran untuk dicapai oleh seramai 15 orang ahli 87’KikFit.


PARA peserta ekspedisi melakukan perbincangan di tempat penginapan sebelum mendaki Gunung Kinabalu.


Disebabkan kebanyakan peserta merupakan pertama mendaki, kami telah menyertai siri-siri latihan melibatkan pendakian di Gunung Nuang di Selangor, Gunung Angsi di Negeri Sembilan, Gunung Jerai dan Gunung Baling di Kedah. Selain itu, kami juga membuat latihan di Gunung Irau di Pahang, Bukit Kutu dan Bukit Bendera di Pulau Pinang.

Menariknya, impian menawan Gunung Kinabalu ini telah mengukuhkan lagi solidariti dan silaturahim antara kami.

Rakan-rakan yang tidak mendaki Gunung Kinabalu juga bersama-sama mengikuti perkembangan persediaan dan memberi semangat untuk menjayakan misi ini.

Bagi menjadikan ekspedisi ini lebih bermakna, pendakian ini turut dijadikan sebagai acara Hike for a Cause untuk tujuan mengumpul dana bagi sebuah sekolah tahfiz, Maahad Riyadhil Quran (MRIQ) Sungai Petani, Kedah.

MRIQ ditubuhkan dan dikelolakan secara bersama oleh rakan-rakan alumni di Sungai Petani.

Bertitik tolak daripada gabungan idea ini, maka misi Hike4Mriq telah dilancarkan bersama dengan kempen untuk mengumpul dana yang disasarkan dalam kalangan rakan-rakan.

Pelbagai bentuk penajaan dan sumbangan yang dikumpulkan daripada rakan-rakan sehingga melebihi jumlah RM40,000 dalam masa yang singkat.

Setiakawan


Setiap memori indah dirakam menerusi kamera untuk dikongsi bersama rakan-rakan lain.


Salah seorang rakan alumni, Dr. Siti Noor Ali Shibramulisi telah mencetuskan idea melalui kempen pemilikan cenderamata pinggan jenama terkenal Port Meirion bagi tujuan kutipan dana.

Segala usaha ini telah memupuk semangat setiakawan dan interaksi yang baik dan muhibah dalam kalangan rakan-rakan yang telah terpisah hampir tiga dekad selepas meninggalkan alam persekolahan.

Pada 29 Mac lalu, kesemua pendaki selamat mendarat di bumi Kota Kinabalu berbekalkan segala persiapan latihan, doa dan sokongan dari rakan-rakan serta keluarga. Uniknya, dalam kumpulan pendaki ini kesemuanya terdiri daripada individu profesional. Mereka sanggup mengenepikan segala protokol untuk bersama-sama menjayakan misi ini.

Mereka terdiri daripada doktor pakar, akauntan bertauliah, peguam dan pensyarah di universiti tempatan dan sebagainya. Melalui misi ini pendaki-pendaki dapat merasakan pengalaman bersama seperti dahulu sambil mewakili harapan rakan-rakan lain yang tidak turut serta dalam ekspedisi ini.

Sememangnya Gunung Kinabalu menghadirkan cabaran besar kepada semua pendaki.


PENULIS bergambar bersama pinggan cenderamata Port Meirion di atas puncak Gunung Kinabalu.


Berbekalkan semangat, kecekalan dan setiakawan erat, kami telah berjaya merealisasikan impian menawan puncak Gunung Kinabalu pada pukul 6.45 pagi. Kejayaan ini telah disambut dengan perasaan lega dan gembira oleh semua rakan-rakan yang mengikuti perkembangan misi melalui media sosial dan aplikasi berkaitan.

Segala pengalaman manis sepanjang pendakian dari Kinabalu Park sehingga ke puncak Low’s Peak telah diabadikan dalam gambar-gambar menarik.

Alhamdulillah, cuaca di sepanjang pendakian baik dan segalanya berjalan dengan lancar walaupun ada beberapa pendaki yang menunjukkan tanda-tanda mengalami penyakit gunung.

Pengalaman melakukan pendakian ke puncak sekitar pukul 3 pagi sangat mencabar ketika suhu mencecah 2 darjah Celsius dan berangin. Sememangnya, tiada bentuk latihan khusus yang boleh dibuat untuk menyediakan pendaki dengan simulasi keadaan cuaca dan suasana sebegini.

Bagaimanapun, hasil larian dan kesihatan yang dipelopori melalui kumpulan 87’KikFit yang diketuai oleh pakar kesihatan, Prof. Madya Dr. Ahmad Taufik Jamil sedikit sebanyak membantu ketahanan fizikal. Kami berjaya sampai ke puncak pada pukul 6.30 pagi.

Setelah menamatkan misi ini dengan jayanya, kesemua pendaki masih menunjukkan semangat dan keterujaan untuk terus mendaki bersama di puncak pergunungan lain termasuk di Indonesia dan Annapurna, Himalaya kelak.

Sesungguhnya, tanpa disedari kami telah mencipta memori indah dan bukan sekadar kegembiraan.