Lebuhraya Ke Neraka filem sakti Mamat Khalid


Babak yang menunjukkan Miera terkena penyakit misteri ketika melewati sebuah jalan bersama rakanrakannya.


Di kala nikmat dunia menguasai diri, jiwa mereka yang masih terlalu rapuh tidak dapat mengugah ‘bau’ musibah yang bakal dihadapi kemudian hari. Pengakhirannya barangkali menyedihkan. Itu pengisian plot filem Lebuhraya Ke Neraka, sentuhan magis pengarah prolifik, Mamat Khalid.

Filem yang dibintangi oleh Datuk Awie, Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Shahrizal Jaszle dan Miera Leyana itu merupakan filem kerohanian julung-julung kalinya daripada Mamat yang sebelum ini terkenal menerusi karya-karya komedi seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kampung Pisang.

Ironinya, karya terbaharu Mamat itu tidak disuapkan dengan alunan ayat al-Quran bagi menggambarkan suasana seram, sebaliknya cukup sekadar dalil yang mudah diterima audiens.

Melihat jalan cerita yang mengisi Lebuhraya Ke Neraka, Khir dan Pekin yakin progresif plot cerita serta watak yang yang ada dalam filem yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 4 Mei itu akan meninggalkan jejak di hati penonton.

Kekuatan watak sekumpulan anak-anak muda yang sukakan motor berkuasa tinggi dan gemar mengembara merentas desa sehingga dibawa ke alam barzakh atau alam koma, menjadi mukadimah dalam Lebuhraya Ke Neraka, manakala kemudian hari pula tidak perlu dituntut kepastiannya sehingga ia hadir membuka rahsia plot cerita yang sarat kejutan, mesej dan pengajaran itu.

“Sebenarnya agak menduga waktu Mamat menawarkan watak syaitan kepada saya. Kalau ikutkan dari segi penghayatan lakonan, kebiasaannya pelakon dituntut membawakan watak orang lain sama ada sedang marah, menangis dan sebagainya, tetapi saya pula kena bawa watak syaitan dan tertanya-tanya juga bagaimana contohnya yang harus saya ambil,” ujar Khir melentur tawa di bibir tatkala dihubungi Sensasi Bintang.


Awie (depan) merupakan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang beriman, namun akhirnya hanyut selepas bercampur dengan penunggang motosikal yang lain.


Khir dipuji

Menginterpretasikan watak syaitan bernama Tyson, Khir mengambil langkah selamat dengan berbincang dengan Mamat apakah ciri-ciri yang perlu ada pada Tyson. Adakah wataknya itu patut dibenci atau diletakkan secara seimbang.

“Penyudahnya, Tyson memiliki variasi karakter. Dia cuma menjalankan kerjanya untuk memanipulasi manusia. Dalam ramai ahli-ahli motosikal berkuasa tinggi itu, Tyson mengacau Awie yang memiliki iman yang paling kuat. Dia harus melalui ujian bagi membantu rakan-rakannya untuk mengucap sebelum meninggal,” kongsi aktor hebat yang terkenal menerusi filem Rock itu.

Bagi yang berkesempatan menonton pratonton Lebuhraya Ke Neraka, ramai yang memuji lakonan Khir yang disifatkan mantap tanpa perlu solekan melampau bagi menakuti penonton. Caranya memanifestasikan watak cukup sekadar dengan memek muka, gaya dan lontaran suara yang luar biasa.

Menyampaikan pujian itu kepadanya, Khir menyambutnya dengan rasa syukur.

“Saya takut juga dengan pujian ini. Jadi, saya selalu ingatkan diri agar tidak larut. Apa-apapun saya bersyukur kerana Mamat menawarkan watak Tyson itu kepada saya.

“Sejak pertama kali berlakon di bawah arahannya menerusi Rock, walaupun watak saya kecil tetapi kesannya cukup besar ke atas karier lakonan saya,” getus Khir yang menganggap Mamat satu daripada enam orang terpenting dalam hidupnya.




Rujuk Mufti Perak

Runtunan hati Pekin pula mengaktifkan bibir untuk melafazkan persetujuan segera tatkala filem Lebuhraya Ke Neraka ditawarkan kepadanya.

Biarpun sedar watak yang perlu dijayakannya cuma sedikit, namun pelakon dan pengarah Mat Moto itu membulatkan hati menerima karya arahan Mamat itu. Tambahan pula, dia sudah beberapa kali berlakon di bawah arahan pengarah genius itu menerusi beberapa karya seperti Rock Oo! dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

“Jika ditawarkan sesuatu watak, saya tidak kisah sama ada ia watak pembantu atau hanya terlibat beberapa babak. Saya tengok kekuatan watak tersebut. Adakah ia akan memberi kesan kepada keseluruhan jalan cerita atau tidak.

“Dalam filem itu saya bawa watak paramedik yang nampak seperti jelmaan makhluk jahat dari mata kasar Awie,” ujarnya yang juga perlu menghafal sebuah doa untuk dilontarkan ke dalam filem berkenaan.

Sementara itu, menurut Mamat pula, sudah lama dia memendam hasrat untuk mengarahkan filem serius yang bergenre kerohanian seperti itu.

“Saya tidak mahu nama hanya dikenali dengan filem Hantu Kak Limah dan cerita komedi sahaja, sebaliknya biarlah nama saya dikenali dengan filem genre ketuhanan pula sekali gus akan menjadi rujukan untuk generasi akan datang,” katanya mengenai filem Lebuhraya Ke Neraka yang menjalani penggambaran di sekitar Pengkalan Hulu, Perak pada 2012.

Mengulas mengenai filem berkenaan yang terpaksa diperam selama enam tahun sebelum dapat ditayangkan, ini penjelasan Mamat.

“Sebelum buat filem ini, saya terpaksa merujuk skripnya dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana tidak mahu orang cakap saya buat filem syok sendiri. Hasil perbincangan itu, banyak babak yang menyentuh sensitiviti agama terpaksa ditukar sepanjang tempoh selama enam tahun itu,” ujarnya yang gembira apabila filemnya itu dapat klasifikasi P13 dan bebas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF).