Sentuhan elegan, trendy LYC


KOLEKSI busana raya LYC boleh didapati pada harga RM80 hingga RM150.


Busana anggun dan segak menjadi pelengkap setiap kali menyambut hari lebaran. Bahkan, dunia fesyen tanah air tidak pernah sepi menampilkan pelbagai koleksi menarik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Butik Liyana Collection atau lebih dikenali sebagai LYC yang diusahakan pasangan adik-beradik, Nor Liyana Abdul Ghani, 24, dan kakaknya, Nor Hartini, 26, tidak terkecuali menjanjikan sentuhan menarik, elegan dan trendy sempena hari lebaran pada kali ini.

“Konsep elegan yang kami terapkan dalam koleksi rekaan ini adalah khusus buat wanita-wanita yang berani menggayakan fesyen serta mahukan penampilan lebih unik.

“Selain itu, kami juga menghasilkan rekaan ringkas untuk wanita yang mendambakan gaya sederhana, selesa tetapi ingin kelihatan cantik,” ujar Nor Hartini.

Busana tersebut boleh didapati dalam pelbagai saiz bermula S sehingga L.

Bagi koleksi lebaran 2017, LYC menekankan kualiti dan rekaan yang istimewa agar bergaya anggun pada hari lebaran bersama-sama keluarga tercinta dan sahabat handai.

Mereka juga menawarkan harga mampu milik sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang tidak terhingga selama tiga tahun LYC beroperasi di persada seni fesyen tanah air.

Fabrik berkualiti

“Koleksi terbaharu LYC ini sesuai digayakan oleh mereka yang berbadan besar kerana menggunakan fabrik yang mudah diregangkan.


Busana sedondon lelaki dan wanita menjadi pilihan butik LYC pada tahun ini.


“Antara fabrik yang digunakan ialah molly cotton (mudah diregangkan), como krep, kain kapas dan satin berkualiti tinggi,” katanya.

Nor Hartini menambah, fabrik yang digunakan sesuai dengan cuaca di negara ini. Penggunaan kain yang tidak terlalu tebal membolehkan pemakai berasa selesa walaupun dalam cuaca panas.

Berbicara mengenai pemilihan warna, LYC mengetengahkan rona-rona lembut seperti pastel. Tidak ketinggalan warna terang serta memukau.

Direka khas untuk golongan wanita berusia 15 hingga 40 tahun, koleksi busana LYC akan berada di pasaran pada harga RM80 hingga RM150.

Selain itu, LYC juga menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma ke seluruh negara.

Berbeza koleksi tahun lalu, butik tersebut membuat penambahbaikan kualiti daripada segi material dan kehalusan jahitan.

Pendekatan khusus diberikan kepada perincian konsep moden serta elegan seperti renda, manik dan tampalan patch untuk memberikan keunikan bagi setiap rekaan itu.

Ciri-ciri rekaan busana butik LYC menerapkan penghasilan rekaan yang cantik pada harga berpatutan dengan menggabungkan elemen moden dan tradisional bagi menepati cita rasa wanita serta lelaki masa kini.

Koleksi terbaharu tersebut, akan menjengah pasaran pada bulan ini.

Jika tahun lalu, butik itu memberi tumpuan kepada pakaian wanita dengan menampilkan konsep sopan.

Pada tahun ini, LYC membuat kelainan dengan menyediakan koleksi bagi golongan wanita dan lelaki. Ia pasti akan membuat si jejaka kelihatan yakin, tampan dan mempesona pada pagi lebaran.